Monday 3 November 2014

DIDK P3

BAB TIGA




            Riuh-rendah suara di rumah Pak Zainal dan Mak Sakinah.  Bergegar rumah sederhana besar itu dengan kemarahan Mak Sakinah terhadap anak sulungnya.  Tak kurang juga api kemarahan Pak Zainal bila mendengar hal itu keluar dari mulut anak perempuan mereka yang dididik penuh dengan kasih sayang dan ajaran agama secukupnya.  Anak-anak yang lain semua diam menikus.  Walaupun bersimpati dengan kakak yang teruk dimarahi, masing-masing tak berani nak masuk campur.  Siapa tak kenal Pak Zainal, kalau anak kesayangannya itu boleh ditengking sebegitu rupa, besar sangatlah api kemarahan yang sedang melanda dirinya.  Azimah teresak-esak di tepi penjuru katil di dalam biliknya.

            Berapi-api mata Mak Sakinah memandang Azimah.  Buah hati pengarang jantung yang kononnya boleh dibanggakan itu akhirnya bertindak memalukan mereka.  Kalaulah bukan kerana disabarkan suaminya, pasti anak itu sudah dipelupuhnya habis-habisan.  Hangat betul hatinya bila anak itu menyatakan hasrat keluar dari agama suci mereka.  Agama Islam nak dibuatnya mainan.  Kerana cintanya pada lelaki berbangsa Cina itu segalanya pun mahu diketepikan.  Rela dia nak membuang keluarga dan agama untuk perkara yang pasti belum diketahui akan kesudahannya.  Tak pernah dibuat dek keturunan mereka!

            Madu yang diberi, tuba pula yang dibalas Azimah.  Kalaulah dia tahu begitu memalukan sekali perilaku Azimah, kecil-kecil lagi sudah dicekiknya, biar mampus!  Biar anak yang hidup sekadar mahu memberi malunya kepada mereka itu tak dapat menjenguk dunia.

            Pak Zainal yang kelihatan lebih tenang, duduk termenung di beranda rumah.  Bagaimana nak menghadap orang kampung kalau hal yang mengaibkan itu diketahui orang lain?  Beristighfar dia.  Sebelum ini pernah juga Pak Zainal bimbang bila mendengar isu murtad pelajar di IPT.  Murtad!!  Gerun benar dia mendengar perkataan itu.  Sana-sini heboh memperkatakan isu itu.  Percaya dan yakin yang agama yang diberikan kepada anak-anak memadai untuk menghalang mereka melakukan begitu, mendamaikan hati resahnya.  Kecewa betul dia dengan apa yang berlaku.  Apakah anaknya sudah ketandusan nilai bila tidak boleh berfikir secara rasional lagi?  Tidak takutkah dia pada pembalasan ALLAH.  Beristighfar betul Pak Zainal bila anaknya mahu menyenaraikan nama di barisan yang sama.

            "Kalau engkau nak teruskan mak tak boleh nak menghalang.  Tapi ingat,  bila kamu berkeputusan begitu kita sudah tiada ikatan lagi.  Engkau bukan lagi anak mak!  Aku tak redhakan apa yang engkau lakukan.  Mak tak halalkan apa yang engkau dah dapat dari mak.  Selepas tu, jangan sekali-kali engkau mengaku kami emak dan ayah engkau.  Kami dah mati sebaik saja engkau sempurnakan hajat kamu tu!" 
Mak Sakinah bersuara geram sambil berlalu meninggalkan anak yang masih teresak-esak.  Sayu betul hati tuanya dengan perbuatan anak yang selama ini disandarkan harapan yang menggunung.  Terluka betul hati tuanya.  Niat nak menumpang senang dengan anak sulung yang kononnya sering menjadi contoh dan ikutan pada adik-adik terkubur terus.  Terkilan benar hati ibunya.
            "Ampun mak!  Ampunkan Ajim, mak!  Ajim anak derhaka!" 
Azimah menyembah kaki Mak Sakinah yang memperlakukan dia seperti sudah tidak wujud di situ.  Tanpa mempedulikannya Mak Sakinah terus melangkah, semakin menjauh.  Pak Zainal pula menjadi tumpuannya.
            "Ampunkan Ajim, ayah!"
            Ayahpun seperti mak juga.  Adik-adik pun tak sudi bicara dengan Azimah.  Aku tak mahu jadi musuh keluarga kerana Steven!  Aku tak mau!  Aku tak mau………….!

            "Ajim!  Ajim!  Bangun.  Apa yang terjerit-jerit tak mau-tak mau ni?  Ajim mengigau ke?"
            Tersentak Azimah dari tidurnya bila Salwa membangunkannya.  Disentuh dahinya dan peluh-peluh yang bertandang dikesatnya.  Sampai berpeluh begitu hebat sekali.  Ya ALLAH, Azimah bermimpi rupanya.  Syukurlah kerana apa yang dialaminya sebentar tadi hanya sekadar dalam mimpi.
           
            "Apa yang engkau fikirkan sampai boleh termimpi-mimpi ni?"  Salwa sudah duduk di hujung katilnya.
            "Engkau fikirkan Steven lagi?" 
Salwa membuat andaian sendiri bila Azimah tak terus menjawab pertanyaannya.  Pasti hebat mimpi temannya itu sampai boleh mengigau.  Sudah dua tahun setengah mereka tinggal sebilik,  tinggal satu semester lagi untuk mereka menamatkan pengajian tak pernah dia mendengar Azimah mengigau.  Inilah kali pertama.
            "Aku mimpi emak dan ayah serta adik-adik pulaukan aku."  Azimah memberitahu mimpi ngeri yang dialaminya sebentar tadi. 
            "Kenapa?  Mereka marah bila kau kenalkan Steven pada mereka"  Salwa mahu tahu kisah selanjutnya.
            "Bukan Sal.  Cerita tu tak timbul langsung.  Aku mintak izin keluar dari agama Islam!"
            "Astaghfirullahhalazim!'  Beristighfar Salwa mendengar cerita Azimah.
            "Bawak mengucap Ajim.  Engkau ada terniat di hati ke sampai boleh masuk dalam mimpi ni?"  Ada rasa bimbang di hati Salwa.
            "Simpang Malaikat 44 Sal.  Tak pernah langsung terdetik di hati aku nak buat begitu.  Sehebat manapun cinta aku pada Steven, tak mungkin aku tinggalkan Islam untuk dia. It's nonsense.  Aku redha hubungan kami sampai kat sini saja"  Penuh yakin Azimah menerangkan pegangannya.
            "Alhamdulillah!"  Salwa tersenyum lega mendengar pengakuan Azimah.  Bahu teman dipeluknya penuh mesra.
            Masih berdegup keras alunan nafas di dadanya.  Azimah masih terkejut dengan mimpi yang tiba-tiba mengganggu keamanan tidurnya.
            "Itulah Ajim, tidur lepas Asar, kan syaitan dah mengacau"  Salwa ketawa melihat muka teman yang masih belum berapa stabil emosinya.  Pucat di wajahnya masih jelas kelihatan.
            "Jadi engkau jumpa Steven hujung minggu ni Ajim?"  Bahu teman ditepuknya lembut.
            "Tak perlulah Sal.  Semuanya dah jelas.  Steven tak akan menganut agama Islam kerana patuh pada permintaan keluarga.  Aku hormati keputusan dia dan aku harap dia juga boleh hormat pada keputusan aku.  Aku tak mau menambah kelukaan di hati bila hubungan kami yang memang rapat semakin bertambah erat lagi.  Aku dah cukup luka dengan apa yang berlaku.  Cukuplah Sal.  Kalau dah tau tak boleh sampai ke mana, nak buat apa diteruskan lagi."  Bayangan wajah Steven yang sudah pun bekerja sebagai Engineer di Sg. Buluh bermain di matanya.  Dia masih belum boleh melupakan lelaki itu, segalanya masih terlalu baru.
            "Engkau kecewa sebenarnya Ajim"  Salwa memandang sayu muka Azimah yang sedang memeluk bantal.
            "Memang aku kecewa!"  Azimah tak cuba menafikan.
            "Sejak awal perkenalan lagi aku dah sedar dengan risiko ini.  Aku sendiri yang mencari bala sebenarnya"  Air mata turun di pipi Azimah.
            Salwa yang masih tak mengalihkan duduknya dari katil teman turut bersedih dengan apa yang menimpa teman baiknya itu.  Sejak awal lagi Salwa sudahpun mengingatkan Azimah.  Tapi, memang dah dasar hebatnya kuasa cinta, langsung nasihatnya tak berbekas langsung di hati Azimah.  Macamanapun, Salwa sendiri tak menyalahkan Azimah di atas apa yang berlaku.  Sebagai teman peranannya adalah untuk menenangkan hati teman yang sedang dilanda kesedihan bukan menambah masalah.  Bukan masanya untuk menyesali segala yang sudah berlaku.
            "Tak ada cara lain ke selain berpisah Ajim?"  Salwa cuba membincangkan isu itu.
            "Apa lagi yang boleh aku buat Sal?  Kalau Steven setuju masuk agama Islam, boleh jugak aku pujuk mak aku kat kampung tu.  Ini dah pasti yang dia tak akan tinggalkan agama nenek moyang yang dipegang kukuh oleh keluarganya.  Alangkan mualaf belum tentu mak aku terima, inikan pulak dah sah kafirnya Salwa.  Peluang memang sudah tak memungkinkan kami untuk bersama.  Putus sajalah jalan penyelesaian yang ada"  Panjang lebar penerangan Azimah kepada Salwa.  Air mata yang sesekali mengalir keluar, disekanya dengan tangan.
            "Aku akan sokong engkau Ajim.  Apa-apapun engkau banyakkan bersabar.  Aku sentiasa di sebelah engkau"
            "Terima kasih Salwa"  Walaupun air mata masih lagi bersisa, Azimah masih mampu mengukir senyuman untuk Salwa.  Sekurang-kurangnya dia tahu yang dirinya tak berseorangan.


            SUDAH BEBERAPA KALI Salwa mundar-mandir di belakang Azimah.  Teman sebiliknya tekun betul menyiapkan tugasan Dr. Wahid di komputer.  Dalam diam dia mengagumi Azimah.  Walaupun bermasalah, temannya yang satu itu masih boleh menumpukan perhatian pada apa saja pekerjaan yang dilakukan.  Bila sibuk dengan kerja, masalah yang ditanggungnya seperti tak pernah wujud.  Mungkin itulah kelebihan yang dikurniakan TUHAN kepada Azimah.

            Serba salah betul dengan keadaan yang berlaku ketika itu.  Sesekali dia menjenguk ke tingkap biliknya.  Kereta lelaki itu masih tak berganjak.  Sejak pagi lagi lelaki kacak itu menunggu Azimah di situ.  Azimah pulak berkeras betul tak mahu berjumpa lelaki itu.  Pendapat yang keluar dari mulut Salwa macam angin saja dibuat dia.
            "Ajim!  Tolonglah dengar cakap aku.  Kali ni aje.  Kalaupun engkau dah lupakan Steven, cuba ingat zaman bahagia engkau dengan dia dulu.  Kesian dia, jumpalah dia untuk kali terakhir"  Terkeluar juga pendapat yang berulangkali telah dipertimbangkannya sebelum dilontarkan keluar dari mulutnya.
            "Okey Salwa, tapi aku nak siapkan kerja ni dulu.  Ada 2 helai lagi"  Bersahaja pula Azimah memberi jawapan dengan mukanya dihadapkan ke arah Salwa yang kelihatan melempar senyum.
            "Engkau nak ke mana pulak tu?"  Azimah bertanya kepada Salwa yang melangkah ke arah pintu.
            "Aku nak beritahu Stevenlah"  Salwa menjawab.
            "Tak payah Sal!  Dia datang tadi pukul 10.00 pagi, sekarang dah pukul 3.30 petang.  Dah lebih 5 jam dia menunggu.  Kalau betul dia berhajat nak jumpa aku, takkan tak boleh tunggu setakat satu dua jam lagi" 
Tak langsung rasa bersalah wujud di hatinya membuatkan lelaki itu menunggu lama.  Bukan salahnya, dari awal lagi dia sudah memberikan jawapan kepada Steven yang dia tak mahu bertemu lelaki itu.  Dia datang juga.  Salah siapa!!
            "Okey!  Okey!" 
Pantas saja Salwa mengalah.  Kawan tu setuju nak berjumpa pun dah untung.  Dia dah tak terlarat nak jadi posmen mereka.  Sejak pagi tadi, naik lenguh kakinya turun naik menyampaikan mesej mereka berdua.

            Bum!  Salwa membaringkan badan di katil.  Azimah meneruskan kerjanya.  Jam 4.35 petang, azan Asar dari Masjid Besar UKM kedengaran di telinganya.  Azimah mematikan komputer dan pergi ke bilik air.  Dia berwudhuk dan kemudian menunaikan kewajipannya kepada TUHAN.  Selepas itu dia menukar baju yang dipakainya.  T Shirt putih yang sudah disentuhnya, ditolak ketepi.  Putih warna kegemaran Steven, dia tak mahu mengenakan baju berwarna putih.  Lebih baik pakai yang warna kuning.  Steven paling tak suka warna kuning.  Selepas mengenakan bedak dan mencalit gincu tipis di bibirnya dia melihat ke tingkap.  Proton Wira putih yang memiliki nombor pendaftaran Perak masih ada di tempat yang sama.  Sabar juga anak Cina tu rupanya.  Azimah tersenyum sendiri.  Dari atas dia dapat melihat Steven mengenakan baju biru.  Itukan warna kegemaran Azimah.  Azimah tersenyum gembira.  Cepat ditampar pipi sendiri dan mengingatkan dirinya yang hubungan mereka tak lagi seperti sebulan yang lalu.  Nasib baik Salwa tiada di dalam bilik.  Kalau tak pasti dia akan mengata Azimah gila!  Azimah senyum lagi.  Mana pulak perginya budak Salwa ni?  Pintu bilik dibukanya.
           
            "Cepatlah Sal"  Azimah menggamit Salwa yang melangkah santai.  Mukanya basah, mungkin dari tandas.
            "Apa halnya?"  Salwa memandang Azimah dengan rasa hairan.  Apalagi yang tak kena?
            "Temankan akulah.  Kang budak Cina tu larikan aku, tak ke haru?  Teman ya!"  Azimah membuat permohonan.  Dalam begitu masih ada moodnya untuk bergurau.
            "Yalah Ajim.  Engkau tunggu sekejap ya.  Aku salin baju"  Salwa ketawa kecil mendengar permintaan Azimah.
            Azimah menanti Salwa di hadapan bilik.  5 minit saja perempuan yang simple itu bersiap.  Dia sudah berdiri di depan pintu dengan anak kunci di tangan.

            STEVEN menyambut kedatangan Azimah yang diiringi Salwa dengan senyuman.  Lembut juga hati perempuan itu.
           
            "Terima kasih kerana sudi jumpa saya"
            "Straight to the point please!"  Azimah enggan berbicara panjang.
            "Boleh pergi tempat lain tak?  Kurang selesa nak berbincang di sini"  Steven yang tak berapa ceria air mukanya setelah mendengar bicara awal Azimah, cuba membuat permohonan.
            "Syaratnya, Salwa ikut bersama"  Azimah memandang Steven.
            "Tak jadi masalah" 
Lambat, tetapi Steven mengiakan.  Kalau boleh dia lebih suka berbicara berdua dengan Azimah tanpa kehadiran orang lain.  Haru pulak jadinya kalau Steven cuba membantah.  Lebih baik diturutkan saja.  Dia setuju nak bertemu secara berdepan pun sudah untung!!!  Selepas itu matanya memandang jam.
            "Ajim dah solat?"  Soalan itu tiba-tiba terkeluar dari mulutnya.  Dia sudah terbiasa begitu.
            "Dah!" 
Azimah tersenyum menyambut peringatan dari Steven.  Kenangan dulu bermain di ingatannya.  Lelaki kacak bercermin mata itu memang masih tak berubah.  Masih prihatin seperti saat mereka memadu kasih bersama.  Tak salah jika Azimah memberi layanan yang baik untuk kali terakhir kepada lelaki itu.
            "Steven dah makan?" 
            Soalan Azimah dijawap dengan gelengan kepala dari Steven.
            "Ajim temankan Steven makan di café"  Azimah membuat tawaran.  Kesian Steven, gara-gara menanti Azimah, terlupa pasal makan.
            Steven mengukir senyum sambil mengangguk kepala.  Tak terasa langsung penantiannya yang berjam-jam bila menerima layanan yang begitu dari Azimah.

            Azimah bercakap-cakap dengan Salwa sebelum mengiringi Steven ke kafetaria.  Sampai di sana, dia sendiri mengambilkan nasi dan kemudian memilih lauk kegemaran lelaki itu.  Steven yang sudah menanti di kaunter sudah memegang dua gelas air.  Tak perlu menunggu lama di kaunter bayaran, tak ramai orang di café kalau jam baru menunjukkan pukul lima.

            "Ajim tak makan sama?"  Steven mengeluarkan pertanyaan ketika mereka menuju ke meja.
            "Ajim dah makan dengan Salwa tadi" 
Azimah berbohong.  Sebenarnya hanya Salwa yang makan sendirian.  Makanan yang dibelikan Salwa masih ada di dalam bilik, belum disentuhnya langsung.  Selera makannya tak sudi menunjukkan diri.

            Steven tak berkata apa-apa lagi.  Walaupun hatinya menyimpan rasa terkilan kerana Azimah tak sudi untuk makan bersama, memadailah perempuan itu masih prihatin dan ambil berat keadaannya.  Steven berkeputusan begitu saja.  Dia tak boleh berharap banyak dalam keadaan sekarang.  Dengan dihadap pandangan mata Azimah, dia menyuap nasi ke mulut.  Sudu dan garfu yang diambilkan Azimah tak digunakannya.  Dia sudah biasa makan dengan tangan semenjak bersama perempuan di hadapannya itu.  Hanya tiga suku nasi saja yang dapat ditelannya.  Setelah menolak pinggan ke tepi dia menanti jika Azimah nak membebel apa saja kerana dia tidak menghabiskan makanan.  Tak seperti selalu, Azimah diam saja kali ini.  Steven dilanda kehampaan.

            Selesai makan, mereka turun ke kereta.  Salwa yang menunggu di foyer, menghampiri mereka.  Tak bertangguh kereta bergerak ke lingkungan kedua.  Steven menghentikan kereta di Tasik Kejut.  Tasik itu mendapat nama begitu kerana letaknya tasik itu betul-betul bersebelahan dengan Fakulti Kejuruteraan.  Nasib mereka baik kerana tak ramai orang di situ, tak seperti kebiasaannya.  Salwa meminta diri dari Azimah dan Steven.  Steven amat berterima kasih atas pengertian Salwa.

            Angin bertiup lembut menyapa pasangan yang sama-sama melayan perasaan sendiri di atas bangku batu di depan tasik.  Sudah 5 minit mereka duduk di situ, namun masih belum kedengaran suara siapa-siapa memulakan bicara.  Mata Azimah diarahkan ke sekumpulan mahasiswi yang sedang melakukan riadah ringan.  Pasti mereka itu mahasiswi tahun pertama sebab itu mereka excited.  Terhibur hatinya melihat aksi mereka.  Kenangan bersama Nurhani, Zalita dan Salwa bermain di ingatannya.  Ketika di tahun satu, rajin juga mereka berjoging di tasik ini.  Masa itu dia masih sendiri lagi.

            "Ajim!  Ajim!
            Terhenti lamunannya mendengar namanya dipanggil Steven.  Azimah memusing muka.  Mata redup yang berselindung di balik cermin mata itu tepat memandang mukanya.  Agaknya dari tadi anak Cina itu mengamati wajahnya.
            "Apa yang Steven nak beritahu Ajim?  Cakaplah, Ajim dengar"  Azimah mengalihkan pandangan matanya ke hadapan.  Dia tak mahu menatap terus muka Steven yang mungkin boleh melembutkan hatinya.
            "I miss you, Ajim.  Pandanglah muka Steven ni!  I really miss you!"
            Terdiam Azimah mendengar bicara yang keluar dari mulut Steven.  Dia sendiri tak mampu menolak bicara yang terkeluar dari mulut Steven.  Dia juga memiliki perasaan yang sama seperti lelaki itu.
            "Ajim dah tak harapkan kerinduan dari Steven lagi" 
Azimah bertindak mengelak.  Bukankah berdiam tandanya menerima, dia tak mahu Steven yang bijak mengandaikan dia begitu.
            "Tapi kenapa?  Tak boleh ke kita kembali macam dulu?  Jangan pedulikan dan jangan fikirkan masalah remeh-temeh di sekeliling kita!"  
Steven benar-benar sedih menerima bicara Azimah.  Dia benar-benar rindukan perempuan itu.  Sudahlah dia duduk berjauhan dari Azimah, di hujung minggu pun perempuan itu enggan menemuinya.  Steven tak mahu perhubungan mereka berakhir seperti mana permintaan Azimah di akhir pertemuan mereka tempohari.  Steven benar-benar bingung memikirkan hal itu.  Tumpuannya terganggu benar sejak hari itu.  Kalaulah dia tahu takkan dia gatal-gatal mulut berbicara tentang agama dengan Azimah tempohari.
            "Remeh temeh awak kata!  Masalah dalam hubungan kita dah jelas Steven.  Bukan setakat parents Ajim, parents Steven pun membantah.  Untuk apa kita teruskan sesuatu yang sia-sia?"  Azimah menarik nafas.  Dia cuba menabahkan diri dengan mengeluarkan bicara yang setenang mungkin.
            "Kita terus berkawan macam biasa.  Lama-lama nanti mereka pasti dapat terima"  Steven mengeluarkan cadangan walaupun dia dapat mengagak Azimah akan menolaknya mentah-mentah. 
            "No!  Ajim tak mau.  Ajim dah cukup sedih, cukup tersiksa kita berpisah sekarang.  Kalau hubungan kita semakin rapat, lagi teruk nanti.  Ajim tak mahu jadi penghuni rumah sakit jiwa.  Please Steven!  Accept the reality.  Kita tidak ditakdirkan untuk hidup bersama"  Dikeluarkan habis-habisan apa yang terdetik di hatinya.
            "Tapi Ajim, Steven tak boleh lupakan Ajim.  Steven dah cuba"  Steven menyatakan kesukarannya.  Bergetar suaranya.
            "You mesti boleh.  Jangan jumpa Ajim lagi selepas hari ni"  Azimah merasakan itulah yang terbaik untuk mereka.
            "Kenapa Ajim cakap macam ni?  Ajim dah bencikan Steven ya?  Ajim dah tak sayangkan Steven lagi?"  Terpukul dia menerima bicara dari mulut gadis kesayangannya itu.
            "Tolonglah, jangan kelirukan Ajim, Steven.  Ajim bersalah kerana menerima cinta Steven dulu.  Ajim ingat Ajim hebat bila dapat menyatukan dua budaya yang berbeza.  Ajim lupa dunia hakikat bukan hanya ada Azimah dan Steven Chan.  Kita ada keluarga dan kawan-kawan.  Dan yang paling penting, our religion.  Ajim tidak akan sekali-kali tinggalkan Islam dan Steven tetap nak berpegang kepada agama Kristian.  Jawapannya dah jelaskan.  Kita berpisah secara aman saja"  Azimah menyatakan keputusannya.
            "Please Ajim, janganlah putus dulu!  I cannot accept this!"  Merayu benar Steven kepada Azimah.
            "Steve, ramai lagi perempuan di luar sana menunggu cinta you.  Give it to them!"  Sukar untuk Azimah melafazkan, tapi terluah juga dari mulutnya.
            "Tak, saya cintakan awak forever.  Bagi saya masa,  biar Steven cuba pujuk my parents"  Sekali lagi dia merayu.  Muka Azimah dipandangnya dengan pandangan penuh mengharap.
            "Berapa lama lagi?  Seminggu, sebulan, setahun atau sepuluh tahun?   Ajim tak mahu jadi penanti yang bodoh.  Common Steven, lepaskan Ajim, cari teman baru, you akan lupakan Ajim" 
Penantian satu penyeksaan, tak sanggup untuk Azimah berbuat begitu.  Penantian yang pasti kesudahannya baik tak apalah.  Dahlah menanti berpuluh tahun, sudahnya kecewa pulak yang dapat.
            "Please Azimah, give me times.  Sepanjang kita bersama, Steve tak pernah buat permintaan.  Tolonglah, untuk kali ini saja"
            "Steven!  You satu-satunya anak lelaki dalam keluarga.  Tak mungkin father you akan lepaskan you untuk Ajim.  Macam nilah, Ajim nak tanya satu soalan.  Kalau Ajim minta Steven masuk Islam tanpa minta keizinan family you, boleh?" 
Azimah memandang tepat wajah Steven.  Steven teragak-agak nak menjawap pertanyaan Azimah.  Dia memang tak boleh membuat keputusan sendiri.
            "You tak boleh buat keputusan kanThat is a reason kenapa Ajim nak Steven lupakan saja Ajim.  Ajim tak yakin dengan Steven.  Steven tak berani nak buat keputusan sendiri.  Kalau Steven tanya Ajim, boleh tak Ajim masuk Kristian, jawapannya hanya ada satu dan tak akan berubah.  No, I can't!
Dijelaskan apa yang sedang difikir dan diproses oleh otaknya kepada Steven.  Kalau Steven berani membuat keputusan Azimah tak akan ragu-ragu menunggu.  Tapi lelaki itu memang tak punya keberanian.
            "Ajim tak boleh buat conclusion yang macam tu"  Steven masih mahu menafikan.  Memang kata-kata Azimah ada kebenaran, tapi Steven ada masalah yang tersendiri.
            "Habis macamana?  Steven ada cara yang lebih bagus ke?" 
            Steven kelihatan berfikir menerima bicara Azimah.  Tapi tak ada satu idea pun terlintas di kepalanya.
            "Macam ni sajalah.  Ajim bukan tak boleh consider.  Ajim pun masih sayangkan Steven, Ajim tak boleh menafi.  Tak ada orang lain dalam hati Ajim.  Kerana Steven dah minta, Ajim beri Steven masa 2 tahun.  Kalau Steven berjaya pujuk your parents, masuklah agama Islam , come and face me.  Ajim tunggu kedatangan Steven.  Selagi Steven still Kristian, jangan datang, jangan hubungi Ajim.  Kalau tempoh dua tahun sudah tamat, kita bebas untuk berbuat apa saja.  Tak terikat antara satu sama lain.  Setuju?" 
Azimah memutuskan untuk patuh saja pada permintaan Steven.  Tempoh 2 tahun tidak terlalu lama.   Kalau ya pun, agak mustahil untuk Azimah melupakan Steven yang terlalu dicintainya dalam tempoh itu.  Biar dia sendirian saja.  Steven yang masih belum memberikan apa-apa reaksi direnungnya.
            "Walaupun Steven akan rindukan Ajim sangat-sangat, Steven terima.  Kita akan berjumpa lagi nanti"
            "Baiklah!"  Azimah mengiakan.




            STEVEN menghantar Azimah pulang ke hostel dengan bermacam rasa di hati.  Entah bila mereka akan bertemu lagi agaknya.  Seperti tak sanggup dilalui bila mengingatkan ini adalah pertemuan terakhir mereka.

            "Ajim"
            Tak semena-mena Steven menyentuh tangan Azimah.  Getaran yang melanda hati TUHAN saja yang mengetahui.  Azimah berkeras meminta tangannya dilepaskan.  Dia masih jelas dengan ingatan ayahnya, Pak Zainal.  Steven sedar keterlanjurannya dan cepat tangan Azimah dilepaskannya.
            "Sorry Ajim.  I betul-betul hilang tumpuan"
            Azimah memandang sayu wajah Steven.  Tangan kirinya sudah membuka pintu.  Ketika itu Salwa yang menemani sudah keluar dari kereta. 
            "Duduklah lama sikit"  Steven membuat permohonan.
            Tak sampai hati pulak untuk Azimah menolak.  Pintu kereta yang sudah terbuka ditutupnya kembali.
            "Ajim, Steven nak Ajim lakukan sesuatu untuk Steven."  Muka Azimah ditatapnya.  Pasti dia akan merindui Azimah nanti.
            "Steven nak Ajim buat apa?"  Azimah bersuara bimbang.  Takkanlah dia nak meminta yang bukan-bukan pulak. 
            Steven dilihatnya menurunkan kerusi yang didudukinya dan mencapai sapu tangan di tempat duduk belakang.  Dengan jantung yang berdegup kencang Azimah memerhatikan saja perbuatan lelaki itu.
            "Jangan bergerak ya?"  Steven merapati Azimah.  Saat itu Azimah dilihatnya terpaku dengan permintaannya.
            "Dup! Dup! Dup!  Getaran di hatinya TUHAN saja yang tahu.  Orang lepas lari 1000 km pun kalah.  Bermacam andaian wujud di benak hatinya.  Alhamdulillah, sangkaan buruknya meleset bila Steven hanya berhati-hati menarik balik sapu tangan yang tadinya dilekapkan di bibir Azimah.

            Perasaan hiba yang menghuni di hati dengan tindakan Steven tak mampu untuk dikawal.  Kilauan mutiara mengalir turun di pipinya.  Buat pertama kali dan mungkin juga terakhir dia menangis di hadapan lelaki itu.  Azimah benar-benar tak mampu mengawal perasaannya.

            "Apa pun yang berlaku, I will love you forever, Ajim.  Remember!
            Suara hiba Steven semakin mengusik hatinya.  Linangan mutiara yang berderai turun semakin lebat.  Tindakan Steven yang mengesat air matanya dengan tisu dibiarkan sahaja.
            "Terima kasih atas segala kasih sayang Ajim untuk Steven.  Steven akan jadikannya sumber inspirasi untuk Steven meneruskan kehidupan tanpa Ajim.  Tiada orang lain yang boleh ambil kedudukan awak di hati saya"  Sayu bicara itu keluar dari mulut Steven.
Steven tahu, seperti mana dirinya, Azimah juga begitu.  Azimah juga tak rela perhubungan mereka terputus.  Rasa bersalah berbahang di hatinya kerana membuatkan Azimah menangis.
            Azimah tak terkata apa-apa lagi.  Kesayuan dan kesedihan di hati mengatasi segala-galanya.  Dia tahu cinta pemuda Cina itu terhadapnya tulus ikhlas.  Tapi, terlalu besar halangan untuk mereka merealisasikan impian untuk hidup bersama.
            "Ajim, cakaplah sesuatu" 
Steven mengharap sangat perempuan itu sudi bicara sesuatu sebelum mereka berpisah.  Perpisahan yang tak tau bila lagi akan berulang semula pertemuan.  Selagi permintaan Azimah tak tertunai, pasti peluang untuk mereka bertemu hanya tinggal impian.  Ketika itu Azimah dilihatnya sudah kembali tenang.  Tangisannya sudah berhenti.
            "Ajim tunggu Steven datang cari Ajim bawa berita gembira"  Azimah mengeluarkan bicara sambil tersenyum memandang Steven.  Azimah cuba melemparkan senyum yang seikhlasnya untuk Steven.  Wajah sayu lelaki itu juga berubah ceria menerima senyumnya.
            "Steven juga harap begitu"  Steven turut tersenyum menerima senyuman manis perempuan yang berjaya menawan hati lelakinya dua tahun yang lalu.
            "Bye!"  Azimah keluar dari kereta.  Steven juga berbuat demikian.
            "Bye Ajim!"  Buih-buih kesedihan kembali membuak-buak di dadanya.  Hampa Steven bila Azimah terus melangkah tanpa berpaling ke belakang. 
            "Steven!"
            Steven yang baru nak masuk ke kereta kembali ceria mendengar namanya disebut Azimah.
            "Kenapa Ajim?"  Muka Azimah yang menghampirinya ditatap.
            "Your phone!
Azimah mengunjukkan telefon bimbit milik Steven yang selama ini diberikan Steven kepadanya.  Setelah apa yang berlaku pada perhubungan mereka, tak patut untuk Azimah terus menyimpannya.
            "Steven dah bagi telefon ni untuk Ajim kan?  Ajim gunakanlah terus telefon tu.  Kalau ada apa-apa Steven akan cari Ajim di nombor ini" 
Tak pernah terniat langsung di hatinya untuk mengambil kembali apa saja barang yang telah diberikan kepada Azimah, tak terkecuali hatinya!!!
            Terdiam sebentar Azimah menerima jawapan Steven.  Setelah berfikir sebentar, dia memberi jawapannya kepada Steven.
            "Baiklah, Ajim akan gunakan telefon ni untuk tempoh dua tahun akan datang.  Selepas tu Ajim akan matikan telefon ni"
"Steven akan jelaskan bil Ajim.  Tak payah fikir apa-apa.  Gunakan saja seperti biasa"  Steven masih mahu meneruskan kebiasaannya.  Memang dia yang menjelaskan bil sebelum ini.  Azimah hanya mengguna telefon saja lain-lain urusan semua dia yang menguruskan.  Nombor telefon yang digunakan itupun terdaftar atas nama Steven.
            "Tak perlulah, Ajim bayar sendiri" 
            "Ups to you!"  Steven mengalah saja walaupun dia tak akan membebankan Azimah.  Kalau dia dah membuat pembayaran dahulu, mahu tak mahu Azimah tak boleh menolak.
            "Bye!"  Azimah menutup bicara.
            "Bye!" 
Steven memerhati langkah Azimah yang semakin menjauh.  Walaupun tubuh Azimah sudah hilang di sebalik bangunan, Steven masih belum menggerakkan kenderaan.  Matanya diarahkan ke bilik Azimah yang boleh dilihat dari tempat dia meletakkan kereta.  Setelah melihat Azimah berdiri di tingkap bilik sambil melambainya, Steven membalas lambaian tangannya.  Ada panggilan masuk dari Azimah di telefonnya.  Dapat dicamnya suara ketawa manja Azimah yang sengaja dirakamnya untuk kegunaan nada dering telefonnya.
            "Hati-hati memandu!"
            Sependek itu saja!  Sejak hari keramat itu, perkataan dari Azimah tak lagi semesra dulu.
            "Thanks, I love you"
            "Bye!"


            "Bye honey!"  Steven kecewa kerana tak menerima sebarang bicara berbau mesra dari Azimah.  Talian sudah diputuskan.  Steven mengundurkan kenderaan.

No comments:

Post a Comment