Monday 3 November 2014

DIA ISTERIKU, DIA KEKASIHMU (DIDK Pendahuluan)





Dalam kesuraman cahaya yang menembusi biliknya mata Azimah masih terkebil-kebil.  Banyak perkara yang sedang difikirkannya.  Jam di dinding sudah menunjukkan pukul 2.00 pagi tapi matanya masih enggan lelap.  Sesekali kedengaran di telinganya bunyi kokokan ayam.  Agaknya air sedang pasang.  Azimah meneka sendiri.  Dengkuran halus lelaki yang tidur sekatil dengannya tidak mengganggu konsentrasi fikirannya.  Tangan lelaki yang terkena badannya dijauhkan. 

            Sesekali Azimah mengerling lelaki yang tidur lena di sebelahnya.  Azimah melepaskan keluhan panjang.  Dia tahu mengeluh itu tidak elok, cepat dia beristighfar.  Malam ini sebenarnya malam pertama Azimah sebagai seorang isteri.  Setelah lelaki yang sedang tidur di sebelahnya itu menyambut lafaz nikah dari tuan qadi yang diwakilkan oleh ayahnya, Pak Zainal, dia adalah isteri yang sah kepada lelaki itu.  Tapi malam yang sepatutnya indah itu hanya dipenuhi dengan kesedihan.  Malam pertama mereka tidak seperti malam pertama pasangan lain yang disatukan dalam alam rumahtangga.  Orang lain bergembira dengan pengalaman baru, tapi hubungan mereka dingin, sedingin-dinginnya.  Azimah langsung tak disentuh oleh lelaki itu.  Muka Azimah pun mahu tak mahu saja dipandang oleh anak Datuk Shukri itu.

            Ligat kepala Azimah memikirkan apa yang harus dilakukannya selepas ini.  Walaupun dia tak pernah berfikir untuk menjadi isteri lelaki itu sebelum ini, tapi Azimah sudah mengikhlaskan segala-galanya bila terpaksa menerima pinangan yang diajukan Datin Khadijah dan Datuk Shukri bagi pihak anak lelakinya itu.  Pedih hatinya diperlakukan begitu.  Pengorbanannya seperti tak berguna langsung.  Namun air matanya tak mahu keluar, dia tak sudi menangisi sesuatu yang tidak bermakna.  Kalau lelaki yang sudah menjadi 'suami kertasnya' itu memilih untuk melayan Azimah dengan baik di hadapan keluarganya sahaja, Azimah menurut saja.  Kalau dia sudah beria memalu gendang, Azimah akan menari saja mengikut rentaknya.   Dia sudah letih nak memikirkan yang bukan-bukan.

            "Saya tak akan ganggu kehidupan awak.  Saya akan teruskan hidup dengan cara saya dan awak teruskan apa saja yang awak nak lakukan.  Kita cuma perlu berlakon sebagai suami isteri di hadapan papa dan mama saya.  Saya tak mau awak pandai-pandai kenalkan saya sebagai suami awak kepada sesiapa sahaja.  Saya harap awak boleh faham" 
Nurezam bersuara perlahan kepada Azimah sebaik saja mereka bertemu secara empat mata di dalam bilik Azimah siang tadi.  Egonya ayat yang dikeluarkan oleh anak Datuk Shukri itu.  Terlalu hebatkah dia sehingga begitu sekali bicaranya?  Kalau beginilah perangainya, Azimah lebih malu nak memperkenalkan lelaki itu sebagai suami kepada sesiapa sahaja.  Namun segalanya itu disimpan saja di dalam hatinya.  Tak berbaloi berbalas bicara dengan lelaki seperti itu.
            "Selepas 2 tahun, datuk akan serahkan syarikat perkapalannya kepada saya, masa tu saya akan lepaskan awak.  Sepanjang tempoh tu saya akan perlukan awak untuk berlakon di depan datuk dan datin.  Nanti, saya akan beri awak pampasan.  Berapa saja yang awak nak, saya akan jelaskannya" 

Tanpa memikirkan apa-apa, lelaki itu boleh bicara begitu.  Langsung tak terfikir yang kata-kata yang terkeluar dari mulutnya itu akan menjerat diri sendiri, nantinya.  Bersahaja Nurezam mengeluarkan bicara lancangnya kepada perempuan yang masih terlalu asing dengannya itu.  Apa dia ingat Azimah kemaruk pada harta?  Apakah dia ingat Azimah berdiam diri kerana dia bodoh?  Bukan Azimah mahu diperbodohkan tapi dia enggan memperbodohkan diri menjawab perkataan bodoh yang dikeluarkan lelaki itu.  Kerana dia sudah terlanjur menjadi isteri lelaki itu, Azimah akan teruskan.  Selagi lelaki itu tak menyakitinya secara fizikal, tidak menderanya dia akan teruskan sehingga masa yang dijanjikannya tiba. 



Kalaulah Azimah memilih untuk bercerai selepas sehari perkahwinan pasti orang akan mengata yang anak Pak Zainal gila.  Apa alasannya?  Bukan dia saja, seluruh ahli keluarganya pun akan mendapat malu.  Kasihan pada mak, ayah dan adik-adik.  Ah!  Dua tahun bukannya lama.  Kalau Nurezam nak sangat begitu, biar aku kotakan apa yang dia mahukan.  Azimah tak kemaruk bersuamikan lelaki seperti itu.  Dia pun tak akan rugi apa-apa kerana Nurezam tak minta layanan seorang isteri darinya.

No comments:

Post a Comment