Tuesday 4 November 2014

DIDK P4

BAB EMPAT




                    Satu! Dua! Tiga!  Smiles!  Begemerlapan cahaya  dari lensa kamera.  Mau tak mau terpaksa juga memasang muka bila orang mengajak bergambar.  Sudah letih Azimah melayan adik-adik dan sesekali rakan-rakan bergambar.  Gembira benar seluruh ahli keluarganya kerana dapat sama-sama menghadiri majlis konvokesyen Azimah.  Pak Cu Zalmi dan isterinya pun ikut bersama, tumpang gembira atas kejayaan cemerlang anak saudaranya.  Azimah antara pelajar Melayu yang memperolehi Ijazah Kelas Pertama, dan dia turut menerima Anugerah atas kecemerlangan akademiknya.  Namun, keputusan yang bermakna itu tak dapat memberikan kebahagiaan yang menyeluruh untuk Azimah.  Senyum yang dilontarkannya seharian ini adalah palsu belaka.  Sampai sakit kedua belah pipinya kerana pura-pura melempar senyum.  Kalau tak berpura-pura, memang Azimah tak mampu tersenyum.  Kegembiraannya hanya akan muncul jika Steven ada bersama di majlis itu.  Tapi impian hanya tinggal impian.  Dia sendiri yang mengenakan syarat, tak mungkin lelaki itu akan melanggar permintaan Azimah.

          Masih tak lepas lagi nama lelaki Cina itu dari hati Azimah.  Walaupun mereka tak pernah lagi bersua muka selepas hari itu, Azimah masih menerima pesanan dari peti suara dan sesekali panggilan lelaki itu.  Azimah tak boleh menafikan, dalam kesibukan tugas sebagai pelajar dan sekarang tutor, dia masih rindukan Steven.  Setahun dah berlalu, belum terdengar lagi apa-apa perkembangan positif dari Steven.  Bukan tiada orang yang cuba mengetuk pintu hatinya, tetapi hatinya sendiri yang enggan untuk menerima.  Cintanya masih pada Steven Chan.  Kalau dulu, dia ditemani Salwa, 3 tahun lamanya mereka berkongsi bilik.  Selepas majlis konvokesyen, Salwa balik ke negeri kelahirannya di Utara Semenanjung.  Azimah kini menyewa bersendirian di Bandar Baru Bangi.  Keputusan ijazah yang cemerlang banyak membantu Azimah.  Secara automatik, tamat sahaja pengajian dia terus ditawarkan jawatan sebagai tutor di Fakulti Pengurusan Perniagaan.  Peluang yang datang tak ditolaknya. 

        Sambil jadi tutor dia mengikuti pengajian di peringkat Sarjana.  Duit masuk, ilmu pun masuk.  Taklah dia menyusahkan Pak Zainal untuk mengirimkan duit sebelum pinjamannya diluluskan.  Kalau ada rezeki, selepas tiga atau empat tahun menjadi pensyarah, Azimah mahu melanjutkan pelajaran ke peringkat PHD.  Bukan tak boleh menyambung terus, tapi takkan dia hanya nak memikirkan diri sendiri sahaja.  Ayah dah bersusah payah menghantar dia belajar sehingga ke universiti, setelah dia bekerja, tanggungjawab Azimahlah pulak membantu meringankan beban ayah untuk memberi adik-adik pelajaran.

        Telefonnya berdering nyaring.  Azimah sedang menanda tugasan tutorial yang dihantar oleh pelajarnya.  Nama Steven yang tertulis di skrin telefon bimbit mendebarkan hatinya.  Bukan kali pertama lelaki itu menelefonnya, tapi kali ini Azimah memang berdebar-debar, tak keruan benar hatinya.

"Hello"  Azimah memulakan bicara.
"Hello Ajim!  How's life?  Are you okay?"
"I'm okay.  You?"
"Okay, but I miss you very much!"
"What's up?"  Azimah tak mahu bicara soal hati.  Lebih baik pergi terus kepada tujuan sebenar lelaki itu menghubunginya.
"Steven nak beritahu Ajim yang Steven nak further study ke Melbourne.  Kalau tak ada apa-apa, end of this week Steven berangkat.  Sebelum pergi, Steven harap sangat nak jumpa Ajim"  Steven menerangkan permintaannya dengan suara yang perlahan.  Dia tak tau bagaimana penerimaan Azimah.
        Nak ke Melbourne!  Janji-janji manis dia tu macamana?  Dah setahun setengah berlalu macam tu aje.  Dia ingat aku ni apa?  Suka-suka hati aje nak buat macam tu.  Tak terkeluar sebarang bicara dari mulutnya.
"Ajim!  Steven tahu Ajim sedang fikirkan pasal janji Steven kan?  Steven masih ingatlah.  Masih ada setengah tahun lagi kan?  Steve akan cuba yang terbaik"
Azimah malu sendiri mendengar bicara Steven.  Sangkanya Steven sudah melupakan janji.
"Ajim! Ajim!  You masih online tak?"  Cemas suara Steven bila tak mendengar sebarang bunyi dari Azimah.
"Saya!"  Pendek saja jawapan Azimah.
"Ingat dah letak tadi.  Bila Ajim free?"  Barulah perasaan Steven kembali normal bila mendengar kembali suara Azimah.
Azimah ketawa di dalam hati.  Jadual untuk bulan ini yang berada di hadapan mejanya disemak.
 "Ajim tak freelah minggu ni"  Azimah memberi jawapan setelah membuat kepastian.
"Tolonglah Ajim!  Steven benar-benar berharap dapat jumpa Ajim sebelum berangkat." 
Merayu benar bunyi suara Steven.  Tak sanggup dia nak meninggalkan Malaysia tanpa menatap wajah Azimah, wajah yang selalu memberinya inspirasi.  Selagi berada di Malaysia, kalau rindu bolehlah dia curi-curi melihat Azimah, kalau dah di Melbourne, lain ceritanya.
"Steven nak berangkat bila?" 
Kesian pulak Azimah mendengar suara Steven.  Dia sendiri pun sudah rindu benar dengan Steven.  Satu tahun setengah, bukan sedikit masa mereka tak berjumpa.  Dah lebih 500 hari mereka tak bersua, bagaimana agaknya penampilan lelaki itu sekarang.
"Sabtu ni"  Pantas Steven memberikan jawapan.
"Aaaa… Khamislah.  Steven jemput Ajim kat bus stop depan UKM tu, 5.30 petang.  Boleh?"  Azimah memberi keputusan setelah melihat jadualnya.  Walaupun malam itu malam Jumaat, itu saja malam yang dia free.
"Boleh Ajim.  Kita jumpa nanti" 
Steven dipukul rasa gembira yang tak terhingga menerima jawapan Azimah.  Tak perlu berfikir apa-apa, terus saja persetujuan dilontar dari mulutnya.  Walaupun mengikut perancangan, pagi Khamis dia sudah berada di Ipoh, tiada masalah untuk dia bertemu Azimah.  Di hujung dunia sekali pun dia akan datang.  Bila-bila masa pun jika Azimah setuju untuk menemuinya, dia akan sampai ke tempat yang dijanjikan.
"Okay, see you
Azimah mematikan telefon walaupun Steven seperti masih mahu meneruskan perbualan.  Dia tersenyum sendiri.  Kerja yang terbengkalai tidak disambungnya, sebaliknya dia melamun, memikirkan lelaki yang menghubunginya sebentar tadi.  Sukar betul untuk dia melupakan anak Cina kelahiran Ipoh itu.  Tak tau bagaimana kesudahan cinta mereka.  Walau masih ada setengah tahun, Azimah seperti sudah bertemu dengan keputusan yang bakal dihadapnya.  Dia seperti dapat mengagak apa yang bakal berlaku.


            TERPAKU Azimah dengan tindakan Steven yang tiba-tiba memeluknya.  Semuanya berlaku terlalu pantas.  Ketika dia nak memasuki pagar rumah, namanya dipanggil Steven.  Dia berpaling dan lelaki yang betul-betul di hadapannya itu terus bertindak memeluknya.  Baru Azimah nak meronta minta dilepaskan, lelaki itu sudah melepaskan tubuhnya.  Dalam kesamaran malam, dia nampak ada air mata bergenang di bawah cermin mata Steven.  Setelah menyerahkan satu kotak di tangan Azimah, dia terus masuk ke kereta dan berlalu tanpa sebarang kata.  Meninggalkan Azimah yang masih terperanjat dengan apa yang berlaku.  Apakah itu hints yang menunjukkan ini pertemuan terakhir mereka?  Hatinya diterpa rasa sedih yang teramat sangat.

            Ya ALLAH!  Apa yang dah berlaku pada aku ni?  Termenung sekejap Azimah.  Terduduk dia di bendul di luar pagar rumah.  Suasana mesra di meja makan di Hotel Equatorial masih jelas di matanya.  Mereka keluar makan bersama seperti dulu.  Steven nampak ceria benar sebaik mereka berjumpa di hadapan UKM petang tadi.  Banyak betul cerita yang dikhabarkan pada Azimah.  Semua bicaranya berbau rindu.  Azimah lebih bertindak sebagai pendengar.  Hanya senyuman gembir terlakar di bibirnya mendengar cerita Steven.  Sesekali saja dia menyampuk cerita lelaki itu.
            Sejak berjumpa dan sehingga mereka duduk di meja makan, mata Steven tak dilarikan dari memandang Azimah.  Kalau dulu, dia lebih suka Azimah duduk di sebelahnya, kali ini tidak.  Dia sendiri meminta Azimah duduk berdepan.  Berselera betul lelaki itu di mata Azimah ketika menghadap makan malam .

            Ingin saja Azimah bicarakan perjanjian mereka dulu.  Tapi dibatalkan setelah berfikir beberapa kali.  Tak sampai hatinya mengeruhkan emosi Steven yang kelihatan ceria benar.  Azimah bertindak menyerahkan kepada takdir saja atas segala-galanya.  Pukul 7.30 malam, Steven mengingatkannya pada waktu Maghrib dan lelaki itu menemaninya sehingga ke depan bilik sembahyang yang memang disediakan oleh pihak hotel untuk kemudahan pelanggannya.  Selepas itu Azimah diajaknya meronda ke Plaza Metro Kajang.  Letihpun Azimah layankan juga.


            Ketika menghantarnya pulang ke rumah sewa,  lelaki itu tak berkata apa-apa lagi.  Azimah membiarkan saja dia melayan perasaan sendiri.  Kesempatan yang ada digunakan Azimah untuk menatap puas wajah kacak Steven.  Lelaki itu dinilainya semakin matang.  Penampilannya tak banyak berubah, dia masih kekal sebagai lelaki yang dikenali Azimah empat tahun lalu.


            LAMA dia duduk di dalam gelap di hadapan rumah.  Mudah-mudahan tak ada sesiapa yang melihat apa yang dilakukan Steven sebentar tadi.  Tapi TUHAN nampak Azimah!  Bukan aku merelakan, segalanya terlalu pantas.  Keliru sekejap Azimah.  Mengingat hari dah jauh malam, Azimah angkat punggung.  Kakinya dilangkahkan menuju ke pintu rumah.  Baru nak dijoloknya kunci, pintu sudah dibuka dari dalam.  Haniza, teman yang baru sebulan berkongsi menyewa rumah dengannya itu menyambut kepulangannya.
           
            "Baru balik Ajim?"  Haniza menegur Azimah.
            "A..ah kak Hani" 
Azimah tersenyum memandang Haniza.  Disedarinya pandangan mata luar biasa perempuan itu.  Mukanya menunjukkan dia mempunyai persoalan di dalam hatinya.
            "Siapa yang hantar Ajim balik tadi?"  Haniza mengekori langkah Azimah selepas dia memastikan pintu dikunci.
            "Kawan kak Hani.  Kak Hani nampak ke apa yang berlaku tadi?" 
Azimah menghentikan langkahan kakinya di bawah kipas.  Selesa rasanya berada di situ.  Menyedari banyak yang nak diperbualkan dengan perempuan yang dipanggilnya sebagai kak Hani itu, Azimah mendaratkan punggungnya.  Haniza pun turut berbuat demikian.  Senyuman di wajah Haniza memberi tanda bahawa segala yang berlaku sebentar tadi disaksikan oleh mata perempuan itu.
            "Kak Hani bukan busy body atau sengaja nak mengintip Ajim"  Haniza memberitahu.
            "Ajim tak salahkan kak Hani.  Ajim harap kak Hani tak salah sangka dengan Ajim.  Itu bukan cara hidup dan pegangan Ajim.  Walaupun tak tinggal dengan keluarga, Ajim membataskan diri Ajim dari perkara terlarang"  Walaupun ada rasa malu, Azimah berterus terang saja.  Azimah bimbang Haniza membuat tanggapan yang salah tentang dirinya jika dia tidak berterus-terang.
            "Kak Hani tau Ajim.  Walaupun baru sebulan duduk serumah dengan Ajim, kak Hani dah boleh kenal hati budi Ajim.  Sebab tu kak Hani tak ragu-ragu nak tanya Ajim apa yang sebenarnya dah berlaku.  Kalau betul dia teman lelaki Ajim, kenapa tak pernah datang pun sebelum ni?"
            "Dah setahun setengah kami tak jumpa.  This weekend, Steven nak ke Melbourne.  Dia nak sangat jumpa Ajim sebelum berangkat.  Kami pergi makan dan jalan-jalan sekejap.  Semuanya berlaku dengan tiba-tiba.  Tak berapa saat dengan dia sekali dah melesap.  Ajim sendiri bingung bila tak dapat apa-apa penjelasan dari dia."  Azimah menerangkan keadaan sebenar yang berlaku.
            "Sebab itulah Ajim termenung dalam gelap ya?  It's okay, dia tak tahan hati nak tinggalkan Ajim agaknya.  Bukan Ajim relakan" 
Lebar senyum di bibir Haniza.  Risau sekejap hatinya dengan apa yang berlaku sebentar tadi.  Alhamdulillah, dia tak tersilap menilai.  Azimah tersenyum tawar.  Wajah Steven yang muram bermain di fikirannya.
            "Steven tu orang apa?  Kak Hani tak nampak dengan jelas mukanya tadi.  Yang pasti orangnya kacak"  Haniza cuba nak menggembirakan teman yang nampak bersedih.
            "Chinese kak Hani."  Azimah tersenyum mendengar bicara Haniza.  Teman serumahnya itu memang suka melawak.
            "You all break off ke?"  Haniza ingin tahu.
            "Tak tau nak cakap kak Hani.  Banyak halangan especially agama.  Banyak perkara dia cukup rasional.  Tapi pasal agama, betul-betul dia tak boleh nak atasi sendiri.  Dia nak pujuk parents dia supaya benarkan dia peluk agama Islam.  Dah setahun setengah, tapi masih belum ada apa-apa perkembangan.  Ajim tak nampak ada jaminan dalam perhubungan kami.  Ajim dah tak menaruh apa-apa harapan lagi."  Azimah seperti meluahkan rasa kecewanya dengan apa yang terjadi kepada Haniza.
            "Sabarlah Ajim!  Tapi kak Hani tengok dia betul-betul masih sayangkan Ajim"  Bahu Azimah diusapnya lembut.
            "Tak sampai ke mana sayang tu kalau kami masih berbeza agama"
            "TUHAN nak padankan Ajim dengan orang yang lebih baik agaknya.  Siapa tahu?"  Haniza masih cuba memujuk teman yang kesedihan.
            "Terima kasih kak Hani, Ajim tak apa-apalah.  Okey aje.  Buat masa ni, terus-terang cakap, Ajim masih belum boleh lupakan Steven.  Mungkin satu hari nanti"  Azimah tak berahsia dengan Haniza yang bekerja sebagai Pegawai Agama Islam di Pejabat Daerah Ulu Langat.
            "Kak Hani doakan, Ajim cekal hadapi semua ni.  TUHAN sentiasa bersama orang yang sabar" 
Haniza memberi peringatan.  Walaupun dia tak berapa tau kisah teman barunya itu, serba sedikit dia faham dengan apa yang dilalui Azimah.  Pasti perit menghadapi masalah dalam cinta berlainan agama dan budaya dan menerima tentangan keluarga pulak tu.  Perbualan mereka terhenti bila tiba-tiba handphone di dalam beg tangan Azimah berbunyi.  Azimah bercakap-cakap sekejap dan kemudian menyimpan kembali telefonnya.
            "Dia telefon?"  Haniza tersenyum melihat anggukan kepala Azimah.
            "Say sorry atas apa yang berlaku.  Betul tekaan kak Hani tadi.  Apa pun, tolong simpan semua ni sebagai rahsia ya?"  Azimah mengharapkan kerjasama teman serumahnya yang dua tahun lebih tua dari usianya.
            "Okey.  Yang tu jangan bimbang"  Haniza memberi janji.


            Haniza memandang saja Azimah yang masuk ke biliknya setelah dia meminta diri.  Kagum dia dengan Azimah yang langsung tak nampak bermasalah sebelum ini.  Kalau tak kerana dia mendengar sendiri masalah itu dari mulut Azimah pasti sampai sekarang dia masih tak tau.  Alhamdulillah, temannya itu berjaya mengatasi masalah peribadi tanpa mencampurkannya dengan hal lain.  Berterima kasih betul dia dengan mak Leha yang mengenalkan dia dengan Azimah yang secara kebetulan sedang mencari teman kongsi menyewa rumah.  Tak ramai orang yang memiliki peribadi seistimewa teman serumahnya itu.  Dia boleh diibaratkan seperti binatang kawalan yang hampir nak pupus.  Haniza tersenyum sendiri mengingatkan andaiannya.  

No comments:

Post a Comment