Saturday 8 November 2014

DIDK P8

BAB LAPAN





            Azimah duduk termenung di atas katil.  Sejak sampai semalam, Azimah lebih banyak berkurung di dalam bilik.  Hatinya tak seperti selalu.  Wajah Salwa, kawan baik yang mengetahui setiap inci perhubungannya dengan Steven terbayang di mata.  Salwa yang bertemu jodoh dengan Amirul sedang sarat mengandung.  Tak sesuai jika Azimah nak mengadu masalah kepadanya.  Dia malu juga nak menghadapkan masalah itu kepada Nurizati.  Anak orang kaya Melaka itu sedang bercuti ke New Zealand bersama seluruh ahli keluarganya. Akan marahkah Nurizati bila aku melangsungkan perkahwinan tanpa memberitahu dia?  Masanya terlalu singkat.  Awalnya Azimah diberitahu yang dia akan ditunangkan sahaja ketika cuti semester kali ini.  Tapi berita memeranjatkan itu pula yang diterima dari Pak Zainal.

            "Tak payah bertunang, langsung sahaja terus"
            Pak Zainal memberitahu Azimah sebaik saja anak perempuannya itu tiba dari Selangor.  Pasti Azimah yang terperanjat dengan perkhabaran itu tak berdiam diri saja.
            "Tapi ayah…."  Azimah cuba untuk membantah.
            "Ayah tahu.  Kamu cuma nak nikah, baca doa selamat saja kan.  Kerana kamu dah setuju dengan lamaran mereka, ayah ikut kehendak kamu Ajim"
            Walau andaian Pak Zainal meleset dari apa yang mahu dibicarakannya, Azimah akur sahaja.  Selepas itu dia menurut saja semua arahan Pak Zainal.  Semuanya diuruskan oleh Pak Zainal bersama bakal bisannya,  Datuk Shukri.  Azimah cuma perlu menandatangani beberapa borang untuk majlis akad nikah itu.  Saat itu Azimah seperti robot, dia seperti tak berperasaan, menurut saja segala yang diarahkan.


            AMAR simpati memandang wajah Azimah, kakak merangkap ahli keluarga yang memiliki hubungan paling rapat dengannya.  Dia nak membantu kak Long yang banyak menghulurkan bantuan ketika dia kesusahan, tetapi tak berdaya membantah kemahuan ayah dan emak mereka.  Sebaik diberitahu apa yang berlaku oleh Azimah, terus saja Amar mengambil cuti emergency dan balik ke Johor.  Dia mengambil cuti semata-mata nak menemani kakak sulungnya itu.

            "Long tak gembira dengan ketetapan ayah dan mak?"  Amar memulakan bicara sebaik mereka dapat berdua di dalam bilik kakaknya.
            "Long tak mau kecewakan mak dan ayah Amar."  Azimah memberitahu kesukarannya.
            "Tapi, tak adil bila mereka letakkan Long dalam dilema"
            "Tak apalah Amar.  Long cuba untuk tidak menganggap hal ni sebagai satu bebanan.  Masih ingat nasihat Along pada Amar, sekarang nasihat tu berguna untuk diri Long pulak.  Hanya kita yang boleh buat pilihan samada kita nak gembira atau sebaliknya.  Kita yang perlu putuskan, kita sendiri yang tentukan perkara tu sebagai apa.  Long memilihnya sebagai satu kebahagiaan.  Walaupun apa yang berlaku adalah sebaliknya, Long tetap akan rasa bahagia"
            "Tapi Long….."  Dia tak mahu orang kesayangannya terpaksa melalui hal yang begitu.
            "Tak ada tapi-tapinya Amar.  Long dah cukup bahagia dapat adik seprihatin kamu.  Selepas ini, giliran kamu pulak untuk sekolahkan adik-adik.  Long dah ada tanggungjawab lain"
            "Amar faham Along.  Long, Amar ucapkan berbanyak terima kasih sebab Long banyak kali tolong Amar.  Kalau bukan bantuan Long, Amar belum ada keretapun" 
Amar mengungkit dan tangan Azimah digenggamnya erat.  Merasa bersalah bila dia selaku satu-satu saudara lelaki tak dapat menghulurkan pertolongan untuk membantu kakaknya.
            "Along harap sangat hubungan kita akan semakin rapat walaupun Long dah kahwin"
            "Amar pun harap begitu"
            Semalaman dua adik beradik itu berbual.  Pak Zainal dan Mak Sakinah tak larat nak melarang.


            AZIMAH duduk di sofa yang masih kosong.  Walaupun agak janggal, dia turut menyertai keluarga mertua yang sedang duduk berbual di ruang tamu.  Azimah masih belum biasa dengan suasana serba baru itu.  Walaupun Datin Khadijah, Datuk Shukri dan Nurin Balqis gembira benar dengan kemasukannya sebagai keluarga baru ke rumah mewah itu, orang yang sepatutnya tidak pula merasakan begitu.

            "Seminggu lagi kami akan pindah ke Sri Petaling papa, mama.  Ezam dah beli sebuah rumah di sana
Nurezam bicara dan sempat dia mengerling Azimah.  Harapannya supaya perempuan yang semakin mendapat tempat di hati seluruh ahli keluarganya itu mengerti yang dia mengharapkan bantuan jika orang tuanya terlalu banyak soal.
            "Kan dah elok-elok duduk kat sini.  Buat apa nak pindah.  Sunyilah mama nanti"  Datin Khadijah kurang bersetuju dengan niat yang dikemukakan Nurezam.
            "Mama tak kesian Ajim ke?  Jauh dia nak berulang dari sini ke Bangi, ma.  Sri Petalinglah lokasi yang paling sesuai.  Ezam ke KL dan Ajim ke Bangi"
            Dari awal lagi Nurezam telah membuat perancangan dengan baik.  Takkan nak biar diri diperangkap Datin Khadijah dan Datuk Shukri.  Dialah yang perlu memerangkap.
            "Baiklah, tapi jangan pulak kamu ambil kesempatan buli Ajim"  Awal-awal lagi  Datin Khadijah memberi amaran.
            "Takkan saya nak buli Ajim, ma!"
            Di luar dia bicara begitu.  Dalam hati TUHAN sahaja yang tahu bila terpaksa berlakon menyukai 'kampung women' yang tak match betul dengan seleranya.  Semuanya serba tak kena di matanya mengenai perempuan itu.  Kalau difikirkan pelik juga dia bila Datuk Shukri, Datin Khadijah dan tak terkecuali adik perempuannya yang cerewet itu sering saja memuji Azimah.  Ajim itu, Ajim ini, semuanya yang bagus-bagus diberikan pada keluarga baru mereka itu.  Naik berbulu telinganya.

            SEBULAN sudah dia tinggal bersama Nurezam di Sri Petaling.  Setiap hari pun dia tak pernah berteman.  Kadang-kadang dia dah tidur baru Nurezam balik ke rumah.  Dari awal lagi mereka dah tidur berasing.  Nurezam sendiri yang memilih begitu.  Kalau begitulah caranya lebih baik dia tinggal di BBB saja.  Walaupun bosan duduk sendiri dia ada banyak cara untuk mengatasi rasa bosan itu.  Bosan-bosan hari minggu pun dia boleh melakukan aktiviti lamanya.  Boleh bermain tenis dengan rakan-rakan atau pun bersama Nurizati menyertai ekspedisi memanjat gunung.  Biarlah Nurezam dengan perangai berpoya-poyanya.  Tak sudah-sudah dia keluar bersama kawan-kawannya.  Malam itu entah apa mimpinya, Nurezam balik ke rumah awal.  Azimah mengambil kesempatan berbicara dengan lelaki yang diketahuinya mudah naik angin itu.

            "Ezam, saya nak cakap sikit!"  Azimah memulakan bicara bila Nurezam menyertai dia menonton tv di ruang tamu.
            "Apa dia ?  Cakaplah"  Nurezam memandang Azimah.
            "Saya nak tinggal di rumah saya sendiri" 
            Azimah mengeluarkan hajatnya tanpa menghadap muka Nurezam.  Dia senang terus memerhatikan cerita di kaca tv.  Walaupun tak berapa dapat menangkap biji butir perbualannya, lebih bagus melihat gambar di tv dari memandang muka Nurezam yang tak berkenan di hatinya.
            "Macamana kalau papa dan mama suruh kita balik ke KL ataupun tiba-tiba dia datang ke sini dan awak tiada" 
Bimbang pula Nurezam bila perempuan itu meminta izin mahu duduk di rumahnya sendiri di BBB.  Pasti perancangannya tak akan menjadi.
            "Yang itu tak payahlah awak bimbangkan.  Awak beritahu saja, kalau tak nak call, sms saja.  Saya akan tolong awak.  Kalau awak perlu saya berada di Sri Petaling di hujung minggu, beritahu saja, saya akan balik tapi bersyarat." 
Kalau Nurezam bersyarat melepaskannya ke BBB, Azimah pun boleh bersyarat untuk memenuhi permintaan lelaki itu.
            "Apa syaratnya?" 
            Nurezam memandang geram kepada Azimah yang bercakap tanpa memandang mukanya.  Nasib baik dia yang memerlukan khidmat Azimah, kalau tidak pasti perempuan itu sudah diamuknya.  Pantang betul bila orang bercakap dengan kita tapi tak memandang muka.


            Azimah menyatakan segala syarat yang perlu dipatuhi Nurezam.  Mahu tak mahu terpaksa lelaki itu akur.  Mulai hari itu, bermulalah kehidupan yang semakin menjauhkan hubungan pasangan suami isteri itu.  Lakonan demi lakonan yang mereka pentaskan ternyata tak dapat dihidu sesiapa.  Diam tak diam sudah setahun mereka begitu.

No comments:

Post a Comment