Tuesday 4 November 2014

DIDK P5

BAB LIMA





            Pejam-celik, pejam-celik, sekejap saja masa berlalu.  Tahun ini Athirah STPM, Amar pulak SPM.  Harap-harap kedua mereka dapat mengikut jejak langkah Azimah.  Pak Zainal dah boleh tersenyum bila memikirkan anak sulung yang dah mula bekerja sebagai tutor.  Walaupun sambil belajar lagi, setiap bulan anaknya itu mengirim duit belanja kepada Pak Zainal.  Ringan sedikit beban di bahu Pak Zainal.

            "Amirah!  Mira!"  Pak Zainal melaung dari depan rumah.  Kedengaran di telinga Pak Zainal derapan kaki berjalan pantas ke depan.
            "Ada apa ayah?"  Cepat saja terjongol muka Amirah yang sememangnya ringan tulang kalau disuruh berbuat apa saja di depan pintu.
            "Ni ha!  Ayah beli ikan keli tadi.  Pak Mat dah siangkan sekali.  Bagi kat kak Long kamu, suruh dia masak gulai pecal" 
Pak Zainal bicara gembira sambil menunjukkan plastik yang berisi ikan keli kepada Amirah.  Cepat saja Amirah menyambut ikan keli itu dan membawa ke dapur seperti mana arahan ayahnya.
Pasti berselera menikmati ikan keli segar dimasak pecal.  Memang Pak Zainal sengaja menempah dengan Pak Mat yang membekalkan ikan keli kampung.  Anak sulungnya itu suka betul meratah ikan keli dimasak pecal.  Bukan Azimah saja, seluruh ahli keluarganya memang suka ikan keli dimasak begitu.  Dah lama tak makan lauk yang dimasak anak sulung yang hanya balik ke kampung tiga empat bulan sekali.

Seperti jangkaan Pak Zainal, berselera betul mereka berlapan beranak menikmati makan tengahari bersama.  Licin semuanya.  Nasib baik mereka sudah solat sebelum makan tengahari, kalau tak pasti terlewat kerana masing-masing kekenyangan.  Pak Zainal mengambil kesempatan yang ada untuk berbual-bual dengan Azimah.  Mak Sakinah pula sedang bersiap-siap nak ke majlis Yasin di kampung.

"Kamu balik kampung ni tak sibuk ke kat sana Ajim?"
Azimah yang duduk di sebelah Pak Zainal setelah meletakkan air kopi dipandang  wajahnya.
"Sibuk juga ayah.  Mana nak handle kerja lagi, kuliah lagi.  Tapi adik-adik kan nak periksa.  Tak sempat pun Ajim sempat-sempatkanlah.  Nanti mereka cakap Ajim tak kisahkan mereka pulak" 
Azimah memberitahu tujuan sebenar kepulangannya di samping nak melihat keadaan ahli keluarga yang lain.  Terangguk-angguk kepala Pak Zainal menerima alasan dari Azimah.  Faham benar dia dengan sikap penuh tanggungjawab anak perempuannya itu.  Bersyukur benar kerana anak sulungnya itu boleh menjadi contoh kepada adik-adik. 
"Kamu tak terfikir nak beli kereta  Ajim?  Lesen pun kamu dah ada.  Kan senang kamu nak berbalik-balik ke tempat kerja"  Pak Zainal mengeluarkan usulnya.  Dah lama dia nak bertanya hal itu kepada Azimah.  Baru hari ini terkeluar dari mulutnya.
"Ayah!  Ayah!  Nak beli kereta kena simpan duit dulu ayah.  Ajim ada perancangan jugak.  2 atau 3 bulan lagi agaknya ayah.  Ajim nak kumpul duit muka dulu." 
Azimah ketawa mendengar pertanyaan Pak Zainal.  Kalau ikutkan senang, memanglah semua orang nak senang.  Kenalah fikirkan semua perkara, baru boleh buat keputusan.
"Kalau pasal duit muka, ayah kan ada.  Ayah boleh tolong Ajim" 
Pak Zainal membuat tawaran.  Pak Zainal tak keberatan langsung kalau setakat nak memberikan lima enam ribu untuk Azimah membuat muka membeli kereta.
"Tak apalah ayah.  Ayah simpan duit ayah tu.  Nanti, kalau tiba-tiba Athirah dengan Amar dapat masuk universiti saing-saing mana kita nak cekau duit.  Kena fikirkan juga hal tu walaupun lambat lagi.  Kena bersedia ayah, kalau tak kesian adik-adik" 
Azimah mengingatkan  ayahnya.  Lagipun dia sendiri dah bekerja, nak senang takkan nak mengharapkan bantuan dari orang tua pulak.  Sendirilah pulak yang kena bersusah-payah. 
"Yalah Ajim" 
Pak Zainal mengalah.  Ada betulnya jugak cakap anak sulungnya itu.  Kalau betul-betul terjadi banyak juga belanja yang kena dikeluarkan.  Nasib baik Azimah anak yang prihatin dan langsung tak mengambil kesempatan di atas kebaikan Pak Zainal.  Walaupun anak perempuan, anaknya itu jauh lebih bertanggungjawab.  Pak Zainal menerima hakikat yang anak lelaki dengan anak perempuan tak jauh beza tanggungjawabnya kepada keluarga di zaman sekarang.  Kalau dulu, tak ada anak lelaki satu kerugian.  Anak lelakilah yang bertanggungjawab menjaga dan membela nasib keluarga.  Zaman sekarang, anak perempuan pun dah mampu membela nasib keluarga.  Azimahlah contoh yang terbaik.  Tak ada anak lelaki pun tak apa kalau dikurniakan anak perempuan sebaik Azimah.  Pak Zainal tersenyum  sendiri.
"Barang-barang yang nak dibawa balik kamu dah sediakan Azimah"  Pak Zainal mengingatkan Azimah yang sudahpun membeli tiket bas yang akan berlepas pukul 8.30 malam.
"Dah ayah.  Ajim dah siapkan semua."  Azimah tersenyum melihat kesibukan Pak Zainal.  Dia yang nak balik, orang tua itu pulak yang susah hati.  Inilah tanda orang tua itu prihatin.


PAK ZAINAL dan Amar yang menghantar Azimah ke bas stesen menunggu sehingga bas bergerak baru mereka balik.  Pak Zainal senang hati mendengar Azimah menasihatkan satu-satunya adik lelaki yang bakal menghadapi SPM tak sampai sebulan lagi.  Nasihat dari orang lain tak berapa mahu didengar oleh anak lelaki tunggal Pak Zainal itu.  Dengan kak Longnya yang lembut dan tegas itu jarang dia mahu melawan.  Kalau dapat berita kak Longnya nak balik, gembira benar anak lelakinya itu.  Amar tak suka berkongsi cerita  halnya dengan orang lain.  Azimahlah yang paling banyak tau masalah Amar.  Rela dia menyimpan duit poket belanja sekolah semata-mata nak mengadu masalah kepada kakaknya di telefon awam. 

Mula-mula dulu, Pak Zainal marah juga dengan perangai anak lelakinya itu.  Dia tertonggok di depan mata tak mau dikhabarkan.  Azimah yang jauh itu pula terpaksa bersusah-payah membantu menyelesaikan masalahnya.  Lama-kelamaan dia sejuk sendiri bila memikirkan Azimah bukan orang lain, kakaknya juga.  Lagipun Azimah tak pernah menyatakan keberatannya.  Yang paling penting bagi Pak Zainal, ada di kalangan ahli keluarganya yang mampu menangani anak itu.

"Amar, kamu tau tak pasal kawan Cina kak Long kamu tu?"  Pak Zainal cuba mengorek rahsia.  Semalam bila ditanyakan pada Azimah, pendek sangat jawapannya.  Tak puas hati dia bila Azimah mengelak dari terus membicarakan hal itu.  Manalah tau, dengan Amar dia ada bercerita.
"Tak tau ayah.  Kak Long tak pernah bercerita hal peribadi dengan Amar" 
Jujur sekali suara anak muda itu di telinga Pak Zainal.
"Kalau tak tau, jangan pulak kamu beritahu orang lain"  Pak Zainal memberi arahan.  Dalam serba salah kerana membocorkan rahsia Azimah, ada rasa bangga kerana dalam keluarga hanya dia seoranglah yang diberitahu Azimah tentang perkara itu.

"Yalah ayah"  Pendek jawapan Amar.  Ada kemusykilan di hatinya terhadap pertanyaan Pak Zainal.  Tapi tak pula dia bertanyakan apa-apa.

No comments:

Post a Comment