Saturday 8 November 2014

DIDK P9

BAB SEMBILAN




            Nurezam tersenyum memandang Ikmal yang tercari-cari.  Kawan lamanya ketika sama-sama di sekolah menengah dulu masih tak berubah.  Kalau berjanji dia tak akan lewat.  Kalau janjinya pukul satu, pukul satulah dia tiba.  Pertemuan semula selepas lebih 10 tahun terpisah tak dipersiakan.  Terus saja mereka mengatur pertemuan untuk menghangatkan kembali persahabatan yang luntur kesan dari anjakan paradigma waktu.

            Ikmal tersenyum memandang Nurezam yang sedang menanti kedatangannya.
            "Dah lama sampai Zam?"  Huluran tangannya dijabat erat oleh Nurezam.
            "Adalah lima minit Dr. Ikmal."
            Nurezam sengaja nak mengusik teman yang bertugas di UKM sebagai pensyarah di Fakulti Pengurusan Perniagaan.  Mengingat UKM, isterinya pun pensyarah di UKM, tapi dia tak tahu Azimah di fakulti mana.  Ada Datuk Shukri menyebut, dia sendiri yang tak pernah nak ambil tahu kehidupan perempuan itu.
            "Apa yang berdoktor-doktor ni?  Yang panggil aku doktor cuma student aku ajelah"  Ikmal tergelak melayan gurauan Nurezam.
            Satu persatu isu mereka kupas setelah sama-sama menikmati makan tengahari.  Akhir sekali isu peribadi masing-masing yang jadi topik hangat perbualan mereka.
            "Engkau dah kahwin Ezam?  Bila?  Orang mana?"  Bertalu-talu soalan yang keluar dari mulut Ikmal.
            "Lebih setahun dah  Mal, dengan orang Johor.  Engkau pulak apa cerita?" 
Kalau boleh Nurezam tak nak bercakap banyak tentang perempuan yang tak pernah dianggapnya sebagai isteri itu.    Dia paling tak gemar nak membicarakan tentang 'isteri' pilihan datuk dan datin.
"Aku belum ada jodoh Zam"  Ikmal menghela nafas,  lagaknya seperti orang yang sedang kecewa sahaja.
"Sedih saja bunyinya.  Engkau baru kecewa ke?  Ceritalah sikit"  Nurezam membuat permintaan.
"Aku jatuh cinta dengan rakan setugas aku Zam"  Sekali lagi Ikmal menarik nafasnya, panjang.  Sayu hati bila kisah cinta yang tak kesampaian mahu dibongkar semula oleh teman yang beria nak tahu.
"Habis tu apa yang jadi masalahnya?  Dia tak sukakan engkau ke?"  Tak sabar Nurezam menantikan cerita yang selanjutnya.
"Bukan, tapi aku dah terlewat.  Aku baru nak approached, dia dah jadi milik orang lain"  Hampa sekali bunyi suara Ikmal.
"Macamana engkau boleh jatuh cinta dengan buah hati orang ni?"  Ezam tersenyum membuat andaian.
"Dia bukannya buah hati sesiapa.  Aku kenal betul dengan dia.  Dulu dia junior aku.  Berbanding dengan budak perempuan lain satu batchnya, dia ni sangat terkenal"  Ikmal tersenyum mengingat memori lama.
"Apahal?  Dia artis ke?" 
"Bukan sebab tu.  Dia famous sebab bercouple dengan seorang pelajar Cina dari kos kejuruteraan tak silap aku.  Memang loving couple.  Mamat cina tu selalu jemput dan hantar dia dan kawan-kawan balik dan pergi kuliah dengan proton wira putihnya."  Ikmal masih ingat apa yang berlaku ketika itu. Kenangan itu seperti masih berlegar-legar diingatannya.
"Habis tu, apa jadi?"  Terasa tertarik betul dia ingin mengetahui cerita yang selanjutnya.
"Aku tak tau bila diorang break off.  Alih-alih masa jumpa semula, dia dah single.  Aku dengar dari kawan-kawan diorang putus sebab hal agama.  Biasalahkan….  Walaupun dah break off hatinya keras betul.  Agaknya sebab dia dah jiwang karat dengan mamat Cina tu.  Mamat tu memang hensem, akupun kalah.  Ada orang lebih hensem cuba tackle dia,  jawapannya tetap 'hampeh'.  Bukan sorang dua orang mencuba.  Aku pun jadi tak berapa berani.  Sekali-sekala ada juga aku kias-kiaskan masa kitorang keluar makan sama-sama, macam okey.  Aku dah rasa dekat dengan dia dan dah merancang nak beritahu dia sebaik saja naik cuti semester tahun lepas.  Naik-naik aje dari cuti, dia dah pakai gelaran puan.  Terkojut aku!  Siasat punya siasat, memang sah dia dah kahwin.  Melepaslah aku!  Sampai sekarang aku tak jumpa perempuan yang boleh gantikan dia di hati aku."
"Gigit jarilah engkau!"  Nurezam ketawa.
"Memanglah betul.  Tapi yang tak seronoknya aku dapat cerita terbaru yang dia tak sehaluan dengan husband dia.  Lelaki bodoh manalah agaknya yang menolak tuah tu!"  Terus saja Ikmal mengutuk lelaki yang tak dikenalinya itu.
"Perempuan tu problem kot!"  Nurezam membuat andaian
"Knoblah!  Aku kenal betul dengan dia.  She's smart, thoughtfull, alluring and…  banyak lagilah.  Aku rasa suami dia tu yang sakit jiwa" 
Sembarang saja dia menuduh orang.  Bicaranya diakhiri dengan ketawa.  Puas hati dapat memberi penilaian begitu kepada suami perempuan yang pernah mencuri hatinya.
"Oii!  Isteri orang tu"  Nurezam ketawa besar.  Kelucuan tahap maksimam melanda hatinya.
Dalam pada itu, hatinya teringin betul nak kenal dengan perempuan yang berjaya mencuri hati Ikmal.  Pasti bukan calang-calang orang kalau dah setahun perempuan itu berkahwin pun, Ikmal masih belum mencari pengganti.
"Aku tau Zam, aku terima hakikat itu.  Tapi aku sedih kalau dia betul-betul tak bahagia.  Budaknya baik, bijak, serba-serbilah.  Kalaulah dapat kat aku, pasti aku tatang dia macam minyak yang penuh" 
"Kalaulah aku dapat kenal dengan orang yang berjaya mencuri hati handsome guy MCKK ni" 
Sambil menyatakan impiannya, Nurezam ketawa mengingatkan gelaran yang mereka berikan pada Ikmal di zaman sekolah dulu.   Ramai-ramai pelajar lelaki batch mereka di MCKK dulu,  Ikmal tergolong dalam pelajar lelaki terkacak.  Ikmal kapten bola sepak mereka dan dia selalu jadi tumpuan pelajar perempuan sekolah lain.  Tapi Ikmal tak pernah melayan, dia memang tak main cintan-cintun masa belajar ni.  Bukan macam Nurezam, Fazley, Yazid yang sering bertukar makwe setiap kali ada peluang.
"Betul ke engkau nak tengok dia?"  Ikmal menyuarakan soalan.
"Ada peluang ke?"  Muka Ikmal direnungnya.  Matanya sengaja dibesarkan. Teruja dengan soalan yang keluar dari mulut Ikmal.
"Ada.  Petang ni pukul 4.00, diorang ada lawan tenis antara jabatan.  Dia peminat nombor satu sukan tenis.  Hampir bertanding sehingga ke peringkat negara, sebab tak setuju dengan syarat pakaian, dia tarik diri di saat akhir."  Tahu benar Ikmal yang perempuan itu tak pernah melepaskan peluang jika ada perlawanan tenis.
"Okey, aku akan tunggu sampai petang.  Aku nak kenal bidadari engkau"  Nurezam tergelak.
Dalam waktu  yang sama, tak tau apa puncanya, hatinya terasa berdebar-debar.  Mata kanannya pun asyik berkedip tak menentu.  Apa agaknya yang hendak dilihatnya?
Ikmal tersenyum mendengar cakap Nurezam.  Sementara menunggu waktu yang ditunggu sampai, Ikmal membawa Nurezam melawat rumahnya.


            NUREZAM sampai di rumahnya di Sri Petaling jam 7.15 malam.  Rasa terkejutnya ketika dikenalkan dengan bidadari Ikmal walau hanya dari jauh masih berbekas di hatinya.  Begitu hebatkah perempuan itu sehingga bisa mendapat tempat di hati Ikmal yang bukan calang-calang orang tastenya?  Tak mudah untuk Ikmal jatuh suka dengan sembarangan perempuan.  Benarkah aku lelaki bodoh seperti mana yang diperkatakan Ikmal?  Bicara yang dilontarkan oleh mulut cabul Dr Ikmal berpusing-pusing di kepalanya.  Benarkah dia lelaki yang menolak tuah?  Malam itu hati lelakinya yang keras seperti dilanggar sesuatu.  Dia keliru!!  Sangat-sangat pening!!

            Bukan salah Ikmal bila dia bicara sejujur itu.  Kalaulah Ikmal tahu perempuan yang dibicarakannya itu adalah isteri Nurezam yang dipilih oleh datuk dan datin pasti dia takkan sewenang-wenangnya mengutuk suami perempuan itu.  Terpukul betul rasanya bila kawan baiknya sendiri menaruh hati terhadap perempuan yang tak pernah dihiraukannya langsung.  Tiba-tiba keinginan untuk mengenal perempuan yang sah miliknya itu  timbul di hati.  Tapi bagaimana dia nak memulakannya?  Segala-galanya serba asing.  Dia malu dengan sikap egonya yang tinggi selama ini.  Maukah Azimah berbaik dengannya setelah dilayan sebegitu rupa?   Setelah dia sendiri menggariskan sejauh mana hubungan mereka.  Tak malukah Nurezam jika bertindak melanggar janji yang dia sendiri lafazkan?  "Saya tak akan ambil tahu hal awak!  Saya tak akan ambil tahu hal awak!"  Terngiang-ngiang di telinga bicara sombongnya ketika mereka berdua di dalam bilik dulu.  Hari ini, baru dia tahu betapa teruknya perangai Nurezam.  Hari itu, dalam tidur pun dia diganggu dengan sifat keegoannya selama ini.  Padan muka aku!!!!


            NUREZAM melihat skrin telefon bimbitnya.  Ada missed call dari Zafri.  Kenapa agaknya lelaki yang menghadiri Seminar Motivasi Dalam Pengurusan itu menghubunginya?  Seminar yang disediakan pihak syarikat untuk pegawai-pegawai kanan syarikat itu bermasalahkah?  Cepat Nurezam menghubungi Zafri.  Tak mau dia dimarahi Datuk Shukri kerana hal sekecil itu.

            "What's up Zafri?"  Nurezam terus kepada tujuan sebenarnya.
            "You kena datang seminar ni Zam.  By hook by crook I request you datang!" 
            Permintaan Zafri kedengaran pelik di telinganya.  Apa pulak kenanya si Zafri?
            "Tapi kenapa Zaf?  Seminar ada masalah ke?"  Bimbang benar dia jika seminar yang bertujuan meningkatkan motivasi pegawai kanan syarikat  mereka itu bermasalah.
            "Bukan masalah itulah.  I nak you kenal dengan our speaker hari ni.  Tip! Top!  Number one!  Berbanding semalam, penceramah hari ni bijak mengatur bicara, pandai mengawal emosi para peserta.  Bayangkanlah, takda seorang pun yang mengantuk.  Kalau boleh masa rehat pun para pekerja kita nak terus dengar dia mengeluarkan kata"
            "Wah!  Hebat sangat ke orangnya?"
            "Datang dan nilai sendiri.  I know today is Sunday.  Lupakan date you dengan Mimi.  Mimi tak lari tapi penceramah ni, hari ini aje you boleh jumpa.  Bye!  Our seminar dah nak mula semula"
            Nurezam kecewa bila Zafri meletak telefon sebelum dia dapat bertanya lebih lanjut.  Fazley kan pergi juga…. Nurezam tersenyum.  Nombor telefon lelaki itu didailnya, cuba nak mendapatkan maklumat yang lebih dari Fazley pula.
            "Nanti I call you semula Zam.  I tak boleh lepas sessi ni.  See you next!"
            Tak sempat dia nak bercakap langsung, Fazley dah memutuskan talian.  Kalau Fazley yang paling malas mengikuti seminar pun boleh begitu bersemangat, maksudnya Zafri tak berbohong.  Itu kesimpulan yang dapat dibuat Nurezam.  Tak berfikir panjang, Nurezam berkeputusan untuk menghadiri seminar di Dewan Serbaguna syarikat Bermuda Jaya.  Dia hanya menghantar sms untuk membatalkan janjinya dengan Mimi.  Kemudian telefonnya dimatikan.  Kalau tidak, pasti dia tak terjawab segala macam bentuk pertanyaan dari Mimi yang tak berpuas hati.

            30 minit juga masa yang diambilnya sebelum sampai ke bangunan yang berdiri tegak itu.  Kakinya dilangkahkan ke dewan yang gamat dengan suara ketawa dari peserta seminar.  Pasti ada yang seronok sampai mereka boleh ketawa begitu.  En Lokman, pegawai yang bertanggungjawab mengatur perjalanan seminar itu mempersilakannya duduk.  Walaupun diminta ke barisan hadapan Nurezam memilih untuk duduk di barisan belakang sahaja.  Wajah penceramah yang mengenakan baju kot nipis berwarna kelabu yang dipadankan dengan seluar yang sama warna dengan baju sedang menulis sesuatu di dash board tak dapat dilihatnya.
           
            Subhanallah!  Ketika penceramah itu berpaling, sekali lagi hatinya tersentak hebat.  Ternganga Nurezam melihat kelancaran dan kebijaksanaan perempuan itu mengupas satu demi satu tajuk yang diperbincangkan.  Ketika sesi soal jawab, berpusu-pusu para pegawainya mengajukan soalan.  Perempuan yang tak lokek dengan senyuman  itu pun tak kalut melayan soalan demi soalan yang ditujukan kepadanya.  Ada rasa cemburu timbul di hatinya melihat para pegawainya boleh berbicara mesra dengan perempuan yang dimaksudkan Zafri.  Sakit hati pulak dengan perangai ulat bulu Fazley, isteri orang pun nak dikebasnya.  Tapi, dia sepatutnya tak berhak untuk merasakan begitu terhadap perempuan yang langsung tak dihargai kehadirannya dalam hidupnya setahun yang lalu itu. 

            Seminar sudah sampai ke penghujung, Azimah masih dikerumuni para pekerja Bermuda Jaya.  Masing-masing mengambil kesempatan berkenalan dan berbual dengan penceramah muda yang mereka rasakan hebat dan berketerampilan.  Hanya anggukan kepala yang ditunjukkan kepada Zafri sebagai tanda dia bersetuju dengan apa yang dibicarakan lelaki itu sebentar tadi.  Lelaki itu pula melempar senyum penuh makna memandangnya.  Tak taulah samada dia gembira dengan kedatangan Nurezam atau bertujuan menyindirnya.

            Bila Nurezam menghampiri Azimah bersama Lokman barulah para pegawai kanannya menyisih.  Ada perubahan di wajah Azimah yang dapat dikesan Nurezam saat Lokman mengenalkan Azimah kepada Nurezam.  Teragak-agak perempuan itu menyambut huluran tangan Nurezam.  Ada pandangan pelik di mata Lokman bila melihat tangan mereka berjabat.  Mungkin Lokman ingat dia nak 'mengusha' Azimah agaknya.  Ketika Nurezam meminta kelepasan untuk menghantar sendiri Azimah ke kereta, Lokman tak banyak cakap, akur saja.  Cuma pandangan matanya yang sangsi terus menikam muka Nurezam.  Apa agaknya reaksi Lokman kalau dia tahu Azimah itu, isterinya.

            "Sorry!  Saya tak tau ini syarikat awak.  Kalau saya tau, tentu saya tak akan terima tawaran Dr Faridah ni"
            Sebaik saja mendapati tiada orang bersama mereka, cepat Azimah bersuara.  Tak mau benar kalau tindakannya boleh mengundang kemarahan tak rasional di hati anak Datuk Shukri dan Datin Khadijah.  Azimah memang jarang menolak kalau ada mana-mana syarikat atau sekolah-sekolah yang memerlukan khidmatnya.  Daripada bingung duduk sendiri di rumah, lebih baik dia berkongsi ilmu dengan orang lain.  Bukan bayaran yang diharapkannya tapi seronok bila dapat berkongsi dengan orang yang sudi menghargai!
            "Tak kisahlah tu.  You memang talanted
Buat pertama kali Nurezam memuji Azimah.  Azimah tak pula memberikannya reaksi yang diharapkan.  Tiada sebarang ungkapan dari Azimah selain meminta diri.  Sebelum berlalu sekali lagi perempuan itu menjabat tangannya.  Yang berbezanya, kali ini tangan Nurezam diciumnya.  Buat pertama kali juga Nurezam benar-benar selesa dengan rutin isteri setiap kali mereka bertemu dan berpisah.  Ketika kenderaan yang dipandu isterinya dipecut laju, Nurezam masih terus merenung kenderaan yang semakin menjauh.
"How?"
Suara Zafri jelas di telinganya.  Pasti Zafri memerhatikan mereka sejak tadi.
"Memang ada classNumber one!"
"But Mr Nurezam, don't forgetShe only 'kampung women' yang you selalu perlekehkan kewujudannya"
Zafri kedengaran cuba memulangkan paku buah keras.  Tak tunggu lama, langkahan kakinya terus dibawa ke kereta yang sedang menunggu.  Terhenyak dada Nurezam mendengar bicara lembut yang menusuk dadanya.  Terpukul betul dengan bicara Zafri yang merupakan bicara mulutnya sendiri.  Mungkin itu balasan awal yang mula dirasakannya kesan dari ego lelakinya.  Berminit-minit jugak dia berdiri tegak di tempat letak kereta.


            "APAHAL cari aku?  Macam penting sangat aje"  Muka Fazley yang sedang menghadapnya makan ditenung.
            "Engkau aje yang boleh tolong aku kali ni Zam"
            "Apa yang aku boleh bantu?"  Nurezam meneruskan suapan nasinya ke mulut.
            "Aku nak kenal dengan Puan Azimah, penceramah di seminar minggu lepas tu.  Engkau mesti boleh dapatkan alamat atau sekurang-kurangnya nombor telefon dia"  Sedap saja permintaan itu keluar dari mulut Fazley.
            Tersedak Nurezam yang sedang mengunyah nasi di mulut.  Cepat-cepat dia meneguk sky juice untuk melegakan tenggoroknya.  Panas terus badannya, menyerbu semua darah ke muka sebaik menerima permintaan Fazley.  Darahnya terasa seperti menggelegak.  Walaupun Azimah tak pernah dianggap sebagai isteri, rasa mendongkol di hati bila perempuan itu mahu dirampas teman sendiri tak dapat dihindarnya.  Berdesing terus telinganya, tak keruan terus rasa hatinya.  Terlalu istimewakah dia sehingga Fazley pun terhegeh-hegeh mengejar perempuan yang sudah pasti dengan title 'puannya'.
            "Engkau dengar tak apa yang aku cakap ni?"
            Sergahan Fazley menghilangkan terus bayangan wajah perempuan yang murah senyum dan sentiasa bertenang itu dari mata Nurezam.  Digantikan pula dengan wajah lelaki yang menimbulkan kejengkelan di hatinya.  Hilang terus seleranya nak menghabiskan nasi di pinggan yang masih berbaki.
            "Apahal pulak engkau nak nombor telefon dia?  Engkau jangan cari bala, isteri orang tu.  Puan tu Ley, bukan cik lagi"  Nurezam memberi jawapan sambil mengawal rasa marah di hati.
            "Tak kisahlah tu Zam.  Hati aku dah terpikat.  Takkan engkau tak boleh dapatkan untuk aku"  Fazley terus enggan mengalah.  Hanya Nurezam yang dapat membantunya bila Azimah sendiri enggan memberikan nombor peribadinya tempohari.
            "Tak naklah aku subahat dengan engkau.  Kalau engkau berani minta pada Datuk Shukri, dia yang uruskan hal ni bukan aku" 
Nurezam mengemukakan alasan lagi.  Suaranya sudah mula meninggi.  Takkanlah dia bodoh sangat nak mengenalkan isteri sendiri kepada orang lain.  Sendiri pun tak pernah usik takkan senang-senang nak diserahkan pada orang lain pulak.
"Apahal yang engkau baik sangat ni?  Ke engkau pun ada hati pada Puan Azimah tu?  Tak cukup ke dengan Mimi?  Takkan selera engkau dah bertukar kot?" 
Tanpa menyangka apa-apa Fazley terus nak bergurau seperti selalu.  Tak tau yang kata-katanya bakal mengundang kemarahan lelaki yang memang menunggu masa saja nak meletup.
"Boleh blahlah Ley!  Pergi mampus dengan engkau!" 
Nurezam memekik dan terus bangun dari kerusi yang diduduki dengan hati yang panas.  Dia pergi begitu saja meninggalkan Fazley terpinga-pinga sendiri.  Beberapa teman sepejabat yang berada di situ memerhatikan Fazley yang masih terkulat-kulat di meja menerima reaksi Nurezam.

Pening Fazley memikirkan salahnya sampai Nurezam boleh naik berang.  Takkan salah kalau dia nak kenal dengan Azimah yang tak ada kaitan pun dengan Nurezam.  Atau Nurezam pun seperti dia, ada hati juga pada penceramah muda berketerampilan yang ternyata berjaya mengusik banyak hati pekerja yang mengikuti seminar minggu lepas.  Memang Fazley tertarik benar dengan Azimah yang serba menyenangkan di mata dan hatinya.  Takkan Ezam yang sudah ada special girlfriend masih ingin berebut dengan dia?  Takkan Mimi yang dipertahankan sampai dia boleh meminggirkan isteri sendiri itu tak bernilai langsung pada Nurezam?  Pening betul Fazley, ketika dah masuk ke pejabat pun dia masih memikir kenapa Nurezam marah sangat.  Kalau Pn Azimah tu isteri dia, logiklah dia marah.  Nurezam!  Nurezam!  Tak faham betul dia.

No comments:

Post a Comment