Friday 14 November 2014

DIDK P16

BAB ENAM BELAS





             Nurizati menjenguk di pintu DK 4.  Ramai pelajar sudah keluar, tapi muka lecturer masih tak kelihatan.  Patutlah…. Masih ramai pelajar yang berkumpul bertanyakan sesuatu kepada Azimah.  Mahu tak mahu, kenalah Nurizati terus menunggu.  20 minit juga baru Azimah keluar.  Bukan tak boleh menanti di bilik, tapi dia memang tak sabar.

            "Assalamualaikum Nur!"
            "Waalaikumussalam!"  Pasti dia sudah sihat benar kalau senyuman di wajahnya kelihatan berseri sekali.
            "Nur, aku tau yang engkau dah tak sabar nak tau apa sebenarnya yang berlaku dalam hidup aku.  Tapi boleh tak kalau bukan sekarang?  Why don't you come to my house after office hour?  Ajim tak nak orang lain tau kisah hidup Ajim.  Cukuplah Nur seorang aje"  Azimah mengharap sangat yang Nurizati tak menolak permintaannya.
            "Okey Ajim, yang tu I agree.  Tapi, ada satu soalan yang Nur nak Ajim jawab sekarang.  Nur tak dapat tumpukan perhatian selagi tak tau jawapannya"  Nurizati juga bersyarat.
            "Apa dia Nur?  Tanyalah"
            "Nur pernah jumpa Ezam sebelum ni kan?" 
Muka Azimah ditatapnya terus seperti bimbang terlepas dari mendengar jawapan yang bakal keluar dari mulut perempuan itu.
            "Betul Nur"  Azimah tak langsung cuba nak menafi.
            "Jadi, betullah lelaki yang ….."
            Belum habis bicara dari mulut Nurizati, Azimah sudah memotong.  Tak mau perkara itu diteruskan Nurizati.
             "Betul, dialah orangnya Nur" 
Peristiwa beberapa bulan lalu bermain di matanya.  Memang Nurezamlah lelaki yang cuba dipadankan Nurizati dengannya di Sogo.  Memang lelaki itu suami aku, Nur!
            "Maafkan aku Ajim.  Aku tak bermaksud apa-apa, cakap aku hari tu memang ikhlas"  Bimbang pulak dia jika Azimah menyangka dia sengaja nak memperlinya.
            "Aku tau Nur, aku pun tak salahkan engkau sebab engkau memang tak kenal dia.  Mungkin TUHAN sengaja nak engkau tengok sendiri betapa hebatnya suami aku yang engkau nak kenal sangat tu"  Azimah menarik nafas panjang selepas melontar bicara..
            "Tapi, kenapa engkau tak beritahu aku?"  Sedih dia bila mendapati rakannya itu menanggung perasaan sengsara sendirian.
            "Engkau nak aku cakap macamana?  Agaknya kalau aku beritahu lelaki yang tengah berkepit dengan buah hati dia tu suami aku, kau percaya ke?  Nasib tak baik engkau tuduh aku gila"  Azimah ketawa mengeluarkan andaiannya.
            "Sedikit sebanyak aku dah faham masalah engkau.  Maafkan aku sebab selalu desak engkau kenalkan aku dengan your husband.  Aku benar-benar tak tau" 
Muka lelaki yang nampak baik dan penyayang itu tergambar di kepalanya.  Kenapa dia melayan Azimah begitu?  Dia berpura-purakah di hadapan aku?  Nantilah, petang ini pasti semuanya akan terjawab.
            "It's okay Nur.  Jom kita lunch, dah pukul 12.30 ni"
            "Jom!"  Nurizati setuju saja, perutnya pun dah berbunyi.

            Kecilnya dunia ni.  Banyak-banyak orang, suami teman itu rupanya yang mereka jumpa ketika membeli-belah di Sogo.  Dia siap memasangkan kawannya dengan lelaki yang sememangnya suami perempuan itu lagi.  Sambil menyuap makanan, wajah perempuan tabah itu direnungnya.  Kalau Nurizati diduga dengan masalah seperti itu, pasti dia sudah terjerit-jerit atau sekurang-kurangnya membawa perkara itu ke pengetahuan keluarga.  Tapi Azimah cool saja.  Mungkin, itulah kelebihan orang yang tak mahu memberatkan masalah.  Walau tak berapa setuju dengan cara temannya itu, itulah dia Azimah!


MATA Nurizati berkaca, air mata sayunya menitis.  Sedih kerana teman baiknya yang serba memahami itu diperlakukan sedemikian rupa.  Patutlah dia enggan berkongsi cerita.  Kagum benar dia dengan Azimah yang sentiasa tenang menghadapi masalah yang menimpa dirinya.  Calang-calang orang memang tak mampu untuk berbuat begitu.  Nurizati sendiri awal-awal akan angkat tangan, menyerah kalah.

"Kenapa engkau memilih untuk menerima saja permintaan orang tua engkau Ajim?  Engkaukan orangnya bijak, educated.  Kenapa biarkan diri engkau terjerumus dalam masalah yang serumit ini?  Memanglah ini semua takdir, tapi kitakan boleh memilih"  Walaupun perkara itu sudah terlajak, Nurizati masih mahukan alasan Azimah.
"Aku tak berdaya Nur.  Aku benar-benar tak berdaya nak menolak mak aku.  Aku dah tak punya alasan kukuh untuk diaju pada dia"  Azimah cuba menjelaskan apa yang menimpanya ketika itu.
"Tapi, mereka letakkan engkau di dalam dilema"
"Itu betul.  Bertuahlah engkau kerana ibu bapa engkau tergolong dalam mereka yang berfikiran rasional.  Mak aku tu lain.  Kalau aku tak akur dia akan marah, lebih tepat lagi dia sedih.  Dia nakkan yang terbaik untuk aku tanpa sedar yang perbuatan dia tu meletakkan risiko yang tinggi buat aku.  Aku redha saja Nur kerana hukum tetap hukum.  Barangsiapa yang menjadi punca murka ibu bapa, langkahan kakinya menghampiri neraka.  Aku tak sanggup tergolong dalam golongan yang begitu.  Biarlah aku tanggung apa saja yang mendatang demi mak aku, demi kegembiraan dia, aku redha"  Azimah menerangkan pegangannya.
"Memang aku educated, tapi tang tu aku memang tak ada daya Nur" 
Sekali lagi dia menegaskan kesukarannya ketika itu.  Kesukaran yang akhirnya menyatukan dia dengan Nurezam Datuk Shukri.
"Tapi, engkau sakitkan hati engkau sendiri.  Tak adil bila engkau cuma fikirkan kebaikan orang lain tanpa mahu menjaga kepentingan sendiri.  Itu menzalimi diri sendiri namanya." 
Bahu Azimah dipeluk erat Nurizati.  Airmatanya turun lagi.  Sedih benar dia mendengar cerita temannya itu.
"Aku memang cuba berikan yang terbaik untuk tak menghampakan semua orang.  Tapi aku tak berjaya juga Nur, aku menghampakan engkau dan lepas ni entah siapa lagi yang bakal aku hampakan.  Memang aku sakit, tapi aku boleh tenangkan diri aku sendiri.  Biarlah aku puaskan hati semua orang dulu, nanti baru aku fikirkan kehidupan sendiri."
"Engkau terlalu baik Ajim"  Semakin erat pelukan Nurizati.
"Selagi mampu aku akan terus menghadapinya.  Tak ada istilah susah kalau kita inginkan ia berlaku."  Azimah bertindak mengesat airmata Nurizati.
"Habis tu, apa yang aku tengok dua hari sudah tu apa dia?  Lakonan drama, teater atau pentas bangsawan?"  Masih jelas terbayang di matanya akan layanan mesra Nurezam terhadap Azimah.
"Sebulan kebelakangan ni, dia memang banyak berubah Nur.  Aku pun tak tau apa puncanya.  Mungkin dia perlukan sesuatu dari aku atau mungkin juga dia benar-benar ikhlas.  Sebelum ni kalau tak kerana perlukan aku untuk buat sesuatu, dia tak akan cari aku.  Tapi sebulan ni, Ajim nampak dia macam lain sangat.  Sampai rela mencemar kaki dia mencari aku di universiti.  Sikapnya bertentangan betul dengan perangai sebenarnya yang aku tau sebelum ni"  Azimah menerangkan tanpa menyorokkan apa-apa.  Terlanjur Nurizati sudah tahu, biar dia tahu semua.  Sudah terlalu lama perkara itu dilaluinya bersendirian, sudah sampai masanya dia meluahkan pada orang yang sememangnya sudi untuk menadahkan telinganya.
"Agaknya dia betul-betul nakkan engkau tak Ajim?"  Nurizati membuat andaian sendiri.
  "Entahlah Nur, tapi andaian engkau tu macam mustahil sebab dia sayang betul dengan buah hati dia tu.  Engkau sendiri dah pernah jumpa dan boleh menilaikan?  Tak mungkin untuk dia pilih aku tanpa ada udang di sebalik batu.  Dan tak mungkin pulak untuk aku berkongsi suami"  Azimah mengeluarkan pandangannya.
"Kenapa takdir engkau macam tu?"
"Sudahlah Nur.  Engkau dah pun tau apa yang engkau nak tau kan.  Sebagai kawan yang paling rapat dengan aku, aku harap sangat engkau simpan cerita aku ni.  Aku tak nak orang lain tahu hal yang memalukan aku ni tersebar.  Kalau sedih juga, engkau kena ingat satu perkara.  Aku beruntung berbanding orang lain tau.  Aku tak perlu fikirkan suami aku main kayu tiga atau bila agaknya aku akan disingkirkan.  TUHAN beri aku kelebihan bila awal-awal lagi aku dah tau cuma ditakdirkan untuk jadi isteri Nurezam untuk tempoh dua tahun saja.  Sampai masanya, aku akan lepas, bebas" 
Azimah tersenyum senang mendengarkan bicara itu kepada Nurizati yang masih kesedihan.  Bila saat itu tiba, Mak Sakinah pun tak dapat berbuat apa-apa.  Dia pun tak perlu nak menerangkan panjang lebar bila Nurezam sendiri melepaskan dia.
"Kalau dia enggan ceraikan engkau?"  Persoalan itu diajukan pada Azimah.
"Tentulah aku tak jadi janda!" 
Tergelak jadinya Azimah.  Nurizati, Nurizati, itupun nak ditanya.  Jawaplah sendiri.  Lucu betul dengan soalan itu.  
"Senangnya mulut bercakap!" 
Nurizati memasamkan mukanya.  Mudah benar kawannya itu mengeluarkan bicara tanpa perlu berfikir panjang.  Memang dia hebat!  Nurizati sallute.
"Habis, aku nak cakap apa?  Memang itu hakikat hidup yang aku tengah lalui"
"Engkau bercakap macam orang yang tak ada masalah saja?"
"Itulah cara aku Nur.  Kalau terlalu difikirkan, susah aku nanti.  Biarlah, semua ni kan kerja DIA!  Pasti ada jalannya nanti"
Sejak dulu lagi, sejak terpaksa berpisah dengan Steven Azimah melatih dirinya begitu.  Pegangan itulah menjadikan dia terus cemerlang dalam akademik dan pergaulan.  Dia memang bermasalah dan susah hati, untuk apa menambah lagi kesusahan hatinya untuk berfikir yang bukan-bukan.  Baginya, perkara akan jadi mudah jika dia mengambil mudah.  Pedulilah orang nak kata apa.

"Ajim!  Kau dah bagitau Ezam pasal kau nak ke Pulau Pinang?"  Muka Azimah yang tersenyum sambil geleng kepala direnungnya.
"Belum Nur.  Aku belum jumpa masa yang sesuai"  Azimah menerangkan keadaannya.
"Engkau nak tunggu sampai bila?  Baik sekarang, merajuk dia nanti"  Nurizati mengusik.
"Biarlah Nur.  Aku dah tak kisah dengan rajuk dia"
"Mulut kata tak kisah, hati engkau?" 
Walaupun Azimah tak seperti isteri Nurezam, dia tahu bagaimana Azimah melayan Nurezam.  Tak pernah dia bersikap mengenepikan suami yang telah bernikah dengannya itu.
"Aku tak rasa dia akan keberatan.  Dia pasti gembira aku jauh daripada dia.  Taklah dia terpaksa bawa aku jumpa datin kalau mama dia mendesak nak berjumpa aku"  Macamanapun Azimah tak mahu kalah.
"Suka hati engkaulah Ajim" 
Nurizati akhirnya bersetuju saja dengan Azimah.  Memang dia tak akan menang kalau berlawan bicara dengan Azimah yang banyak idea.  Diam-diam dia mendoakan supaya takdir hidup temannya akan berubah.  Dia mengharapkan suami teman itu benar-benar nak bersama Azimah.  Dari pengamatannya lelaki itu benar-benar ikhlas mendapatkan Azimah.  Kalau tak macamana dia boleh berkejar ke Bangi sedangkan tiada sesiapa memberitahu Azimah sakit.  Hanya orang yang ada hubungan rapat saja akan mendapat 'hints' sebegitu.


NUREZAM memanaskan bubur.  Kemudian bubur dicedok ke dalam mangkuk, disejukkan.  Bubur dibawa masuk ke dalam bilik.  Segelas susu panas turut dibawanya bersama.  Menantikan Azimah yang sedang sembahyang, Nurezam tersenyum sendiri.  Pekerjaan yang dibuatnya sebentar tadi tak pernah langsung dibuatnya sebelum ini.  Tapi, kerana perempuan itu, sanggup pula Nurezam turun ke dapur.  Agaknya memang Nurezam sudah gila.  Kegilaannya dalam menggapai cinta Azimah menjadikan dia banyak berubah.  Berubah yang bukan calang-calang pulak tu!  Melawan arus rutin hidupnya.

            "Kenapa senyum sendiri?" 
            Soalan Azimah yang sedang melipat telekung menjadikan senyumnya semakin meleret.  Tak ada jawapan untuk soalan itu di kepalanya.
            "Ajim makan sikit ya.  Lepas tu kena ambik ubat"  Nurezam seperti memberi arahan.
            Tangan Azimah yang mahu mengambil mangkuk ditahannya.
            "Ezam suapkan"  Pendek saja pernyataan Nurezam.
            Ada rasa malu di wajah isterinya ketika Nurezam menyorong sudu ke mulut.  Mau tak mau dia menganga juga.  Ya ALLAH, indahnya saat itu, aroma kebahagiaan menyelinap masuk ke jiwanya.  Suapan kedua ditolak Azimah dengan gelengan kepala.
            "Takkan satu sudu aje?" 
Nurezam tak puas hati.  Matanya memandang tepat muka perempuan itu.  Takkan kerana sakit seleranya merosot betul.
            "Kalau tak keberatan, tolong campurkan dengan sedikit kicap dan serbuk pepper" 
Azimah membuat permintaan yang menggembirakan hatinya sebagai suami.  Okeylah kalau dia boleh memintanya berbuat sesuatu.  Bukan sesuatu yang mudah tu.
"With my pleasure, princess"  Tak banyak songel, Nurezam bangun dan pergi ke dapur.

Walaupun hari sudah pagi, matanya masih tak mengantuk.  Setelah memastikan isterinya terlena, baru dia tidur.  Nurezam dibuai rasa gembira kerana dia tak lagi dihadapkan dengan muka Azimah yang takut-takut.  Tak ada juga unsur penolakan bila Nurezam memeluknya.  Dan yang paling menggembirakan, ketika dia nak balik di petang hari minggu itu,  Azimah mencium pipinya sambil mengucapkan terima kasih.  Bukankah itu perkembangan yang sangat positif dalam hubungan mereka!

"En. Ezam, Datuk Shukri nak jumpa!"
Interkom dari Mira mematikan lamunannya.  Lesap senyum manis wanita yang sedang difikirkannya itu.  Kacau daun betul!  Nurezam geram sendiri.
"Baik, baiklah.  Sekejap lagi saya pergi" 
Tidak pula Nurezam membantah apa-apa.  Fail dan buku laporan di atas meja dicapainya.  Dengan senyuman yang masih bersisa, dia melangkah ke lift.  Dia benar-benar rasa bersemangat nak menjalankan tugasnya.



HATI Nurezam tak keruan rasa.  Cerita yang dibawa Zafri yang tertembung dengan Azimah yang sedang menikmati makan tengahari bersama seorang lelaki muda meresahkan jiwanya.  Tak berlengah dia bergerak ke restoran yang dimaksudkan Zafri.  Memang kereta Azimah ada di situ.  Perasaan cemburu memenuhi hati lelakinya.  Azimah ada memberitahu yang dia ke UM, tapi tak pula dinyatakan yang dia nak keluar makan bersama sesiapa.  Menyirap betul darahnya bila terpandang Azimah berpegangan tangan tanpa rasa segan silu di khalayak ramai dengan lelaki yang jauh lebih muda dan 'ganteng' dari Nurezam sendiri.

Nasib baik lelaki di sebelah Azimah sempat mengelak.  Kalau tak lebam biji matanya.  Terperanjat Azimah dengan insiden yang tiba-tiba sahaja berlaku di depan matanya.  Cepat Azimah menarik tangan lelaki yang bersamanya yang sudah mahu menyusun langkah.  Anak lelaki kan pantang dicabar!  Kalau Amar yang pernah mewakili persatuan silat negeri Johor mengamuk, Azimah pun ikut susah nantinya.  Mulut Amar yang cuba bercakap ditutupnya.  Dengan janji untuk menghubungi adiknya itu, Azimah menutupkan pintu kereta dan mengarahkan lelaki itu berlalu dengan isyarat tangan.  Selepas kereta Amar berlalu, dia menghampiri Nurezam yang masih berdiri di tempat yang sama.

"You ni kenapa?"  Muka lelaki itu dihadapnya dengan pandangan geram.
"Kenapa, Ajim tanya!  Ezam yang sepatutnya tanya kenapa Ajim nak buat macam tu?" 
Api kemarahannya masih belum reda.  Kalau tak kerana Azimah berdiri di hadapan lelaki itu tadi, pasti lelaki itu ditibainya cukup-cukup, biar hatinya puas!
"You nak macamana lagi Ezam?  Apa yang you nak semua I dah buat.  Apa aje yang you lakukan, suka ke, tak suka ke, Ajim tak pernah melarang.  Rasanya Ajim tak ada salah apa-apa kat you.  Kenapa Ezam buat Ajim macam ni?" 
Separuh menjerit Azimah.  Hampa betul dengan tindakan Nurezam kepadanya.  Baru beberapa hari lepas lelaki itu melayannya dengan baik sekali.  Hari ini dah lain pulak jadinya.  Azimah mengeluh dan masuk ke dalam keretanya.  Kalau terus begini, pasti Azimah akan tua sebelum usianya.  Kalaulah ada pilihan, Azimah lebih suka Nurezam yang dulu.  Nurezam yang tak pernah melayannya, tak pernah ambil tahu kehidupannya.  Walaupun diabaikan, keadaan sekarang jauh lebih sakit dari diabaikan.
"Tak salah Ajim kata!  Yang you keluar makan, berkepit dengan lelaki lain tu apa?" 
Dalam marahpun Nurezam sempat juga berfikir.  Dia sebenarnya tak layak bertanya begitu berdasarkan layanannya kepada perempuan itu sebelumnya.  Tapi dia memang tak dapat mengawal api cemburu di hati tika melihat isterinya bersama lelaki lain.  Nurezam tak membenarkan Azimah berlalu begitu saja.  Dia turut masuk ke kereta Azimah.
"Astaghfirullahhalazim!" 
Beristighfar Azimah mendengar cakap Nurezam.  Amar yang dicemburukannya.  Kalau ya pun Amar tu teman lelaki Azimah, Nurezam tak sepatutnya cemburu.  Mereka kan hanya suami isteri di atas kertas sahaja.  Walaupun hal itu ingin sekali dilontarkannya keluar, tetapi dia bersabar dan menyimpannya di dalam hati sahaja.  Geram dengan sikap bodoh sombong lelaki  yang menjadi 'suaminya' itu.  Dalam pada itu, ada rasa gembira bila mengetahui punca kemarahan lelaki itu adalah mencemburui Amar yang disangka teman lelakinya.  Bernilai juga aku pada dia sampai nak dicemburukan!
 "Ezam!  You nak hubungan yang macamana dengan Ajim?  Cuba you cakap" 
Azimah menjeling Nurezam yang duduk di sebelahnya.  Kalau Azimah selama ini tak pernah kisah lelaki itu melakukan apa-apa, kenapa pulak lelaki itu nak sibukkan halnya?  Kalau dia boleh peluk Mimi, kenapa aku tak pulak dibenarkan berpegang tangan dengan lelaki lain.  Azimah pun jadi angin jugak.
"I want you to be my wife!"
"I kan memang wife you.  Dah setahun lebih pun I jadi wife you"
"I meant the real one!"
"I don’t think so!  You tak boleh buktikan apa yang you cakap.  Sebenarnya you cuma nakkan tubuh I aje kan, bukan hati I
Azimah jadi tersedu sendiri ketika perkara itu diluahkannya.  Mudah betul rasa sedihnya datang kalau dia berperang dengan Nurezam.
"Kenapa you cakap macam tu?  I betul-betul ikhlas, you yang sengaja tak nak faham I
Nurezam masih tak mahu mengalah.  Nada suaranya diturunkan sedikit.  Macam bersalah pulak membuatkan perempuan itu menangis.
"Kalau Ezam betul-betul nakkan Ajim, ambik hati Ajim, kenapa tak kenal dengan keluarga Ajim?  Ajim malu Ezam buat macam tu pada adik Ajim.  Apa yang Ajim nak cakap pada Amar bila abang ipar dia buat macam tu?  Adik I, seluruh family I tak pernah tahu yang I bermasalah dengan youI dah tak tau nak buat macamana lagi.  Kalau you masih ada rasa simpati pada I, ambik nombor telefon dia ni, call dia.  Bagilah apa-apa alasan yang patut, I dah tak larat!" 
Semakin merembes air matanya.  Yang paling ditakutinya, Amar tu pendendam orangnya.  Tak pasal-pasal pulak Nurezam jadi mangsanya nanti.
"Adik you?" 
Nurezam terkasima.  Memang dia bersalah kerana cemburunya tak bertempat.  Huluran kad di tangan Azimah dicapainya.  Ingin saja dia mengesat air mata di pipi isterinya, tetapi perempuan itu memang sedang meradang.  Bersilat pulak dia nanti!  Bersalah, diam ajelah, apa lagi yang lebih baik dari itu.
"Encik Nurezam… tolong maklum!  Walaupun saya ni cuma perempuan kampung, saya tau sejauh mana batasan pergaulan seorang perempuan yang sudah bergelar isteri.  Walaupun cuma pada nama saja… understand!  Now!  Tolong keluar dari kereta saya, saya nak balik!"  Saat itu Azimah lupa nak berbahasa seperti selalu.  Menghulur tangan pun dia tak sudi.  Biar dia rasa!  Bukan lelaki itu seorang yang boleh meradang.
Macam orang bodoh, Nurezam akur saja pada arahan Azimah.  Pandangan matanya terus mengiringi kereta Azimah yang berlalu pantas.  Bodohnya aku!  Walaupun marah dengan kebodohan dan kesalahan sendiri, Nurezam masih mampu tersenyum.  Azimah masih belum menduakannya, hanya dia yang salah sangka.  Nurezam terus mendail nombor Amar yang diserahkan Azimah.  Dia rela menerima apa sahaja yang terkeluar dari mulut adik iparnya itu, asalkan segala-galanya jernih kembali.  Tak sanggup betul untuk dia terus dipinggirkan Azimah.


Nasib baik pertemuan dengan Amar, adik ipar yang baru dikenalinya itu berjalan lancar.  Memang patut sangat Azimah marah dengan apa yang berlaku.  Memang dia tak senonoh sampai boleh tak kenal dengan adik ipar sendiri.  Ezam!  Ezam!  Baru 2 hari lepas hubungan mereka harmoni sekali.  Kerana cemburunya, marah pulak perempuan itu padanya.  Padan muka engkau Nurezam!  Lambat lagilah nampaknya hubungan mereka nak harmoni semula.

No comments:

Post a Comment