Monday 10 November 2014

DIDK P14









BAB EMPAT BELAS






            Banglo mewah Datuk Shukri nampak tenang di matanya.  Emosi lelaki yang memandu di sebelahnya pun nampak tenang juga, Alhamdulillah!  Azimah tersenyum ceria mendapatkan Datin Khadijah yang menyambut kedatangan mereka di hadapan pintu.  Gembira betul isteri Datuk Shukri melihat kedatangan anak dan menantunya.  Dah lama juga Nurezam tak membawa Azimah balik ke situ.

            "Kenapa lama tak balik sini?"  Datin Khadijah bertanya sebaik Azimah mencium pipi orang tua itu.
            "Ajim tak ada masalah apa-apa ma.  Ajim ikut aje cakap abang Ezam.  Kalau dia kata balik, Ajim baliklah.  Mama kan lagi tau perangai anak lelaki mama." 
Azimah mengemukakan alasan.  Senyuman manis tak lepas dari wajahnya.  Dia sedar pada jelingan mata Nurezam, sengaja dia buat tak nampak.
            "Mama tau.  Masuklah Ajim, biar Ezam bawak barang-barang masuk"

            Nurezam memandang saja Azimah yang ditarik Datin Khadijah tangannya.  Sayang betul orang tua itu pada menantunya yang seorang tu.  Aku yang anak pun tak dilayan begitu.  Nurezam tersenyum sendiri.  Selepas menghantar beg ke biliknya di tingkat atas, Nurezam menyertai mereka berdua di ruang tamu.  Seronok mendengar ketawa gembira Datin Khadijah dan Azimah.
            "Kamu ni Ezam, janganlah isteri tu nak dihadap sendiri aje.  Hujung minggu tu baliklah selalu ke sini.  Mama suka kalau Ajim ada kat sini, taklah mama sunyi"
            "Alah ma, bukan Ezam hadap sorang-sorang.  Kalau hari biasa, Ajim sibuk kerja, Ezam pun kerja.  Hari Sabtu pun tak terkecuali.  Hari ni nasib aje Ajim tak ada aktiviti petang, kalau tak malam baru boleh balik ke sini.  Hari minggu aje Ezam boleh menghadap Ajim dalam keadaan paling selesa"  Nurezam mengeluarkan alasan. 
Azimah yang duduk di sebelah Datin Khadijah tersenyum mendengar alasan yang direka Nurezam.  Memang mereka banyak berbohong kalau balik ke banglo mewah ini.  Azimah tahu berbohong itu berdosa.  Tapi kalau berbohong dan memberi lebih manfaat kepada orang lain tak apalah.
"Tak apalah kalau macam tu.  Yang penting kamu berdua jangan saling mengabai antara satu sama lain.  Habiskan banyak masa bersama, barulah dunia rumahtangga semakin indah"  Tanpa sebarang syak, Datin Khadijah memberi nasihat.

Datuk Shukri kelihatan menuruni anak tangga.  Orang tua yang lebih kurang sebaya dengan ayah Azimah itu menghampiri mereka.
"Apa khabar papa?"  Azimah bangun menyalami orang tua itu, tangannya dicium.
"Baik Ajim"  Kepala menantu yang sememangnya berbudi pekerti tinggi itu disentuhnya.  Gembira hatinya melihat pasangan suami isteri itu mengunjungi mereka.
Nurezam juga melakukan perkara yang sama.  Kemudian dia mengambil tempat di sebelah isterinya.  Datuk Shukri duduk di sebelah Datin Khadijah.
"Kamu berdua bila nak ada anak?  Kamu berdua merancang ke?"  Soalan cepu emas itu dikeluarkan Datuk Shukri.  Muka pasangan suami isteri itu dihadapnya.
"Ialah.  Mama pun dah tak sabar nak menimang cucu."  Pantas saja Datin Khadijah menyokong persoalan yang diajukan suaminya.
"Kami tak merancang pun papa.   Kalau ada rezeki, kami terima aje.  Kan Ajim?"  Nurezam meminta sokongan Azimah.  Tangan perempuan itu dicapainya.  Walhal, nak ada anak macamana?  Isterinya itu masih berstatus anak dara lagi!  Disentuh pun tidak.
"Betul ma, pa.  Belum ada rezeki kami agaknya" 
Dia menjeling Nurezam dengan senyuman penuh makna.  Dia tahu lelaki itu sengaja mengambil kesempatan memegang tangannya di hadapan datuk dan datin.
"Kalau belum rezeki tak apalah.  Jangan pulak kamu berdua sembunyikan apa-apa dari kami"  Sedap saja ayat itu keluar dari mulut Datuk Shukri.  Ada kebimbangan yang nyata di sebalik suara itu.
"Papa nampak Ajim dengan abang Ezam ni macam berlakon ke?" 
Azimah tahu hanya dia yang boleh menghapuskan keraguan dua orang tua di hadapan mereka itu.  Kalau Nurezam yang bersuara pasti mereka tak akan percaya.
"Kalau Ajim sendiri dah cakap macam tu, papa tak boleh komen apa-apa lagi.  Papa dengan mama tumpang gembira dengan kebahagiaan kamu berdua." 
Datuk Shukri akur.  Takkanlah Azimah membohongi mereka.  Datin Khadijahpun dilihatnya senyum ceria.  Pasti dia seronok betul kerana Nurezam akhirnya menerima menantu pilihan mereka.
"Terima kasih papa, mama.  Biar kami naik bilik dulu, masih belum solat Asar lagi"  Nurezam meminta diri bagi pihak dia dan isterinya.
"Pergilah.  Lepas sembahyang turun bawah, kita minum petang sama-sama"  Datin Khadijah cepat menjawab.
Nurezam menghulur tangan kepada Azimah.  Dengan senyuman manisnya, Azimah menyambut huluran tangan Nurezam.  Mereka melangkah bergandingan menuju ke tangga dan hilang dari pandangan Datuk Shukri dan Datin Khadijah yang terus berbual.

"Seronok Jah tengok mereka bang.  Ezam dah berubah banyak.  Solatnya pun dah terjaga"  Datin Khadijah menyatakan perasaan gembiranya terhadap perubahan sikap si anak.
"Entahlah Jah.  Abang tetap rasakan ada sesuatu yang tak kena" 
Datuk Shukri lain pulak ceritanya.  Walaupun dia telah menyaksikan sendiri kemesraan mereka berdua sebentar tadi, hatinya tetap merasa sangsi.
"Eh abang ni!  Takkanlah Azimah tu tipu bang.  Kalau anak awak tu percayalah tipu.  Ini Azimah yang cakap.  Lagipun Jah perhatikan Ezam memang dah banyak berubah bang"  Tak setuju benar Datin Khadijah dengan pendapat suaminya.
"Abang pun nampak perubahan Ezam.  Kebelakangan ni dia semakin bertanggungjawab dalam kerja.  Kita tengok ajelah Jah.  Abang harapkan mereka benar-benar bahagia.  Kalau tak, kesian Azimah.  Kita pun ikut bersalah sama tau!"  Datuk Shukri menyatakan punca kerisauannya.
"Jah tau bang.  Kita sama-sama berdoalah mereka tu akan menikmati kebahagiaan yang berpanjangan"  Datin Khadijah memerhatikan Datuk Shukri menantikan reaksinya.
"Baiklah Jah"  Datuk Shukri tersenyum.  Di dalam hatinya dia amat berharap rasa hatinya tersilap.
SELEPAS makan malam mereka sekeluarga duduk berbual-bual di ruang tamu.  Nurin Balqis, anak bungsu Datuk Shukri tak kelihatan di situ.  Dia masih di ruangan dapur bersama Mak Leha, pembantu rumah mereka.

"Malam ni dah makan masakan Mak Leha, esok masa lunch papa nak makan masakan Ajim pulak.  Boleh tak?"  Datuk Shukri memandang Azimah yang duduk rapat di sebelah suaminya.
"InsyaAllah boleh papa.  Kalau masakan yang papa nak makan tu Ajim pandai masak, tak ada masalah.  Tapi, kalau tak sedap, papa jangan marah tau"  Azimah tersenyum menjawap permintaan ayah mertuanya.
"Mana ada istilah tak sedap kalau Ajim yang masak.  Menantu papa ni masakannya nombor satu"  Datuk Shukri menunjukkan isyarat ibu jarinya.
"Ezam pun setuju dengan papa.  Ajim kalau masak memang meleleh!"  Nurezam mengiakan cakap Datuk Shukri dengan ikhlas.
"Abang ni!  Malulah sikit puji isteri sendiri macam tu"  Azimah memukul lembut paha Nurezam.
"Apa pulak nak malu, bangga lagi.  Abang iklas tau!"  Nurezam memandang muka isteri yang tersenyum malu.
"Jadi setiap kali cuti, kamu kulikan Ajim, suruh dia memasak untuk kamu ya!"  Datin Khadijah tiba-tiba menyampuk perbualan.
"Tak adalah mama.  Ezam tengoklah masa yang sesuai, kalau Ajim tak penat.  Kalau hari biasa, Ezam prefer makan kat luar, hari minggu aje masak kat rumah"  Nurezam mempertahankan diri.
"Alah mama, tak payah risaulah.  Selagi abang Ezam suka nak makan masakan Ajim,  Ajim tak kisah nak masak untuk dia"  Azimah menerangkan ketersediaannya untuk berbuat begitu, lagipun…. bukan orang lain, 'suaminya' juga.

Masa yang sama, Nurin Balqis datang dari arah dapur dengan sepinggan buah limau sunkist yang sudah dipotong.  Dia menjemput semua yang ada di ruang tamu menikmati buah pencuci mulut.
"Kamu dengar tu Balqis.  Tiru perangai kakak kamu ni.  Belajar tinggi-tinggi pun dia suka nak masuk dapur.  Bukan macam kamu, liat.  Kamu kena tau, memasak tu boleh memikat hati suami.  Betul tak Ajim?" 
Nurin Balqis, anak bungsu yang duduk bertenggek di sebelah Azimah pulak jadi mangsa teguran Datin Khadijah.
"Macam tulah kata orang mama.  Balqis masih muda, boleh belajar dari sekarang.  Memasak ni seronok tau."  Azimah memandang Nurin Balqis yang juga sedang memandang wajahnya.
"Esok, kakak ajar Balqis ya!"  Nurin Balqis, pelajar tahun pertama kos undang-undang di UM membuat permintaan kepada Azimah.
"Boleh!  Tapi masakan akak cara kampunglah!" 
Dengan mata menjeling Nurezam, Azimah sengaja menekankan perkataan kampung.  Pedulikan kalau Nurezam nak terasa!  Takkan dia nak mengamuk di hadapan orang tuanya.
"Itulah yang bestnya Ajim.  Papa, selalu teringat-ingat masakan kampung Ajim tu tau"  Datuk Shukri menyokong kenyataan Azimah.
"Ialah tu!"  Azimah ketawa.  Yang lain-lain turut ketawa.

Selang beberapa minit kemudian, Datuk Shukri meminta diri ke bilik bacaan bersama Nurezam.  Ada hal bisnes yang mahu dibincangkan.  Tinggallah Datin Khadijah, Balqis dan Azimah di ruang tamu.  Tak berhenti-henti Nurin Balqis berbicara dengan Azimah.  Senang betul dengan kakak iparnya itu.  Bila mendengar kakak iparnya balik dari Datin Khadijah terus Nurin Balqis yang tinggal di hostel balik ke rumah.  Semua aktiviti yang dah dirancangnya dibatalkan.  Ada banyak hal yang hendak dikongsikan dengan perempuan yang dirasakan melayannya dengan mesra.  Bosan pulak jadinya Datin Khadijah mendengar cerita Balqis.  Dia pun akhirnya angkat punggung meninggalkan anak bungsu yang dilihatnya serasi betul bercerita dengan menantunya itu.

Tak lama selepas Datin Khadijah berlalu, tangan Azimah ditarik Nurin Balqis ke biliknya.  Seronok juga bercerita sambil berbaring.  Pukul 11.30 malam, setelah Azimah terkuap-kuap beberapa kali, cepat saja dia mempelawa perempuan itu tidur di biliknya.  Seronok betul dia berbual panjang dengan perempuan lembut yang serba memahami, suka melayannya bercerita dan suka pula memberikan nasihat yang dirasakan bersesuaian dengan citarasanya.


NUREZAM memandang jam di tangan.  Sudah menghampiri pukul 12.00 malam.  Dah tidur agaknya Azimah.  Pintu biliknya ditolak.  Tiada sebarang tanda Azimah berada di bilik itu.  Apa dia masih duduk berbual di ruang tamu?  Nurezam keluar dari bilik turun ke tingkat bawah.  Azimah tak kelihatan di mana-mana.  Ketika nak naik semula ke atas, dia bertembung dengan mamanya.

"Mama!  Mama nampak Ajim tak?"  Cepat dia menyoal.
"Dengan Balqislah tu.  Dari tadi dia melayan Balqis bercerita.  Mama tengok, suka betul Balqis dengan Azimah.  Dipeluk-peluknya, boleh baring atas paha, dah macam kakak sendiri.  Si Azimah tu pun pandai melayan, jadiklah tu" 
Datin Khadijah memberitahu sambil ketawa kecil.  Menyatakan kegembiraannya kerana Balqis pun amat menyayangi Azimah dan sangat mempercayainya.  Pasti dia boleh mengorek banyak cerita dari Azimah nanti.
"Azimah tu kan anak sulung ma, dia dah biasa melayan adik-adiknya macam tu.  Okeylah ma, Ezam nak tengok mereka.  Good night!  Assalamualaikum!"  Nurezam mencium pipi mamanya.
"Goodnight!  Waalaikumussalam!"  Datin Khadijah geleng kepala dengan perangai tergesa-gesa Nurezam.  Macam tak boleh langsung nak berenggang dengan isterinya.  Datin Khadijah mengukir senyum.

Pintu bilik Balqis diketuknya.  Tak menunggu jawapan, tombol pintu dipulasnya.  Ketika daun pintu sudah separuh dibukanya, Nurin Balqis sudah berdiri di depannya.
"Adik!  Kakak mana?"  Nurezam terus bertanyakan isterinya.
"Shh!"  Balqis menunjukkan tanda isyarat senyap kepada abangnya.
"Akak dah tidur, lama sangat tunggu abang dengan papa selesai berbincang"
Mendengar cakap Nurin Balqis, pantas Nurezam masuk ke bilik adiknya.  Matanya dihalakan ke arah Azimah yang nampak selesa sekali di katil adiknya.  Niat untuk menghampiri Azimah terbantut bila adik perempuannya menarik tangan Nurezam.
"Abang!  Biarlah kakak tidur dengan adik.  Malam ni aje.  Setiap malam abang dah peluk dia, malam ni biarlah dia dengan adik ya?  Malam ni aje, please!"  Merayu-rayu Nurin Balqis kepada Nurezam.
Setiap malam?  Inilah peluang abang nak peluk dia, Balqis.  Kalau berterus terang kang, bocor pulak rahsia aku!  Nurezam memandang muka Azimah.  Biarlah.  Kesian pulak nak mengejut isteri yang sudah terlena.
"Okeylah" 
Nurezam akhirnya mengalah saja walaupun dia sebenarnya telah melepaskan peluang yang bukan senang untuk tercipta.  Kakinya diundurkan dari bilik Nurin Balqis.
"Thanks abang"  Nurin membukakan pintu untuk Nurezam dengan wajah yang dipenuhi senyum kemenangan.

Teringat sesuatu, Nurezam kembali berpusing.
"Adik jangan matikan lampu tidur tau!  Dia tak boleh bergelap!"  Kalau dengan abang tak apa!!  Dalam hati saja bicara itu dibayangkannya.
"Abang projek pun dalam terang ke?"  Nurin Balqis sengaja nak mengusik abangnya. 
"Dengan abang, dia tak kisahlah.  Abang kan ada untuk dipeluk, tentulah dia tak takut.  Hei!  Ni apa anak dara cakap hal macam ni?  Urusan orang dah kahwin, tak boleh tau, pergi tidur!"  Nurezam memberi arahan dalam senyumnya.  Sempat saja Balqis mengenakannya.
"Baiklah abang.  Good night!"  Nurin Balqis menyambung ketawa ketika Nurezam berlalu meninggalkannya.
           

NUREZAM balik ke bilik dengan perasaan hampa.  Memang dia sengaja mengelak dari akukah?  Persoalan itu bermain di fikirannya.  Senyuman manis perempuan itu pun kadang-kadang dirasakan seperti memerlinya.  Dah nak terlelap pun dia masih berfikir hal itu.  Kejadian petang tadi turut bermain di matanya.  Sedikit gembira dan senang hatinya mengingat penerimaan perempuan itu.

            "Thanks Ajim!"  Ucapan terima kasih dilafaz sebaik sahaja pintu bilik dikuncinya.  Tangan perempuan itu masih tak sudi dilepaskannya.
            "It's okay, Ezam.  Macamana suami bertanggungjawab melindungi isteri, isteri pun kena menjaga kehormatan suami kan?"  Azimah memulangkan bicara minggu lepas Nurezam.  Ketika itu matanya bertembung dengan mata Nurezam.
            Ketika Nurezam bertindak memeluk pinggang Azimah, perempuan itu tak menolak langsung.  Ketika bibirnya mengucup bibir perempuan itupun reaksinya tidak seperti sebelum ini.  Nurezam dibuai rasa bahagia yang amat sangat.  Hanya ketika dia nak bertindak lebih jauh, tangan lembut itu menangkap tangannya.
            "Kita belum solat Asar lagi, saya tak nak mandi wajib!  Lagipun papa dan mama awak tunggu kita kat bawah"
            Peringatan bersahaja dari perempuan itu menjadikan nafsunya kembali normal.  Ketawa besar pula yang muncul dari mulutnya.  Lucu mendengar amaran isteri.  Tangannya pun tak menghalang bila perempuan itu perlahan-lahan merungkai tangan Nurezam dari pinggangnya.  Langkah perempuan yang menuju ke katil dan menghampiri beg yang memuatkan bajunya diekori dengan anak matanya.  Terduga betul dia dengan sikap perempuan yang serba-serbi menawan seluruh hati lelakinya.  Perempuan itu boleh disamakan dengan jinak-jinak merpati, nak makan di tangan tapi akhirnya terlepas juga bila cuba nak ditangkap.  Memang dia bijak!

            Mengeluh lagi Nurezam.  Memang logik kalau Azimah sengaja mengelak dari tidur bersamanya.  Pasti malam ini dia tak boleh menolak kalau Nurezam meminta haknya sebagai suami.  Takkan dia nak menjerit di rumah mertua.  Hebat dia!! 
Nurezam tersenyum sendiri dengan andaian yang dibuatnya.  Pasti Azimah sudah mencium agendanya.  Bukan pertama kali mereka tidur sebilik di rumah mewah ini.  Sebelum ini pun mereka tidur sekatil bila balik ke sini.  Tapi ketika itu dia masih teguh dengan ego lelakinya.  Azimah ke kanan dia ke kiri.  Perempuan itupun tak pernah takut-takut ketika bersamanya.  Keadaan dah jauh berbeza tiga minggu kebelakangan ini.  Dalam berfikir-fikir, Nurezam akhirnya terlena.


            PAGI ITU, Nurezam hanya terjaga ketika tangan Azimah menggoncang lembut bahunya.  Rasa bahagia menyelinap  ke hatinya kerana dapat menatap senyuman bidadari itu sebaik matanya terbuka.  Ada senyuman sinis yang dapat dikesannya di wajah perempuan itu.

            "Kenapa tak tidur kat bilik malam tadi?  Ajim takut dengan Ezam ya?"
            "Taklah.  Ajim tertidur kat bilik Balqis"  Azimah cuba menafikan dengan mengemukakan alasan tertidur.  Walhal dia sengaja berbuat begitu.  Perbualan lelaki itu dengan adiknya pun boleh diulangnya satu persatu, bukannya dia tidur!
            "Tipulah.  Ezam tak percaya"  Nurezam turun dari katil dan menghampiri Azimah yang berdiri hampir dengan pintu bilik.
            "Pergilah sembahyang dulu.  Dah 6.30 ni, lambat nanti"  Azimah terus nak mengelak dari terus menjawab pernyataan Nurezam.  Dia sedang membuka tombol pintu ketika tangan lelaki itu menangkap tangannya.
            "Sekejaplah, Ezam nak cakap ni"  Tak puas hati Nurezam selagi tak memperoleh jawapan sebenar dari Azimah.
            "Tak maulah, Ezam busuk, Ajim dah mandi"  Tergelak Azimah melihat muka Nurezam.  Tangannya cuba melepaskan pegangan lelaki itu.  Sebaik terlepas, cepat saja Azimah menyelinap keluar di sebalik pintu bilik yang telah dibukanya.

            Nurezam tersenyum melihat kenakalan isterinya.  Kalaulah Nurezam merendahkan egonya sejak dulu, pasti dia tak perlu terkejar-kejar seperti sekarang.  Mengingat subuh yang tak menunggu, tuala dicapainya.  Azimah tak lari, subuh yang lari.


            DATIN KHADIJAH turun ke tingkat bawah.  Jam sudah menghampiri 9.00 pagi.  Mak Leha dilihatnya sedang menguruskan pokok-pokok bunga di taman mini miliknya.  Nurezam dan Azimah tak kelihatan di mana-mana.  Takkanlah belum bangun!  Datin Khadijah membuat andaian sendiri.  Bila telinganya dapat mendengar bunyi sudip di dapur, cepat dia melangkah ke situ.  Tak jadi Datin Khadijah nak masuk ke ruang dapur bila melihat anak lelakinya sedang memeluk isterinya yang sedang memasak dari belakang.  Memang hubungan mereka mesra.  Walaupun tak dapat menangkap biji butir perbualan,  ketawa yang seringkali terburai membayangkan betapa gembiranya pasangan itu.  Datin Khadijah menerima keadaan itu dengan ucapan syukur ke hadrat ALLAH.  Sepanjang perhubungan suami isteri itu, inilah pertama kali dia terlihat hubungan mereka yang terlalu mesra.  Tiada apa yang perlu diragukan, takkanlah berdua-duaan pun mereka berpura-pura.

            "Ma, apa yang mama intip tu?"
            Terkejut Datin Khadijah, berderau darahnya menerima bicara Balqis yang tiba-tiba muncul di situ.
            "Tu ha.  Abang kamu tu, macam tak boleh berenggang langsung dengan isteri dia"
            "Baguslah ma.  Kan memang itu yang mama harapkan" 
Nurin Balqis mengingatkan Datin Khadijah yang sudah tersenyum sehingga ke telinga.  Kemudian Nurin Balqis, menuju ke dapur.

            "Abang, public figurelah!"  Nurin Balqis yang menghampiri pasangan romantik itu menegur Nurezam.
            "Wife abang, suka hatilah"  Nurezam melepaskan pelukan bila Azimah menolak kerana rasa malu kelakuan mereka diperhatikan Nurin Balqis.  Nurezam menjelir lidah kepada satu-satunya adik yang dia punya.
            "Tak malu!'  Nurin Balqis bertindak mencebikkan bibirnya.
            Nurezam ketawa besar bila memandang isteri yang menunjukkan aksi geram dengan perangainya yang suka berlawan cakap dengan Balqis.
            "Akak!  Akak buat apa lagi, breakfast kan dah ada"  Nurin Balqis bertanya.
            "Abang kamu nak makan nasi goreng kampung.  Akak gorenglah sekejap.  Dah siap pun"  Azimah memberitahu punca dia berada di situ.
            "Mengada!"  Wajah abang yang masih ketawa dipandangnya geram.
            "Kakak tak sibuk pun, dia pulak yang kecoh!"
            "Dah-dah!  Dah siap pun jom kita ke depan" 
Azimah bertindak menghentikan dua beradik yang suka berlawan cakap.  Sebenarnya bicara mereka berbentuk gurauan, tapi tak pelik kalau ada yang terasa di akhirannya nanti.


            HARI ITU, seperti mana permintaan Datuk Shukri, Azimah memasak lauk untuk makan tengahari.  Nurin Balqis membantunya.  Bersungguh betul anak dara datuk Shukri dan Datin Khadijah nak belajar masak.  Yang lain-lain hanya duduk berbual di ruang tamu.

            "Kamu masih jumpa dengan budak perempuan tu lagi Ezam?"  Tiba-tiba Datuk Shukri mengaju soalan kepada anak lelakinya.  Ketika itu Datin Khadijah ke dapur, menjenguk tukang masak!
            "Masih papa"  Nurezam tertunduk.  Perlahan saja jawapannya.
            "Ajim tau tak?" 
            "Ezam tak tau pa.  Tapi Ezam dah buat keputusan, Ezam nak bersama Ajim seumur hidup Ezam.  Ezam betul-betul sayangkan dia"  Nurezam membuat pengakuan kepada Datuk Shukri.  Dia serius dengan apa yang diluahkannya.
            "Putuskan terus hubungan kamu dengan perempuan tu kalau Ezam betul-betul sayangkan Ajim.  Jangan sampai Ajim terluka dan buat keputusan tinggalkan kamu.  Masa tu, papa dan mama tak boleh nak membantu.  Sesiapapun tak boleh membantu kalau Azimah dah buat keputusan begitu"  Datuk Shukri memberi peringatan tegas kepada Nurezam.
            "Ezam tau pa.  Ezam dah ada plan nak beritahu Mimi dua atau tiga hari lagi.  Dua tiga minggu ni, Ezam sibuk dengan kerja.  Hujung minggu pulak Ezam stay kat rumah dengan Ajim.  Ezam tak sempat jumpa dia langsung."
            "Baguslah kalau kamu dah tahu apa yang patut dibuat.  Tau mama kamu, mengamuk dia"
            Faham benar Datuk Shukri dengan isteri yang sayang betul dengan menantu pilihannya itu.  Pasti dia tak boleh menerima jika anak lelaki mereka memperlakukan Azimah yang terlalu baik begitu.


            Tengahari itu, berselera betul Datuk Shukri menikmati makan tengahari.  Masakan menantunya memang ada class.  Tak pelik kalau Nurezam boleh terikat dengan perempuan istimewa itu.  Itulah conclusion yang dapat dibuat oleh logik akalnya.

No comments:

Post a Comment