Monday 10 November 2014

DIDK P13




BAB TIGA BELAS






Ada rasa segan di hati Azimah nak menyambut huluran tangan Nurezam.  Sebelum ini dia kerap berlakon di depan keluarga mertuanya dan melakukan perkara yang sama, perasaan sebegitu tak terbit langsung.  Lain pulak halnya malam itu.  Tapi, takkan dia nak memalukan lelaki itu di tengah lobi restoran yang serba mewah itu pula.  Menjatuhkan airmuka suami itu berdosa.  Lagi tak tahan kalau lelaki itu merajuk.  Azimah dah tak kuasa nak melayan.  Biarlah aku ambil peluang ni untuk menyimpan memori indah waktu kami bersama.  Entah-entah inilah peluang pertama dan terakhir aku.  Ketika mereka melangkah bergandingan untuk balik menuju ke kereta, ada satu suara memanggil nama Nurezam.  Langkah mereka terhenti.

            "Datuk Hafiz!  Datin tak ikut sama?"  Nurezam bersuara gembira membalas teguran Datuk Hafiz dari Cemerlang Jaya, salah satu pelanggan besar syarikat perkapalan mereka.
            "Tak, datin ada aktiviti sendiri.  Saya ada janji dengan teman seangkatan.  Siapa tu?" 
Datuk Hafiz menumpukan pandangannya pada perempuan yang tersenyum manis di sebelah Nurezam.  Tak pernah dia melihat perempuan itu sebelum ini.  Siapa agaknya dia?  Teman wanita baru lelaki yang terkenal dengan perangai playboynya itukah?  Tak sabar menunggu jawapan dari mulut anak lelaki tunggal Datuk Shukri yang nampak ceria benar moodnya malam itu.
            "Oh!  Yang ni isteri saya datuk, Azimah.  Azimah, ni Datuk Hafiz customer kita" 
Dengan penuh rasa bangga Nurezam memperkenalkan isterinya kepada Datuk Hafiz.  Azimah yang diperkenalkan hanya tersenyum sambil angguk kepala tanda memberi hormat kepada Datuk Hafiz.
            "Bila you kahwin Ezam?  Saya tak tau pun!"  Datuk Hafiz tersenyum memandang muka Nurezam.
            "Dah lebih setahun juga datuk.  Buat majlis kat Johor saja.  Kat KL buat majlis keluarga, tak jemput orang luar"  Nurezam memberikan jawapan sambil menjeling isteri yang  kelihatan tenang sahaja.
            "I taulah isteri you tu cantik.  Apalah salahnya kalau dikenalkan pada kami.  Takkan nak dihadap seorang aje?"  Datuk Hafiz bergurau.
            "I memang tak nak kongsikan dia dengan orang lainlah datuk, tak sanggup!"
Nurezam tergelak membalas gurauan Datuk Hafiz.  Gelak Datuk Hafiz lagilah kuat.  Azimah tersenyum malu mendengar Nurezam bicara begitu.  Ikhlaskah bicara lelaki itu?  Kalaulah lelaki itu ikhlas, dialah perempuan paling bahagia saat itu!  Yang pasti, genggaman tangan lelaki itu semakin erat menggenggam tangannya. 
"Kami pergi dululah datuk"  Nurezam meminta diri. 
"Baiklah.  Jumpa lagi" 
Datuk Hafiz masih ketawa dengan jawapan Nurezam sebentar tadi.  Tak disangkanya pula Nurezam yang merupakan satu-satunya anak lelaki yang bakal menggantikan tempat Datuk Shukri itu memiliki isteri yang serba-serbinya menarik di mata Datuk Hafiz.  Sudahlah begitu, bertudung pulak tu.  Kesopanan dan kejelitaan anak melayu itu lebih terserlah lagi.  Pandai betul Datuk Shukri memilih menantu!  Hebat citarasa Nurezam, tak padan dengan perangainya yang selalu gemar bersama perempuan yang seksi bukan main.  Dah sampai ke meja temannya yang sedang menunggu kedatangannya pun senyumannya tak habis lagi.  Bila mereka bertanya, tak lokek dia berkongsi cerita.  Lagipun, siapa tak kenal Datuk Shukri!


            SEPANJANG perjalanan balik, Azimah lebih senang memerhatikan pemandangan di tepi jalan.  Jelingan dari Nurezam sengaja tak mahu difikirkan.  Dia sengaja buat-buat tak sedar pandangan curi lelaki itu.  Otaknya malas nak mengandaikan apa-apa.  Biarlah jika lelaki itu nak berlakon.  Azimah dah menyediakan diri untuk apa sahaja keadaan.  Kerana sudah terjebak dia juga terpaksa ikut serta dalam lakonan lelaki itu.

            Apapun, dia gembira sekali malam itu.  Nurezam melayannya dengan baik sekali.  Memang sesekali mood lelaki itu terganggu, tapi dia cepat cool semula.  Yang paling tak diduganya, lelaki yang selama ini serius dan garang itu sebenarnya suka bergurau dan romantik pulak tu.  Azimah baru nak memasang angan bila tiba-tiba telefon di dalam beg tangannya berdering.  Azimah mengangkat telefon dan berbual-bual sebentar dengan Balqis sebelum menyerahkan telefon kepada Nurezam.
            "Siapa?"  Nurezam menjeling Azimah.
            "Balqis.  Dia kata handphone you tutup"
            "Tolong pegang Ajim.  I tak bawak earphone"
            Azimah berbuat seperti mana kehendak Nurezam.  Sambil mendengarkan perbualan dua beradik itu, dia membebel sendiri di dalam hati.  Lega bila Nurezam tak cakap banyak.  Taklah sakit tangannya berterusan.
            "Kenapa tutup telefon?"  Azimah menyoal Nurezam tanpa memandang muka lelaki yang menjelingnya itu.
            "Tak ada apa"  Pendek saja jawapan Nurezam.
            "Mustahil tak ada apa-apa.  You nak elak panggilan dari siapa?"  Azimah masih tak mahu mengalah.
            "Petang tadi kan I dah beritahu.  I tak nak gangguan dari sesiapa.  Ezam nak berdua dengan Ajim saja"  Panas hatinya mendengar bicara Azimah.  Selalunya perempuan itu tidak mengasak begitu.  Apa yang dijawab Nurezam akan diterima seadanya.
            "Cakap ajelah yang you tak nak buah hati you panggil masa I ada dengan you.  Rasanya Ajim tak pernah ugut you kan.  Tak payahlah bimbang I takkan tolong you.  Selagi I masih sah isteri you, I akan tolong.  Dengan syarat you bukan suruh I buat maksiat" 
Berani pulak mulut Azimah malam ini.  Tiba-tiba hatinya rasa jengkel dengan perkara yang diluahkannya itu.
            "Eh!  Yang you ni degil sangat kenapa?  I kata tak ada apa-apa, tak adalah.  Susah sangat ke nak faham?"  Nurezam mula menarik suara.  Geram benar dia pada perempuan yang enggan menerima alasannya.
            Azimah terdiam sekejap menerima herdikan lelaki itu.  Padan muka engkau Azimah, dia elok-elok engkau buat pasal.  Carik bala!  Kan dah datang angin dia.
            "Sorry!  Saya susah nak percaya yang awak berbaik dengan saya tanpa ada perkara lain di sebaliknya."  Azimah memutuskan untuk berterus-terang sahaja.
            "Ezam tau.  Ezam pun minta maaf sebab tarik suara tadi.  Ezam tak berniat nak sakitkan hati Ajim.  Tapi, Ezam memang ikhlas kali ni"
            Cepat pula sejuk hati Nurezam mendengar kata maaf dari Azimah.  Lagipun memang perempuan itu tak bersalah.  Dia memang berhak meragui apa saja tindakan Nurezam.
           
            Selepas itu, sepanjang perjalanan ke rumah, suasana di dalam kenderaan senyap sahaja.  Banyak lagi yang nak diperkatakan Nurezam.  Memandangkan mood perempuan itu pun naik turun, dia memilih untuk berdiam diri juga.  Tapi, bila memikirkan ucapan perempuan itu yang bernada cemburu, Nurezam dipukul rasa bahagia.

            Sampai saja di rumah, Azimah bergegas membuka kunci pintu rumah.  Kemudian langkah kakinya dihayun pantas menuju ke bilik.  Jam sudah pukul 11.30 malam.  Nurezam yang mengekor di belakang mengunci pintu dan kemudian menghempas punggungnya di atas sofa di ruang tamu.  Ada rasa hampa bila perempuan itu terus masuk ke biliknya tanpa memandang mukanya.  Nurezam mengeluh sendiri.  Begini rupanya perasaan kalau tak dipedulikan orang.  Pasti Azimah tertekan dengan tindakannya.  Setahun dia membiarkan Azimah menanggung perasaan sendiri.  Langsung tak pernah terfikir di kepalanya apa bentuk tekanan yang harus ditanggung oleh perempuan itu atas tindakan tidak bertanggungjawabnya.  Wajah perempuan yang tidak berdosa itu bermain di ingatannya.  Beruntung kerana dia dapat isteri seperti Azimah.  Kalau orang lain pasti takkan membiarkannya begitu saja.  Tak mungkin untuk aku menakluki hatinya dalam masa satu hari.  Sabarlah Nurezam!  Nurezam menenangkan diri sendiri.  Kipas yang berpusing ligat di ruang tamu tak berjaya menyejukkan badannya yang terasa betul bahang panasnya.

            "Ezam"
            Suara lembut dan manja perempuan itu mematikan lamunannya.  Mungkin Azimah dari dapur agaknya.  Kerana melamun dia tak sedar pun bila perempuan itu melintasi ruang tamu.
            "Yes!  Kenapa Ajim?  You nak I temankan you tidur ke?"  Bunyi pertanyaannya kedengaran berlucu tetapi sebenarnya satu pengharapan agar perkara itu berlaku.
            "No!  I just want to say goodnight!"  Azimah tersenyum malu menyambut bicara Nurezam.  Cepat dia masuk ke bilik, menutup pintu dan mengunci biliknya.

            Nurezam tersenyum sendiri lagi.  Ingin saja dia mempelawa Azimah berkongsi bilik tidur tapi ego lelaki melarangnya.  Tentu malu kalau perempuan itu menolak mentah-mentah.  Nurezam bangkit, dia terus menuju ke biliknya.  Setelah menukar pakaian dia menunaikan solat Isyak.  Jam 12.30 malam, Nurezam membaringkan badannya di atas katil.  Bergolek sana, bergolek sini, matanya tak mau pejam.  Penangan Azimahkah?  Betulkah aku jatuh cinta dengan isteri sendiri?  Apa perasaan sebenar aku terhadap Mimi?  Berbolak-balik persoalan itu di kepala Nurezam.  Baginya Mimi dah tak penting lagi.  Yang penting sekarang adalah Azimah, perempuan yang memiliki hubungan yang halal dengannya itu.  Kelembutan dan kebaikan Azimah sudah berjaya menumbangkan kekukuhan kedudukan Mimi di hatinya.  Tiba-tiba suasana bilik bertukar gelap.
           
            "ALLAH!  Blackoutlah pulak.  Takda masa lain ke?" 
Nurezam bangun dari baringnya.  Dia meraba-raba mencari torchlight yang diletakkan di dalam laci mejanya.  Dua tiga kali juga Nurezam tersasar.  Akhirnya torchlight sudah di tangannya.  Lega sebaik mendapati torchlight berfungsi.  Cepat dia melangkah keluar dari bilik bila mendengar namanya dijeritkan Azimah.
"Ajim, you okay ke?"  Nurezam mengetuk pintu bilik Azimah yang berkunci dari dalam.
"Zam, I takut gelap!  Cepatlah!"
"Bukalah pintu ni, macamana I nak masuk?"  Nurezam garu kepala.
"Ajim tak boleh nak bergerak, tak nampak apa-apa"  Azimah separuh menjerit.
"Habis tu, macamana I nak masuk?"
Takkan nak dilanggar pintu tu.  Rasanya bukan pintu yang patah, aku yang patah nanti.  Kunci spare!  Bingung pulak kepalanya bila memikirkan di mana diletakkan kunci spare.  Bila teringat dia menyimpannya di laci kabinet dapur, cepat dia melompat.

Ketika Nurezam sibuk mencuba kunci, tak berhenti mulut Azimah memanggil namanya.
"Apa yang kalut sangat ni?"  Nurezam menyuluh Azimah yang duduk di tepi katil sambil menekup muka.  Rasa nak ketawa pun ada melihat perempuan itu dalam keadaan begitu. 
Mendengar suara Nurezam, Azimah membuka mata.  Lega melihat kedatangan lelaki itu bersama torchlight di tangan.
"Zam!  You tak ada simpan lilin ke?"  Azimah merapati Nurezam.
"Tak adalah Jim.  Biar Ezam pergi beli sekejap"  Nurezam terus berpusing.
"Ajim nak ikut!" 
Tangan Nurezam ditariknya.  Tak sanggup tinggal sendirian di rumah yang gelap gelita.  Berbanding Nurezam dia lebih takut dengan kegelapan.  Itulah kelemahan diri yang masih belum boleh diatasi sehingga sekarang.
"Hei!  You dah tak takut dengan I lagi ke?"  Nurezam berlawak.  Ketawa kecil mengiringi bicaranya.  Gelap-gelap pun dia masih ada mood nak mengusik.
"You jangan main-main Zam.  I serius!  I memang takutkan gelap"  Keras suara Azimah, geram kerana Nurezam mempermainkannya.
"Kalau Ezam tau, sejak tadi Ezam matikan mainswitch!"  Semakin galak pula Nurezam mengusik Azimah.

Tangan Nurezam dipukul Azimah yang kegeraman.  Tang!  Torchlight jatuh.  Keadaan bilik yang tadinya diterangi cahaya dari torchlight, menjadi gelap gelita.  Azimah melompat memeluk Nurezam.  Perasaan malu dan takutnya pada Nurezam sudah hilang entah ke mana.  Dada bidang lelaki itu jadi sasarannya.  Nurezam sedikit terkejut dengan apa yang berlaku.  Sangkanya Azimah main-main.  Tapi bila suasana benar-benar gelap dan perempuan itu tak berfikir panjang terus memeluk dan memegang kuat tangannya, dia tau yang Azimah benar-benar fobia gelap.
"Ezam!  Ajim takut ni!"
"Apa yang nak ditakutkan.  Ezam ada kat sinikan.  Ajim tunggu sekejap, Ezam nak ambik torchlight tadi"  Nurezam menunduk dan meraba-raba mencari torchlight yang terjatuh.  Pelukan erat Azimah menyukarkan pergerakannya.  Dia nak ketawa mengingatkan sikap Azimah.  Tadi menolak betul.  Sekarang dia pulak yang beria-ia memeluk Nurezam.  Tak mahu menimbulkan apa-apa isu yang boleh membangkitkan kemarahan Azimah, ketawanya ditahankan.
"Dah tak boleh menyala pulak torchlight ni"
"Nak buat apa sekarang?"  Azimah masih tak berani membuka mata.
"Nak buat apa… tidurlah"
"Ezam tidur dengan Ajim?"  Bertambah seriau badannya mendengar cadangan Nurezam.
"Habis tu, Ajim nak tidur sendiri ke?"
"Ei, jangan!  Ajim mati takut nanti"
Nurezam tak tahan gelak mendengar bicara Azimah.  Terburai ketawa yang memang ditahan sejak tadi.
"Orang seriuslah, dia gelak pulak"  Bahu Nurezam diketuknya berkali-kali.  Geram dia menerima reaksi sebegitu dari Nurezam.
"Okey!  Ajim baring, pejam mata.  Ezam tak akan buat apa-apalah"  Nurezam cuba memujuk Azimah.  Ketawanya masih belum boleh berhenti.
Nurezam menarik Azimah dengan hati-hati ke katil.  Terasa bangga bila dapat menjadi pelindung kepada perempuan itu.  Azimah dibaringkannya  dan perempuan itu enggan melepaskan tangannya.  Nurezam akur saja, dia lagi suka kalau Azimah begitu.  Cuma dia bimbang dia yang tak berjaya mengawal nafsu sendiri. 
"Yang bergolek sana, bergolek sini tu kenapa?"  Risau Nurezam melihat Azimah begitu dalam kegelapan suasana.
"Tak boleh lelap.  Ajim memang tak boleh bergelap.  Lagi-lagi kalau sorang-sorang"  Azimah menerangkan kelemahannya.  Dalam keadaan itu dia dah tak malu nak berkongsi apa-apa cerita dengan lelaki itu. 
Sejak kecil dia begitu.  Kalau di rumah dulu, Athirah yang selalu jadi mangsanya.  Zaman belajar di universiti pula, Salwalah yang jadi mangsa pelukannya.  Dah lama dia tak mendengar cerita Salwa.  Dah pandai apa agaknya anak sulung Salwa….  Kalau tak memeluk sesiapa memang dia tak akan boleh lelap.  Perasaan takutnya tak boleh lenyap.  Takkan malam ni dia nak tidur memeluk Nurezam.  Nak mampus!!
"Kalau macam tu, baring atas bahu Ezam, anggap macam tak ada apa-apalah"
Azimah tak terus menjawab tawaran Nurezam.  Nak ditolak, mata memang dah mengantuk.  Nak diterima, macamana pulak?  Seram dia.
"You janji dulu, tak akan buat apa-apa"  Hanya itu jalan yang terfikir di kepalanya.
"Ezam janjilah.  Dah dekat pukul 2.00 ni, tidurlah"  Matanya pun dah naik mengantuk.
Azimah takut-takut berbuat seperti yang diarahkan Nurezam.  Apa lagi yang boleh dibuat selain perkara itu?  Gerakan tangan Nurezam yang menggosok lembut bahunya membuatkan dia rasa selesa.  Cepat saja dia terlena.
Kalau you nak buat apa-apa, remember Zam!  Ajim period!  Nurezam menggariskan pada dirinya yang memang terdorong oleh nafsu sendiri.  Ketika itu Azimah memang sudah terlena dengan tangan memeluk erat tubuh Nurezam.  Sambil berperang dengan nafsu sendiri, akhirnya terlena juga Nurezam.  Pukul berapa pun dia tak pasti.  Walaupun panas kerana Azimah memeluknya, hatinya selesa dengan keadaan begitu.

Keesokan paginya, Nurezam terjaga jam 6.45 pagi.  Kalau tak kerana tangannya lenguh dibaringkan Azimah, dia belum tentu boleh jaga.  Berhati-hati dia meletakkan kepala Azimah di bantal.  Muka bersih isteri ditatapnya sekejap.  Lena betul tidurnya.  Selimut yang terbuka dibetulkan.  Nurezam turun dari katil dan balik ke biliknya.  Sebelum itu sempat dia mencium dahi Azimah.  Pukul berapa bekalan elektrik tersambung kembali pun dia tak sedar.  Saat itu dia harus segera menunaikan solat Subuh.
            HA!  DAH SIANG!  Azimah seperti tak percaya memandang jam di tangan sendiri.  Jam di dinding pun pukul 9.00 pagi.  Buruknya perangai, apa agaknya komen Ezam?  Mengingat lelaki itu dia lucu sendiri.  Dalam sehari saja macam-macam dah berlaku.  Kalau difikirkan tak sanggup dia nak menghadap muka Nurezam.  Mengingat hari yang sudah tinggi, cepat dia bangun.  Tuala dicapai dan tak lupa pintu biliknya dikunci.  Belajar dari pengalamanlah katakan.

            Setelah bersiap seadanya, Azimah keluar dari bilik.  Nurezam ada di ruang tamu.  Nak ke dapur mesti melintasi ruangan itu.  Apa akalnya? 
            "Morning!
Suara Nurezam menerjah ke lubang telinganya.  Berkumpul darah di mukanya.  Malu benar dia.  Sebagai isteri dia sepatutnya bangun awal dan menyediakan sarapan.  Ini tidak, terlewat bangun pulak.  Malunya!!!
"Morning!  Kenapa tak kejut Ajim bangun pagi?"  Azimah menjeling Nurezam yang kelihatan santai membaca akhbar.
"Tak sampai hati nak kejut, Ajim kan tidur lewat malam tadi.  Tak apalah, bukan selalu, sesekali"  Nurezam faham apa yang ada di fikiran isterinya, dia tak ambil kisahpun.
"Dalam peti sejuk ada apa-apa yang boleh dimasak tak?"  Dengan perasaan malu yang belum surut, Azimah bertanya Nurezam.
"Ada.  Tapi Ezam dah beli nasi lemak tadi.  Let's breakfast!"  Suratkhabar dan cermin mata diletakkan di atas meja.  Nurezam bangun dan menghulur tangan kepada Azimah yang masih berdiri tegak di tempat yang sama.  Lambat, tetapi huluran tangannya disambut.  Nurezam gembira.

Mereka makan dengan senyap.  Selepas makan Azimah nak mencuci pinggan tetapi mendapat tentangan hebat dari Nurezam.  Sudahnya dia mengalah sahaja, membiarkan lelaki itu mencuci pinggan.  Apa-apalah Ezam, yang penting engkau bahagia!  Azimah membuka peti sejuk, melihat lauk yang boleh dimasak untuk makan tengahari.
"Ezam nak makan apa?"  Azimah memandang muka Nurezam yang masih berdiri di sinki.
"Anything, apa yang Ajim masak, Ezam makan"
"Kalau Ajim masak racun"
"Ezam makan, tapi Ajim makan sekalilah, boleh mati sama-sama"
Terburai ketawa Azimah mendengar jawapan Nurezam.  Nurezam seronok sekali mendengar ketawa ikhlas perempuan itu.  Buat pertama kali, ketawa dari Azimah didengar begitu ikhlas di telinga Nurezam.  Nurezam tak berniat meninggalkan ruang dapur.  Dia senang berbual dengan Azimah sambil membantu menyiangkan sayur.  Senang sekali dengan kemesraan yang terjalin antara mereka.  Kenapalah dia tak sedar semua ini sejak dulu lagi?  Tak habis-habis dia menyesali diri.
"Maaflah pasal malam tadi"  Azimah mengungkit cerita malam tadi.  Mukanya langsung tak memandang Nurezam.
"Tak kisahlah.  Dah jadi tanggungjawab suami untuk melindungi isteri kan!"  Azimah dijelingnya.  Perempuan itu buat tak nampak, tiada reaksi seperti yang diharapkan.  Hampa, tapi sabarlah…..
"Lebam tak tangan awak saya buat?"  Azimah bertanya.
"Lebam?"  Nurezam memeriksa tangannya.  Memang ada kesan lebam berhampiran pergelangan tangannya, dia sendiri tak perasan kalau bukan kerana Azimah yang bertanya.
"Macamana Ajim boleh tahu?"  Nurezam kehairanan.
"Awak bukan yang pertama.  Masa kat universiti dulu, kawan sebilik selalu jadi mangsa"
"Oh macam tu.  Kalau tiba-tiba blackout kat Bangi, Ajim macamana?"  Bimbang jadinya Nurezam bila memikirkan Azimah bersendirian di Bangi.  Bagaimana kalau perkara itu benar-benar terjadi?  Pada siapa Azimah nak meminta tolong.  Siapa yang nak dipeluknya?
"Yang itu janganlah dibimbangkan.  Ajim memang pasang coverage power.  Kalau blackout, Ajim tak bergelap kat sana.  Pasal tangan Ezam tu, nanti Ajim sapukan ubat"  Azimah tersenyum manis menerangkan.


NUREZAM  merasa keberatan ketika nak melepaskan Azimah pulang.  Dia sudah mesra betul dengan Azimah, wujud rasa tak mahu berpisah dengan perempuan itu di hatinya.  Kalau dulu, dia dengan relahati memberi keizinan ketika Azimah memilih untuk tinggal di Bangi, hari ini, Nurezam menyesali kebodohannya.  Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata….  Padan mukamu Nurezam!

Selepas minum petang, Azimah meminta diri.  Ada rasa terkejut yang tak diluahkan bila Nurezam mencium dahinya sebaik saja jabatan tangannya dilepaskan Nurezam.  Buat pertama kali Nurezam memperlakukannya begitu.  Ikhlaskah dia?  Tiada siapa yang boleh menjawab soalan itu, biar masa saja yang menentukan.

"Minggu depan, Sabtu petang, Ezam jemput Ajim kat Bangi.  Kita balik KL"  Nurezam mengingatkan Azimah.
"Okey.  Tapi tak letih ke Ezam nak jemput Ajim kat Bangi?  Kat sini ajelah" 
"Ezam kata kat Bangi, kat Bangilah!  Letih tak letih tu masalah Ezam"  Tinggilah pulak nada suaranya.
"Okey.  See you next.  Assalamualaikum!"  Terus saja Azimah bersetuju dan terus masuk ke kereta.  Kalau dilawan cakapnya entah apa pulak yang jadi nanti.
"Waalaikumussalam!  Bye!"
"Bye!"
Azimah meninggalkan Sri Petaling dengan senyum kemenangan.  Kalau melihat layanan Nurezam dia pun keberatan nak balik.  Tapi lelaki itu mesti diajar.  Itu keputusan di hati Azimah.  Lagipun dia masih belum tahu tujuan sebenar Nurezam memberinya layanan sebegitu.  Entah-entah dia memang berpura kerana mahukan sesuatu.  Siapa yang tahu? 


            NURIZATI menanti Azimah di hadapan biliknya.  Dah pukul 10.10 pagi, sepatutnya Azimah dah balik ke bilik.  Kuliahnya habis pukul 10.00, agaknya ada student yang bertanyakan Azimah bermacam soalan, sebab tu dia lambat.  Sebaik terpandang perempuan yang kelihatan berseri sahaja wajahnya itu sedang melangkah tenang ke arah Nurizati, Nurizati kelegaan.
            "Assalamualaikum Nur!  Awal engkau cari aku hari ni?  Ada cerita bagus ke?"  Azimah menegur Nurizati sambil tangannya memasukkan anak kunci ke pintu.
            Pintu terbuka, Azimah masuk, menghidupkan lampu dan aircond.  Pelik memandang Nurizati yang memasamkan muka.  Salamnya pun dibiarkan sepi tanpa jawapan.  Apa pulak salah Azimah kali ini?
            "Kenapa ni Nur?  Awal pagi Isnin lagi you dah gaduhkan Ajim.  Cakaplah!  Ajim ada buat salah ke?" 
            Nurizati masih tak menjawab.  Dari semalam lagi dia nak bertemu Azimah.  Dia tak mahu bertanya di telefon, dia mahu mendengar penjelasan dari mulut Azimah sendiri.  Dia memang tak sabar nak tahu.
            "Betul Ajim anggap Nur kawan baik?"  Muka Azimah ditenungnya.
            "Betullah Nur.  Kita dah macam adik beradik, bukan setakat kawan saja" 
Kenapa pulak Nurizati mempersoalkan isu itu?  Memang Nurizatilah kawan paling rapatnya selepas Salwa balik ke Kedah.  Dia memang tiada orang lain.
            "Tapi, kenapa Faridah boleh kenal husband you, budak jabatan pun boleh, I tak?  Kenapa you singkirkan I?" 
Nurizati mengupas ketidakpuasan hatinya.  Panas hatinya bila Faridah dan kerani Jabatan Pengurusan boleh berkongsi cerita tentang suami teman.  Dia selaku teman baik perempuan itu pula hanya mampu terlopong mendengar mereka bercerita.
            "Oh!  Pasal itu.  Ajim tak kenalkan dengan mereka pun.  Mereka nampak sendiri masa Ezam datang ke sini minggu lepas.  Ezam buru-buru, Nur pun tengah ada kuliah.  Lain kali, kalau Ezam datang, Ajim pasti kenalkan dengan Nur" 
Azimah memberi janji semata-mata nak menyejukkan hati teman yang sedang panas.  Entah bila lagi agaknya Nurezam nak mencemar statusnya mencari Azimah di universiti.
            "Ajim janji?"
            "Ya, Ajim janji.  Tapi, lambat ke cepat tak taulah.  You kenalah faham yang Ezam tu orangnya busy."  Lega melihat Nurizati mula mengukir senyum.
            "Yelah.  Semalam you balik Sri Petaling ya?"
            "A..ah Nur"
            "Patutlah berseri-seri, jumpa husband"  Nurizati mengusik.
            "Biasa aje.  Next week, Ajim balik KL, dah lama tak balik rumah mertua"
            "Yalah, orang ada mertua" 
Bicara Nurizati yang masih anak dara diakhiri dengan ketawa.  Rasa marahnya pada Azimah sudah reda sebaik menerima penjelasan logik dari perempuan itu.


            Azimah menarik nafas lega bila Nurizati mudah menerima alasannya.  Kalau Nurizati merajuk terus, tak tau bagaimana harus dia memujuk.  Bukan tak mahu berkongsi cerita dengan teman yang paling akrab itu tapi tiada cerita bahagia yang boleh dikongsikan.  Azimah malu dengan keadaan rumah tangganya yang sebenar.  Kalaulah suaminya seperti suami orang lain, pasti dia tak akan kisah mengenalkan lelaki itu kepada Nurizati.  Azimah yakin, sehebat manapun dia menyembunyikan siapa suaminya pasti Nurizati akan tahu juga akhirnya.  Tetapi, biarlah nanti.  Untuk hari ini Azimah belum bersedia untuk membuka rahsia dirinya.

No comments:

Post a Comment