Monday 3 November 2014

DIDK P1

BAB SATU
         


           Angin bertiup lembut ke wajah pasangan yang sedang duduk berdua itu.  Tiada kedengaran suara antara mereka.  Masing-masing sedang memikirkan cara terbaik untuk memulakan bicara setelah perbualan panas mereka terputus sebentar tadi. 

            "Tak mungkin saya boleh masuk agama awak, Ajim!"  Si lelaki memulakan bicara.
            "Kalau macam tu, kita putus kat sini saja"  Si perempuan membalas bicara.
            "Tapi, saya sayangkan awak.  I love you, Ajim!"  Tertekan benar emosi lelaki itu ketika menerima tindak balas cepat dari teman wanitanya.

            Perempuan yang sedang menuntut di IPTA tahun kedua, semester kedua itu terdiam.  Azimah, pelajar yang lebih mesra dibahasakan sebagai Ajim oleh kawan-kawan itu memutuskan untuk berlalu sahaja tanpa memberi jawapan selanjutnya pada Steven.  Tak sangka pertemuannya dengan lelaki berlainan bangsa dan agama itu berakhir begitu hari ini.  Sebentar tadi, sebelum bertemu lelaki itu dia ceria betul.  Rupa-rupanya itulah petanda bermulanya masalah dalam perhubungan mereka.   Derapan kaki Steven yang mengejar langkah pantasnya tak dipedulikan.  Panggilan Steven yang satu ketika dulu amat disenanginya seperti tak kedengaran langsung di telinganya. 


            STEVEN CHAN GUAN CHONG, pemuda Cina beragama Kristian itu merupakan lelaki pertama yang menagih kasih dari Azimah.  Walaupun berlainan bangsa dan agama mereka dapat berhubung dengan baik sekali pada awalnya.  Segalanya bermula bila Azimah selesai menduduki peperiksaan kertas Statistik 1 di lobi satu, Dewan Canselor Tun Abdul Razak.  Ketika itu Azimah masih di tahun satu, semester pertama.  Seorang lelaki yang diagaknya berbangsa Cina berdasarkan wajahnya, menghampiri Azimah dan berniat meminjam calculator saintifiknya. 

            "Tolonglah dik!  Saya nak masuk exam ni, perlu sangat calculator.  Nanti saya pulangkan semula"  Fasih sekali pemuda Cina yang kacak itu bertutur bahasa Melayu.
            "Macamana awak nak pulangkan nanti?"  Azimah masih terkejut sebenarnya dengan permintaan lelaki itu.
            "Ada handphone tak?" 
            Azimah geleng kepala.  Dalam hati dia membebel dengan kecuaian lelaki itu.  Dah tau nak guna calculator, tak bawak pulak.  Geram dia.
            "Ambil telefon saya ni, I' ll call you after examWhere ever you are, I'll find you."

            Calculator dan handphone bertukar tangan.  Tak banyak cakap Azimah terus berlalu selepas mendengar ucapan terima kasih dari lelaki itu.  Orang dalam kesusahan, apa salahnya menghulurkan bantuan.  Berbanding dengan calculator, handphone yang dijadikan lelaki itu cagaran jauh lebih mahal.  Takkan dia nak menipu.


            MATA Salwa yang tak berkelip memandangnya dibalas kembali.  Azimah cukup pasti yang Salwa akan terus bercakap sehingga dia berpuas hati.

            "Ajim!  Dah tak ada lelaki bangsa kita yang boleh dibuat special ke sampai engkau pilih anak Cina tu?"  Tak puas hati betul Salwa sebaik mendengar pengakuan kawan baiknya itu.
            Bulan lepas, bila ditanya tentang gosip liar hubungan intimnya dengan anak Cina itu, dia menafikan.  Tapi, hari ini bila dia balik ke bilik yang mereka kongsi bersama, Azimah memberikan jawapan yang sebaliknya pula.
            "Kenapa Sal, tak boleh ke?  Orang Cina tu bukan orang ke, tak layak jadi kekasih aku?" 
Azimah menghadap muka Salwa yang tak berapa ceria.  Saat itu wajah Steven, yang dibahasakan 'anak Cina' oleh Salwa terbayang di fikirannya.  Sepanjang tempoh mereka berkawan memang lelaki itu sentiasa melayan Azimah dengan baik.
            "Memanglah orang.  Tapi, banyak masalah nanti Ajim.  Perbezaan agama, pertembungan budaya yang berlainan, macam-macam lagilah.  Lagi satu, mak engkau kat kampung tu.  Setuju ke dia bermenantukan mualaf!"  Terus terang sahaja Salwa mengeluarkan bijik bicaranya.
            "Entahlah Salwa.  Kalau fikirkan hal tu aku takut.  Tapi, aku ikhlas sayangkan Steven.  Lagipun, dia aje yang proposed cinta aku secara berdepan dan penuh keikhlasan" 
Wajah Azimah yang memandang ke katil dihadapnya.  Simpati mendengar bicara teman yang duduk di sebelahnya itu.  Ada kebenaran juga pada kata-kata rakannya itu.  Kalau ada orang lain yang proposed, bolehlah dibuat pilihan.  Kalau ada orang lain tak semestinya memenuhi citarasa sahabatnya itu.  Betul juga kata dia. 
"Okeylah Ajim.  Aku hanya mampu doakan hubungan engkau dengan Steven akan succes"  Salwa tersenyum manis, tak lagi dia menggunakan perkataan 'anak Cina'.

Salwa, satu-satunya teman baik Azimah akur juga akhirnya.  Walaupun masih ada keraguan tentang kesudahan mereka, sebagai kawan dia tak sepatutnya menghalang Azimah.  Tak salah kalau kita mencuba.  Lagipun, kalau hati dah suka, ada keserasian, apa salahnya.  Lagipun, Steven, anak ahli perniagaan yang berasal dari Ipoh Perak itu memang baik.  Salwa pun turut menerima layanan baik anak orang kaya Ipoh itu.

Belum pernah sekalipun Azimah mengadu hal yang tak elok berkenaan perangai Steven.  Sejak Steven, pelajar Kejuruteraan Awam tahun tiga itu mengenali dan berkawan dengan Azimah, sahabatnya itu sentiasa riang.  Salwa dan Anita, rakan sekelas yang juga tinggal di Kamsis Ibu Zain turut tumpang senang.  Kalau dulu, setiap kali ada kelas malam, mereka terpaksa memanjat tangga yang beratus-ratus anak tangganya itu sebelum boleh sampai ke hostel.  Adanya Steven yang sudi menjemput Azimah pergi dan balik memudahkan mereka.  Tak pernah lagi wujud perasaan takut bila terpaksa melalui tangga pada waktu malam yang mana sebelah-menyebelahnya masih terdiri dari kawasan hutan.  Dengan kereta buah hati temannya itu tak sampai berapa minit mereka sudah sampai ke depan hostel.  Dihantar sampai ke hadapan bangunan lagi!!!  Kerap juga Steven membawa mereka keluar makan malam di Bandar Baru Bangi.  Mana lagi kalau bukan Restoran Dyana yang jadi pilihan.  Bukan Steven tak mampu membawa mereka makan di kedai yang ada kelas, tapi itu restoran favourite Azimah.


            AZIMAH TERSEDAR dari lamunan bila namanya dilaung kuat oleh Steven.  Manis sekali senyuman lelaki yang sedang duduk di hadapannya itu.  Benar-benar ikhlaskah atau senyuman menyindir.  Entah berapa lama agaknya dia membiarkan Steven berbicara sendiri.  Pasti lelaki itu jadi geram bila mendapati fikirannya tidak berada di situ.  Memang fikirannya melayang jauh ke kampungnya di Johor.  Emak dan ayahnyalah yang berada di fikiran Azimah sebelum dia tersedar kesan dari panggilan dari lelaki itu.

            "Apa yang Ajim menungkan?"  Steven terus melontar pertanyaan. 
            "Tak ada apa-apalah."  Azimah cuba mengelak dari membicarakan hal yang sedang difikirkannya.  Belum masanya untuk dikongsikan dengan lelaki itu.
            "Tak mungkin tak ada apa-apa.  Lebih 5 kali Steve panggil, baru Ajim balik ke dunia realiti.  Ajim tak ikhlas keluar dengan Steve hari ini?"  Wajah manis anak kelahiran Johor yang berkulit putih kekuningan itu ditatapnya terus.  Tak puas jika memandang mukanya sekejap-sekejap.  
Banyak-banyak teman perempuan yang dikenalinya, hati lelakinya terpaut pada Azimah.  Bukan pada Mei Lin, Szu Mei, Ei Chin atau sesiapapun teman yang sebangsa dengannya.  Azimah, pelajar Melayu tahun satu itu yang terpilih menghuni di dasar hatinya.  Senyuman perempuan itu sahaja sudah mampu menggetarkan hati lelakinya.
"Apa yang Steve nak tanyakan Ajim tadi?"  Azimah cuba mengelak dari membicarakan punca dia melamun.
"Steve nak ikut Ajim balik ke Johor.  Boleh tak?"  Steven terus memandang muka Azimah yang dilihatnya seperti terperanjat.
"Nak ikut Ajim balik Johor?  Tak payahlah. Lain kalilah Steve" 
Sedaya upaya permintaan lelaki itu ditolaknya.  Terkeluar agaknya bijik mata mak dengan ayahnya bila anak sulung mereka membawa balik lelaki Cina ke rumah.  Tak terbayang di kepalanya bagaimana buruknya layanan mak pada Steven nanti.  Entah-entah orang tua itu jatuh pengsan.  Kalau tak pun, aku tak mau diakuinya sebagai anak.  Haru nanti Kampung Baru, Sri Bengkal dengan kisah anak sulung Pak Zainal.
"Kenapa?  Ajim takut orang tua Ajim tak setuju dengan hubungan kita.  Steve ni tak cukup bagus ke?"  Azimah dihadapkannya persoalan itu.
Macamana aku nak jawap pertanyaan dia ni?  Nak berterus terang ke kena menipu ni?  Baik aku berterus terang.  Sempat lagi Azimah berfikir sebelum menjawap pertanyaan Steven.
"Bukan macam tu Steve.  Steve memang baik, terbaik dari semua kawan lelaki yang Ajim pernah kenal.  Steve kena ingat,  Ajim ni orang kampung.  Emak dan ayah Ajim kurang terbuka berbanding dengan orang bandar.  Kahwin campur ni, terlalu asing bagi mereka"  Azimah menerangkan keadaan sebenar sambil muka pelajar lelaki tahun akhir yang bakal menerima ijazahnya tahun hadapan itu ditatap.  Azimah memang berterus-terang saja tentang asal-usulnya.  Dia tak malu mengaku berasal dari kampung dengan sesiapa saja. 
Anak Cina kelahiran Ipoh yang menjadi teman istimewa Azimah ini memang lain dari lelaki sebangsanya yang dikenali Azimah.  Anak tunggal lelaki dari sebuah keluarga kaya itu, sangat kaya dengan budi bahasa.  Tak tau bagaimana mahu diterangkan, tapi dia memang baiklah.  Itulah penilaian Azimah kalau ada sesiapa bertanya.
"Habis tu, bila Ajim nak kenalkan Steve dengan mereka?  Tahun depan Steve dah tak belajar kat sini lagi."  Steven mengingatkan Azimah.
"Habis, tahun depan Steve dah tak nak kawan dengan Ajim lagi ke?"  Azimah sengaja mahu menduga lelaki di hadapannya itu.
"Tentulah nak.  Takkan Steve boleh lupakan Ajim"  Steven tersenyum memberikan jawapan. 
Seminggu tak berjumpa pun dia akan keresahan merindukan perempuan itu, inikan pulak nak berpisah lama-lama.  Atas sebab itulah, bila habis belajar nanti dia sudah ada perancangan untuk bertugas di Selangor sahaja.  Bila dekat dengan perempuan itu, mudahlah dia menemuinya setiap kali ada masa yang terluang.
"Nanti, kalau dah bersedia, Ajim ajak Steve ke Johor"  Azimah memberi janji yang tak pasti.
"Jangan lama-lama sangat.  Steve dah tak sabar nak jumpa bakal keluarga mertua"  Steven suka dapat mengusik Azimah.
"Gatal!"  Azimah tersenyum membalas usikan Steven.
"Tolonglah garu!"  Tak berhenti dia mengusik.
"Mengada!!"
Ketawa mereka akhirnya bersatu mengakhiri gurauan.  Memang saat itu terlalu indah bagi mereka yang memang saling mencintai satu sama lain.




SUDAH SETAHUN Steven dan Azimah menjalinkan kasih.  Ramai kawan-kawan bercerita di tepi tentang hubungan cinta dua pelajar yang berlainan bangsa dan agama itu.  Namun itu semua tak menjadi halangan kepada hubungan mereka yang semakin intim.  Walaupun berlainan kos, Steven dan Azimah selalu menelaah pelajaran bersama.

"Steve, Ajim nak tanya soalan boleh?" 
Steven mengalihkan pandangan dari nota yang sedang dihadapnya.  Wajah teman yang sedang melontar senyum jadi santapan matanya.
"Tanyalah.  Selama ni pernah ke Steve tak benarkan Ajim bertanya" 
Senang sekali menatap wajah manis yang murah senyum di hadapannya itu.  Apa agaknya yang hendak ditanyakan gadis kesayangannya itu?  Steven tersenyum sendiri menantikan soalan yang tak kunjung tiba di telinganya.
"Kenapa Steve suka orang Melayu?"  Soalan itu melantun keluar dari mulut Azimah.  Dah lama dia nak tahu punca Steven tidak memilih perempuan sebangsanya sebagai teman wanita.
Azimah sendiri tak pernah menyangka, Steven yang mulanya hanya kelihatan ambil berat setelah dia menabur jasa yang terlalu kecil rupanya ada menyimpan perasaan.  Azimah menyangka kebaikan Steven hanya bertujuan membalas budinya yang tak sebesar mana.  Terkaku sekejap Azimah bila Steven meluahkan perasaannya terhadap Azimah setahun yang lalu.  Kalau nak dibandingkan dengan pelajar lain, Azimah hanya serba sederhana.
"Steven bukan suka orang Melayu, tapi Ajim"  Steven bertindak membetulkan andaian Azimah.
"Tapi, Ajim kan orang Melayu"  Azimah tak memahami maksud Steven. 
"Melayu ke, India ke, yang penting orang itu Ajim.  Steven suka you sebab you Ajim" 
Steven tersenyum menerangkan ketidakfahaman Azimah.  Dia memang jatuh cinta dengan Azimah kerana peribadi perempuan itu, bukan bangsanya.
"Peliklah Steve ni!"  Azimah ketawa menyambut jawapan Steven.
"Ajim tak suka?"  Muka perempuan Melayu itu ditenungnya.  Seronok melihat perempuan itu senyum malu dengan pertanyaannya.
"Ajim tak suka Steve ke?" 
Sekali lagi soalan itu diulangnya.  Tak puas hatinya selagi tak memperoleh jawapan dari perempuan itu.  Selain itu memang dia sengaja nak mengusik.  Dah lama dia menghadap nota, pasti tensionnya hilang kalau dapat mendengar ketawa gembira Azimah.
"Suka….."  Azimah menjawab perlahan sambil tunduk malu.
"Steve suka tengok Ajim malu"  Terus saja Steven memberi komen dan matanya masih tak dilarikan dari merenung Azimah.

Azimah geram dengan usikan Steven.  Mengelak rasa malu berterusan bila ditenung oleh Steven, pantas saja tangannya bertindak memukul bahu lelaki itu. Mengelak-ngelak Steven dari terkena pukulan Azimah.  Sudahnya mereka akan ketawa bersama.  Saat indah itu akan terus kekal di hati mereka.

No comments:

Post a Comment