Monday 3 November 2014

DIDK P2

BAB DUA




            Senang hati mendengar bicara yang keluar dari mulut Pak Zainal setelah Azimah menceritakan hubungannya dengan Steven.  Walaupun Pak Zainal garang, dia tak sekeras Mak Sakinah.  Mak Sakinah membawa perawakan yang lembut tetapi hatinya, MasyaAllah!  Kalau putih, putihlah.  Itu yang Azimah kenal sangat tentang sikap emaknya.

            "Ayah tak kisah kalau dah jodoh kamu Ajim.  Tapi, masa kamu kan panjang lagi.  Masih banyak orang yang kamu bakal jumpa nanti" 
Pak Zainal mengingatkan anak perempuannya yang sedang menghadapnya mengopek kelapa.  Muka anak yang balik bercuti selama seminggu itu dihadapnya sekejap-sekejap.  Tapi kalau memang dah jodohnya, Pak Zainal tentu tak akan menolak takdir.  Yang dibimbanginya adalah bagaimana penerimaan Sakinah!
            Azimah faham bahawa orang tua yang baru pencen dari jawatan Pegawai Perubatan di bandar kediaman mereka itu tak berapa senang mendengar ceritanya.  Untuk tak menghampakan hatinyalah baru Pak Zainal bicara begitu.
            "Ajim tak kata nak berkahwin dengan dia ayah.  Kalaulah jadi suatu  hari nanti, anak ayah kahwin dengan orang bangsa asing, ayah redha tak?"  Azimah masih tak berpuas hati dengan cakap ayahnya sebentar tadi.
            "Kalau dah takdir, ayah takkan menolak Ajim.  Tapi, ayah nak beri kamu peringatan, jangan sekali-kali beritahu mak kamu pasal hal ni.  Habis diamuknya kamu satu kampung nanti.  Tak habis lagi Amar diamuknya pasal ponteng sekolah, kamu pulak nanti!"
            Azimah tersenyum tawar menerima peringatan ayahnya.  Lambat lagilah nampaknya hajat Steven nak berkenalan dengan keluarganya akan tercapai.  Nasib engkaulah Steven!  Azimah membebel di dalam hati.


            MENGINGAT SATU-SATUNYA anak lelaki dalam keluarga, Azimah sedih.  Anak ketiga Pak Zainal dan Mak Sakinah tu memang degil semacam.  Empat adik Azimah yang lain tak seperti dia.  Mungkin juga kerana jantinanya perempuan, sebab itulah tak selasak Amar agaknya.  Semalam, Azimah bertanya punca dia ponteng sekolah ketika dia meletakkan ubat di luka yang terbentuk hasil sebatan rotan Pak Zainal.  Jawapannya kerana mak tak izin dia pergi memancing.  Setau Azimah, bukan emak tak izin anak lelakinya pergi memancing.  Kalau pergi memancing dia lupakan semua.  Lupa kerja sekolah, lupa makan, semuanyalah dilupakan.  Yang paling Mak Sakinah marah, solat lima waktunya pun entah ke mana.  Apa nak jadi kalau satu-satunya anak lelaki itu berperangai begitu?

            "Kamu pun sama Ajim!  Cuti sebulan pun kamu balik ke rumah seminggu saja.  Duduklah lama sikit dengan adik-adik, tunjukkan contoh yang baik, ajar adik-adik kamu.  Ini tak sibuk memanjang.  Ada aktiviti persatuanlah, kelablah, itulah, inilah, entah apa-apa lagi.  Tak tau lidah mak nak menyebutnya."  Mak Sakinah bersuara geram memandang Azimah.  Kerana kedegilan Amar anak sulungnya itu pun terbabit sama.
            Tak pasal-pasal aku pun terkait sama.  Alah mak ni, aku bukan nak mengelak tanggungjawab.  Memang aku sibuk.  Mula Isnin depan, kelab aku ada aktiviti kebajikan, lepas tu ada bengkel pendidikan pulak.  Yang paling penting, aku rindu nak jumpa anak Cina tu….  Baru dua hari sampai kampung pun aku dah dapat mesej dari Steven.  Diapun dah rindukan aku!     
            "Bukan Ajim nak mengelak mak, Ajim memang sibuk.  Mak jangan risaukan Amar, nanti Ajim slow talk dengan dia.  Ajim suruh dia dengar cakap mak ya?"  Azimah cuba memujuk Mak Sakinah yang sedang panas hatinya.
            "Yalah"  Pendek dan kasar jawapan yang diberikan kepada Azimah.  Tapi Mak Sakinah tau, dengan Azimah yang lembut dan tegas, adik-adik selalu hormat dan dengar kata.


            ITU CERITA BULAN LEPAS.  Bulan ini Azimah balik kampung lagi.  Seronok mendengar cerita mak yang gembira kerana Amar dah baik sikit.  Katanya, anak lelakinya tak ponteng sekolah lagi, rajin nak tolong-tolong.  Azimah menjeling Amar yang terlambung kerana dipuji mak.  Nasib baik engkau dengar kata, kalau tidak susah jugak aku!  Rasanya dengan keadaan mood mak yang baik ni, sesuailah untuk aku bagi hints pada dia tentang hubungan aku dengan Steven.  Aku nak cuba cerita kat emak.  Bismillahhirrahmanirrahim!  Amin!

            "Mak…."  Azimah memulakan bicaranya.  Sejak semalam lagi dia sudah tercari masa yang sesuai.  Hari ini adik-adik semua ke rumah Pak Cu, ada perlawanan gasing.  Yang tinggal di rumah hanya Azimah dan Mak Sakinah sahaja.
            "Kenapa Ajim?" 
Mak Sakinah baru siap membasuh tangannya.  Berselera sekali dia makan ikan keli masak pecal yang dimasak Azimah.  Kalau Pak Zainal makan di rumah pun, pasti tak cukup dua pinggan.  Kalau Azimah tak perlu dibicarakan, sepinggan nasi pun tak luak, kuatnya meratah lauk saja.
            "Mak nak tau tak, baru-baru ni Ajim pergi jemputan kahwin pensyarah Ajim."  Bermulalah cerita karut yang direka sendiri oleh kepala otaknya.
            "Apa engkau tak pernah pergi kenduri kahwin ke sebelum ni?"  Kedengaran lucu pula ayat yang keluar dari mulut Azimah di pendengaran telinganya.
            "Bukan pasal tulah mak!  Mereka ni lain sikit mak.  Mix couple"  Azimah cuba masuk jarum.
            "Naik kapal!"  Orang kayalah tu agaknya, teka Mak Sakinah.
            "Bukan naik kapallah mak!  Mix couple!  Kahwin campur"  Tergelak Azimah mendengar cakap emaknya.
            "Engkau cakap orang putih, mana mak faham."  Mak Sakinah pun jadi tergelak juga.
            "Kahwin campur? Apa campur apa?"   Mak Sakinah nak tahu juga cerita Azimah.
            "Melayu kahwin Cina mak"  Cepat mulutnya menjawab.
            "Lelaki orang Melayu, perempuannya Cina ke?"  Kalau betul tekaannya, tak apalah.  Lelaki boleh mengawal perempuan, kata suara hati Mak Sakinah.
            "Taklah mak.  Perempuannya yang Melayu!"  Dalam sedikit perkataan perempuan itu disebut Azimah.
            "Eii, tak taulah mak orang zaman sekarang ni.  Apa dah habis ke orang Melayu yang boleh dibuat laki sampai kahwin dengan bangsa asing!!!  Kalau yang Cina perempuan tak apalah jugak.  Lelaki yang perlu mentadbir rumah tangga.  Habis, kalau dah suami Cina, nak ke dia ikut perintah suami Cina dia tu?  Disuruhnya kamu masak binatang kaki pendek tu, baru padan muka!"  Membebel betul Mak Sakinah.  Tak setuju benar, tak masuk di otaknya perkahwinan yang begitu.
            "Alah mak ni!  Lelaki tu kan dah peluk agama Islam, bukannya kafir lagi.  Taulah dia halal dan haram"  Azimah cuba mengeluarkan pendapatnya, cuba membetulkan pandangan Mak Sakinah yang dirasakan terlalu kuno.
            "Masa elok, Islamlah.  Masa dah bergaduh, berantakan, habis semua keluar.  Bukan senang nak ubah kebiasaan hidup yang sudah sedia ada Ajim" 
            "Orang asing pun tak kurang baiknya mak!   Orang Melayu kita pun tak kurang juga yang jahat."  Azimah masih mahu mematahkan kata-kata Mak Sakinah.
            "Kalau betullah dia memang baik, keluarga dia macamana?  Kalau mak, tak mau anak mak sorong kepala."  Pendek ulasan yang merangkap kesimpulan di hati tuanya itu tentang isu yang tiba-tiba dibangkitkan Azimah. 

            Kenapa pulak Azimah beria-ia bercerita dan bertanya pasal hal tu?  Apa dia…..  Tak diteruskan andaiannya.  Muka anak sulungnya itu dihadapnya terus.  Kulitnya putih kuning, mukanya cantik, manis, tak mustahil kalau ada yang terpikat.  Risau dia.
            "Yang Ajim tiba-tiba beria cakap hal ni dengan mak kenapa?  Kamu ada hati nak buat begitu ke?"  Terus saja soalan itu diajukannya.
            "Eh mak ni!  Ke situ pulak!  Siapalah yang sudi kat anak mak ni?  Ajim bukan ada kelebihan apa-apapun!" 
Terkujat juga dia dengan soalan ganas dari Mak Sakinah.  Pantas saja dia menafikan dengan senyuman yang diadakannya.  Di dalam hati TUHAN sahaja yang tahu betapa kecutnya dia jika hal sebenar dapat dihidu oleh perempuan tua itu.
            "Anak mak ni cantik apa!  Kulitnya putih, budi bahasanya elok,  senyumnya manis.  Senang kata semua serba-serbilah.  Memasak pun pandai.  Kamu carilah seorang Ajim, tapi jangan orang asing!"  Perkataan orang asing itu betul-betul ditekankan orang tua itu.
            "Yalah mak!" 
Walaupun masih belum puas hati, begitu saja jawapan yang dikeluarkan Azimah.  Kalau dia terus bertindak mengasak, pasti mak akan dapat menangkap sesuatu.  Pasti ada peluang lain nanti.  Sekarang ni emak memang tak boleh menerima.  Muka sedih Steven terbayang di kepalanya.  Kesian Steven!  Kesian aku!


            BERBAKUL-BAKUL pesan Azimah pada adik-adik yang sayu melihat dia bersiap-siap untuk berangkat balik ke Selangor.  Amarlah yang lebih ditumpukannya.
           
            "Yang emak tak suka tu, kamu jangan buat Amar.  Berdosa kalau buat mak sedih.  Mak tu nak yang terbaik untuk kamu.  Kamu tu lelaki, tanggungjawab lebih besar berbanding perempuan.  Kamu kena jaga mak, kakak dan adik-adik nanti.  Kalau kamu tak senonoh macamana nak jalankan tanggungjawab" 
Sebelum turun dari tangga, dia berpesan kepada adik lelakinya.  Adik beradik yang lain kurang dibimbanginya.  Amarlah yang paling dirisaukan.  Kalau tak kena dengan permintaannya, emak akan menganggap adiknya itu seperti musuh.
            "Baiklah Along.  Amar ingat pesan Along.  Nanti kalau Along balik sekali lagi Along belikan kasut bola Amar ya?"  Amar tersenyum sambil menghulur beg kakak yang sedang dipikulnya.
            "Yalah.  Kalau kamu nak pakai sangat, nanti Along poskan dari sana aje."  Azimah memberi janji.  Berbanding adik yang lain, Amar jarang meminta-minta, kalau dah perlu sangat barulah dia bersuara.
            "Terima kasih Along"  Amar tersenyum gembira.  Berbanding emak dan ayah, dia lagi senang berbicara dengan kakak yang dirasakannya jauh lebih rasional. 
            "Cepat Ajim!  Terlepas bas nanti."  Pak Zainal yang menanti dengan kereta Nissan Sunnynya yang berwarna putih, memanggil.
            "Baik ayah!  Ajim balik dulu, mak!" 
Tersenyum dia menatap wajah bersih Mak Sakinah.  Lambaian tangan mak dan adik-adik dibalasnya sehingga tubuh mereka hilang dari pandangan matanya.

            "Kamu masih berkawan dengan budak tu lagi Ajim?"  
Tiba-tiba satu soalan bonus untuk Azimah dikeluarkan Pak Zainal.  Sejak kereta bergerak tadi suasana dalam kereta senyap sahaja.  Walaupun hanya dibahasakan sebagai budak tu, Azimah faham maksud ayahnya.  Siapa lagi kalau bukan 'kawan Cina' tu yang dimaksudkan Pak Zainal.
"Masih ayah"  Perlahan saja jawapan Azimah, tika itu matanya dihalakan ke luar tingkap.
"Mak kamu dah tahu?" 
"Belum ayah.  Ajim dah cuba-cubakan, tapi mak tak boleh terima betul!  Tak berani Ajim nak terus bercakap lagi" 
Azimah memberitahu perkara yang benar saja kepada Pak Zainal.  Walaupun Pak Zainal garang dengan adik-adik yang lain, dengan Azimah yang pelembut dan suka melayannya bercerita, Pak Zainal melayannya dengan baik.  Dia tenang saja kalau menghadap Azimah.
"Kamupun satu.  Dah tahu macam tu, diteruskan juga!"  Membebel Pak Zainal.
Azimah diam sahaja.  Hanya matanya terus menikmati keindahan pemandangan kampung.  Dalam 1 km lagi suasana hijau itu akan digantikan dengan deretan kedai, kilang dan taman perumahan.  Berada dalam suasana kampung dia teringatkan Steven.  "Mula-mula masuk kampung, Steven seram, maklumlah Steven orang bandar.  Bila dah duduk sekejap, seronoknya rasa.  Aman, damai."  Bercahaya gembira muka lelaki itu ketika berbicara tentang kampung.
"Ajim!  Ajim!"
Panggilan Pak Zainal mematikan lamunannya tentang Steven.
"Ya ayah!  Apa yang ayah cakap tadi, Ajim tak dengar."  Azimah tersenyum malu.  Memang silap dia sendiri, sedang berbual dengan Pak Zainal pun masih sempat melamun.
"Ayah tanya, kamu nak ayah cakapkan pada mak kamu ke?"  Pak Zainal mengulang bicaranya.  Pasti anak Cina tu yang dimenungkan Azimah sampai tak mendengar pertanyaannya.  Azimah!  Azimah!
"Tak payahlah ayah.  Nanti, tak pasal-pasal dengan ayah sekali diharuk mak.  Pandailah Ajim nanti.  Kami pun belum serius sangat"  Azimah tau Pak Zainal risaukan dia.  Sebab tu dia nak menghulur bantuan.  Terima kasih ayah, sebab sokong Ajim!
"Kamu kata dia dah nak tamat belajar.  Habis belajar ni dia ke mana?  Balik ke negeri dia ke?"  Wajah anak yang tersenyum tawar dijelingnya sekilas.
"Tak taulah ayah.  Kalau ikut perancangan awal yang dia beritahu Ajim, dia nak kerja di Selangor.  Tengoklah nanti macamana.  Lagipun dia harapan keluarga untuk take over bisnes ayah dia"  Azimah menerangkan serba sedikit maklumat yang dia ada.
"Ayah tak kisah kamu berkawan dengan dia.  Tapi kelakuan kamu tu kena dijaga.  Orang Cina tak sama dengan orang Melayu.  Orang Cina ni hidupnya sosial, minum arak, berjudi.  Yang haram jangan sekali pun kamu halalkan.  Agama tu dipegang betul-betul, jangan main ingat-ingat saja.  Kamu tak boleh ikut cara hidup dia!"  Tegas suara Pak Zainal dalam memberi peringatan kepada Azimah.  Dia jauh, tak dapat mengawasi kelaku anak itu.  Bimbang dia jika anak perempuannya itu menghalalkan cara kerana rasa cintanya pada lelaki itu.
"Alhamdulillah ayah!  Setakat ini Ajim tak pernah buat macam tu.  Steven pun tak pernah buat apa yang tak menyenangkan Ajim.  Setiap kali berjumpa, dia sentiasa jaga batasan.  Pegang tangan pun kami tak pernah ayah.  Ajaran agama yang ayah tanamkan di hati Ajim masih subur lagi.  Masih teguh dalam diri Ajim" 
Azimah bersuara penuh yakin membalas kerisauan ayahnya.  Memang dia tak pernah melakukan perbuatan terlarang ketika bersama Steven.  Kalaulah Steven meminta dia berbuat begitu, cukuplah di situ saja hubungan mereka.  Itu prinsip yang paling kuat dipegangnya.
"Senang hati ayah mendengar pengakuan kamu.  Jangan cakap saja!" 
"Terima kasih kerana sudi memahami Ajim ayah"  Azimah tersenyum gembira.  Itulah senyuman paling ikhlas yang mampu dilemparkannya.
"Kalaulah ada rezeki, ayah kepingin kenal kawan yang kamu kata baik tu." Pak Zainal menyatakan hasratnya.
"Satu hari nanti ayah.  Kalau emak dah lembut hati dan Ajim masih bersama dia, pasti akan kenal" 
Azimah semakin gembira mendengar permintaan Pak Zainal.  Pasti Steven juga gembira kalau dia mengkhabarkan berita itu.  Tapi selagi Mak Sakinah tak berjaya dipujuk jangan haraplah impian Pak Zainal akan jadi kenyataan.


Pak Zainal tak memberi komen apa-apa lagi.  Sampai di stesen bas Batu Pahat, setelah bas yang dinaiki Azimah berlalu barulah dia bergerak balik.  Jauh di sudut hati dia mendoakan Azimah akan beroleh kegembiraan selalu dan sentiasa dilindungkan TUHAN atas setiap perbuatannya.

No comments:

Post a Comment