Tuesday 4 November 2014

DIDK P6

BAB ENAM



            Nurezam berlari-lari anak menuruni anak tangga dan terus ke pintu.  Ketika menyedari Datuk Shukri dan Datin Khadijah sedang duduk berbual di ruang tamu yang dilewatinya, langkahnya dilencongkan sebentar.  Dahi mamanya jadi tumpuan hidungnya dan tangan papanya disalami.

            "Ma, Pa, Ezam pergi dulu!"  Nurezam meminta diri.
            "Kamu nak ke mana lagi Ezam?  Bukan ke kamu baru saja balik"  Datin Khadijah cuba menahan.
            "Ezam ada janji dengan kawan ma,  dah lambat ni.  Bye!" 
Ketika itu Nurezam sudah mengenakan sepatu.  Tak mau dia menunggu lama di situ.  Kalau menunggu pasti panjang bebelan Mama yang terpaksa didengarnya.  Boleh tanggal cuping telinganya kalau terus menadah bicara Datin Khadijah.

            Datuk Shukri  memandang muka isteri yang kelihatan beberapa kali menggelengkan kepalanya.  Mata isterinya itu masih tertumpu ke arah kereta anak lelaki mereka yang hanya tinggal asapnya sahaja.  Pasti kepala isterinya itu sedang memikirkan Nurezam, satu-satu anak lelaki yang tinggal dan jarang benar nak lekat di rumah kalau ada masa terluang.  Ada saja aktivitinya di luar rumah.  Mujur Nurin Balqis masih belajar.  Kalau tak macamana jugalah perangai anaknya yang lagi seorang itu.  Anak dahlah dua orang sahaja, jangankan Datin Khadijah, dia sendiri pening memikirkan perangai anak-anak.  Kata orang, anak-anak biasa terikut perangai orang tua, seingat Datuk Shukri di zaman mudanya dulu dia tak begitu.  Perangai siapa agaknya yang diturut anak lelakinya yang memilih cara hidup yang terlalu sosial.
            "Abang!  Risau Jah tengok perangai Ezam tu.  Tak boleh langsung nak lekat kat rumah.  Kalau berkawan dengan orang yang senonoh tu tak apalah.  Ini dengan orang tak berjenis"  Datin Khadijah mengeluarkan kebimbangannya sambil muka Datuk Shukri ditatapnya.
            "Abang pun risau jugak Jah.  Tapi, anak bujang awak tu dah besar panjang, dah tak boleh nak diarah-arah.  Dilarang pun dah tak lut, ada kaki sendiri.  Awak nak saya buat macamana lagi?"  Datuk Shukri menggaru kepala yang tak gatal.
            Makin luruhlah rambut di kepala aku nampaknya.  Nurezam ini pun satu.  Dah 30 tahun pun tak boleh fikir sendiri ke mana yang buruk, mana yang elok.  Masa aku sebaya dia, Datuk Yusuf dah berikan aku kepercayaan untuk handle bisnes sendiri.  Kalau sekarang ni aku beri Ezam handle bisnes, alamat lingkup!  Geram pulak jadinya Datuk Shukri dengan perangai anak lelaki yang memiliki Master of Engineering dari Universiti Oxford.  Dah 5 tahun dia bekerja sebagai pengurus di syarikat perkapalan mereka, tak banyak potensi anak lelaki itu yang boleh dibanggakannya.  Pada Datuk Shukri, dia bukan tak berkebolehan, tapi tak mau serius.
            "Apa pulak yang abang menungkan ni?  Awak ingat perempuan lain ya?  Kita bercakap pasal Ezam, dia berangan pulak!"  Marah jadinya Datin Khadijah melihat perangai Datuk Shukri.  Beria-ia dia bercerita lelaki itu boleh melamun pulak.
            "Awak ni Jah!  Kalau awak risaukan Ezam, saya pun sama juga.  Manalah saya ada perempuan lain selain awak dengan Balqis.  Saya cari betul nanti, baru awak tau!"  Datuk Shukri mengugut sambil bergurau.
            Datin Khadijah ketawa sendiri.  Dari dulu lagi dia amat bersyukur kerana Datuk Shukri bukan seperti datuk-datuk lain yang asyik sibuk berkepit dengan isteri muda dan perempuan cantik.
            "Maaf ya bang, Jah bergurau saja.  Berbalik pada Ezamlah bang.  Jah betul-betul risaulah bang.  Umur dah 30 tahun, calon-calon yang dia bawak jumpa kita semuanya tak senonoh.  Saya tak berkenan langsung"  Risau benar Datin Khadijah dengan situasi anak lelakinya sekarang.
            Sebelum ini dah beberapa kali juga Nurezam mengenalkan mereka dengan teman perempuannya bila diungkit soal jodoh.  Seperti mana Khadijah tak berkenan, Datuk Shukri pun mempunyai pandangan yang sama.  Tak mau dia bermenantukan perempuan yang perangainya tak senonoh.  Kalau TUHAN restu, dia nak seorang menantu yang dapat membentuk peribadi anak bujangnya yang seorang itu.
            "Apa pandangan awak tentang Mimi, perempuan yang terakhir sekali Ezam bawak jumpa kita?"  Datuk Shukri cuba mengorek pandangan isterinya.
            "Mimi anak Datuk Malik tu!  Tak berkenan Jah bang….!  Jah rela anak kita bujang sampai ke tua dari kahwin dengan perempuan macam tu." 
Tak bertapis langsung dia mengeluarkan kata.  Terbayang wajah cantik perempuan yang selalu diusung Nurezam yang selalu berpakaian macam orang tak cukup kain.  Merinding bulu romanya.  Datuk Shukri dah bertanya, lebih baik berterus-terang.  Kalau guna bahasa berkias, takut Datuk Shukri tersalah tafsir pulak.
            "Tapi Jah, abang nampak Ezam tu suka betul dengan Mimi.  Banyak kali saya terserempak mereka keluar bersama.  Kerap juga Mimi tu datang pejabat kita"  Datuk Shukri memberitahu maklumat yang diketahuinya kepada Datin Khadijah.
            "Habis tu, awak suka ke bermenantukan perempuan tu?  Kita dah tau sangat latar belakang keluarga Datuk Malik tu.  Hidupnya pun lebih hebat dari orang Barat tu.  Takkan kita nak biarkan Ezam potong kepala sendiri"  Datin Khadijah mencebik bibirnya.  Tak masuk betul di kepalanya kalau Datuk Shukri boleh berkenan dengan pilihan anak bujang mereka.
            Ketawa besar pecah dari mulut Datuk Shukri mendengar bicara Datin Khadijah.  Memang ada kebenaran atas kata-kata yang diungkapkan isterinya.  4 perkara yang perlu diambil kira dalam hal mencari calon isteri.  Agamanya, keturunannya, wajah dan hartanya.  Tang wajah dengan harta tu lepaslah untuk calon Ezam.  Kalau dari segi keturunan dan agama memang kantoilah.  Sedangkan itulah kriteria yang paling utama dalam mencari calon isteri.
            Datuk Shukri pun bukanlah alim sangat.  Alhamdulillah, setakat solat tak pernah tinggal, menjauhi perkara terlarang, bolehlah.  Bab agama yang hebat-hebat tu, Datuk Shukri pun belum sampai lagi.  Tapi di KL ni bukan mudah nak mencari calon isteri yang memenuhi keempat-empat kriteria sekaligus. 
            "Saya pun macam awak Jah.  Tapi kalau Ezam dah suka macamana?  Orang muda sekarang dah pandai buat keputusan sendiri, bukan nak dengar cakap kita!"  Datuk Shukri mengingatkan Datin Khadijah yang mereka sekarang sudah berada di zaman milineum.
            "Apa nak jadi-jadilah bang.  Saya tetap tak akan setuju kalau dia nak kahwin dengan Mimi.  Tunggu saya mati dulu, selagi saya hidup, masih bernyawa, mintak maaf!"  Keras betul hati Datin Khadijah.  Tak mau langsung dia nak berkompromi pasal teman hidup anak lelakinya itu.
            "Abang faham Jah.  Kalau dah payah sangat, Jah carikan dia seorang calon.  Takkan Jah tak ada berkenan dengan mana-mana anak kawan Jah" 
            "Tak ada bang.  Kawan saya tu semua datin-datin dan puan sri-puan sri.  Anak mereka tu tak banyak bezanya dengan Mimi tu.  Ada yang baik tu semua dah disambar orang.  Orang baik, cepatlah lakunya.  Jah kan bang, kalau boleh nak cari calon yang boleh jadi sebenar-benar isteri kepada Ezam.  Kebanyakan perempuan yang saya kenal tak boleh jadi isteri, silap-silap Ezam pulak yang jadi isteri sebab ikut cakap perempuan tak senonoh tu"  Sedap mulut saja Datin Khadijah nak bercakap.
            Terbatuk-batuk Datuk Shukri mengawal ketawa yang keluar dari mulutnya.  Tergeletek hati Datuk Shukri mendengar cakap Datin Khadijah.  Kalau dah tak berkenan tu, macam-macam perkaralah yang keluar dari mulut isterinya.
            "Ikut awaklah Jah.  Kalau baik pada awak, baiklah pada abang"  Datuk Shukri memutuskan begitu.  Dia pun nak yang terbaik untuk anak bujangnya itu.
            "Abang tu berusahalah jugak!  Cuba cari-cari maklumat kat mana ada perempuan yang betul-betul perempuan yang boleh dijadikan calon menantu kita" 
Cemberut muka Datin Khadijah mendengar Datuk Shukri seolah-olah menolak sepenuhnya tanggungjawab kepada dia.
            "Ialah!  Ialah!" 
Ketawa lagi Datuk Shukri.  Kalau tak dipersetujui nanti marah pulak mak datin itu.  Teringat pulak Datuk Shukri kepada cerita Melayu yang bertajuk Musang Berjanggut.  Perempuan seperti itu ke yang dicari Datin Khadijah?  Lucu pulak dia.

            Dalam pada itu, hatinya menerawang jauh.  Kalaulah Nurhakimi masih ada pasti anak sulungnya itu sudah boleh mengambil alih syarikatnya.  Apakan daya Nurhakimi tak panjang umurnya, meninggal dunia pada usia 28 tahun.  Anak sulungnya yang baik dan menurut kata itu terlibat dalam satu kemalangan jalan raya.  Orang yang baik dan disayangi TUHAN memang selalu tak panjang umur.


            SUARA Murni, setiausahanya sudah serasi benar dengan telinganya.  Langkahan pantasnya dihentikan di hadapan meja Murni.
            "Ada apa Murni?  Saya nak cepat, ada bisnes lunch ni"  Datuk Shukri menghadap Murni yang berdiri tanda menghormati majikannya.
            "Datin telefon tadi.  Banyak kali.  Ada hal penting katanya.  Dia minta datuk call handphone dia.  Tak boleh tidak!"  Murni menyampaikan pesan isteri majikannya itu.  Bersungguh benar suara Datin Khadijah ketika membuat panggilan sebentar tadi.
            "Yelah, terima kasih.  Ezam, Borhan, awak tunggu saya kat bawah, entertaint en. Sofi di lobi ya.  5 hingga 10 minit lagi saya akan turun"  Pantas Datuk Shukri memberi arahan.

            Mulanya nak marah juga Datuk Shukri bila mendengar bicara awal Datin Khadijah.  Ingatkan apa yang penting sangat.  Kalau pasal calon isteri untuk Nurezam, tunggu sajalah dia balik ke rumah nanti.  Dia tengah sibuk dengan kerja di pejabat pun nak diganggu.
            Terangguk-angguk kepala Datuk Shukri bila terus mendengar apa cerita penting Datin Khadijah.  Muncul terus wajah sahabat lamanya yang duduk di Johor yang dibangkitkan oleh isterinya.  Kalau tak kerana Nurezam masuk ke biliknya dan mengingatkan dia yang tetamu sudah terlalu lama menunggu, pasti Datuk Shukri masih tersenyum sendiri memikirkan calon yang dicadangkan isterinya.  Dalam perjalanan turun ke tingkat bawah pun sempat dia memikirkan gandingan calon Khadijah dengan Nurezam.  Memang sesuai sekali!  Pandai betul Datin Khadijah membuat pilihan.  Tapi, kalau dah ada yang punya macamana?  Timbul pulak persoalan itu di hatinya.  Tunggulah hujung minggu ini dia akan turun ke Johor, bertemu dengan orang yang sepatutnya.  Pertanyaan Nurezam yang hairan melihat dia tersenyum sendiri pun tak dipedulikannya.


            SUASANA sejuk rumah separuh batu sederhana besar yang dikelilingi pokok rendang itu langsung tak dapat dirasakan Datuk Shukri dan Datin Khadijah.  Selagi tak menerima jawapan dari tuan rumah, mereka tak boleh duduk selesa.  Kipas yang berpusing ligat pun tak dapat membantu melegakan kerimasan mereka.  Air dengan kuih yang terhidang di meja pun tak berselera hendak disentuh.  Bukan tak sudi, tapi selera mereka tak sudi muncul selagi hati masih dalam keadaan tertanya-tanya.  Kedatangan semula Pak Zainal dan Mak Sakinah yang dinantikan oleh mereka menambah kederasan degupan jantung masing-masing.  Harap-haraplah jawapan mereka tak menghampakan.
           
            "Macam nilah datuk, datin"  Pak Zainal memulakan kata setelah duduk selesa di hadapan tetamu.
            "Awak ni Nal!  Tak payah berdatuk berdatinnya dengan kami.  Panggil nama saja" 
Cepat Datuk Shukri memotong bicara Zainal.  Tak senang betul dengan gelaran yang digunakan Zainal.  Kalaulah Zainal dilahirkan dalam keluarga kaya sepertinya pasti Zainal jauh lebih berjaya dari dirinya.  Lagipun, gelaran tak boleh ada dalam nilai persahabatan mereka.
            Zainal tersenyum mendengar teguran Datuk Shukri.  Agak janggal juga menerima kedatangan tetamu yang tak diundang ini.  Sakinah juga kelihatan tak selesa walaupun Datin Khadijah melayannya baik dan langsung tak sombong.

            Kedatangan tetamu suami isteri dari KL ini bukan yang pertama.  Tiga bulan lepas pun mereka ada datang melawat keluarga Pak Zainal.  Ketika itu Azimah yang secara kebetulan balik bercuti ke kampung pun ada bersama.  Azimahlah yang bertungkus-lumus dengan adik-adiknya menyediakan makan tengahari untuk 'tetamu istimewa' Pak Zainal itu.  Tapi kali ini, kedatangan mereka lain.  Mereka datang membawa hajat yang besar.  Hajat yang tak mampu untuk dijawab sendiri oleh Zainal dan Sakinah.
            "Macam nilah Shukri, Khadijah.  Kalau di pihak saya dan isteri ni memang gembira betul dengan hajat kamu nak berbisan dengan kami.  Memang anak kami bukan milik sesiapa secara rasmi.  Tak ada masalah langsung di pihak kami.  Masalahnya ni cuma pada anak kami"  Berhati-hati Pak Zainal menerangkan.  Bimbang pula menyinggung hati orang yang mendengarnya.
            "Kenapa Zainal?  Dia dah ada pilihan sendiri?"  Datuk Shukri cuba serkap jarang.  Riak-riak hampa mula kelihatan di wajahnya.
            "Tak, bukan macam tu Shukri.  Setau kami, Azimah pun tak ada calon lagi.  Tak taulah kalau dia rahsiakan dari kami.  Rasanya memang tak ada.  Tapi kamu pun tau anak-anak zaman sekarang kan!  Keputusan tu di tangan dia kerana dia yang nak melalui hidup tu nanti.  Kamu berdua bagilah kami tempoh.  Nanti kami tanyakan tuan punya badan"  Pak Zainal menerangkan kepada Shukri dan Khadijah yang teliti mendengar jawapan yang telah mereka bincangkan suami isteri sebentar tadi.
            "Maksudnya peluang tu adalah.  Cuma sekarang ni terpulang pada Azimahlah yang nak terima atau tidak ya?"  Datin Khadijah yang sudah boleh mula tersenyum meminta kepastian.
            "Begitulah Khadijah.  Sebagai ibu-bapa, kami memang ada hak, tapi tak adil untuk Azimah kalau kami menerima tanpa memaklumkan dia.  Kalau rezeki kita berbisan ada, bertemulah jodoh mereka" 
Pak Zainal memberikan jawapan kepada Datin Khadijah dengan senyuman manis terlakar di wajahnya.  Mak Sakinah yang dari tadi hanya diam turut menganggukkan kepala, menyetujui bicara suaminya
            "Kamu pujuklah dia Nal"  Datuk Shukri mengharap dalam sengihnya.
            "InsyaAllah Shukri"  Bahu lelaki itu ditepuknya.  Tak sangka betul dengan apa yang berlaku.  Tiba-tiba sahaja segalanya seperti sudah terlakar indah untuk anak sulungnya itu. 

            Setelah mendengar bicara dari pasangan suami isteri itu barulah lega hati mereka.  Baru tekak mereka terasa dahaga.  Air panas yang telah sejuk itu terasa sedap sahaja memasuki anak tekak mereka.  Sebelum meminta diri, tak lupa Datin Khadijah meninggalkan gambar anak bujangnya untuk ditunjukkan kepada 'bakal menantu mereka'.

            PAK ZAINAL dan Mak Sakinah masih duduk di ruang tamu.  Masing-masing masih terperanjat dengan apa yang berlaku sebentar tadi..

            "Macamana ni bang?"
            "Macamana apa?'  Pak Zainal memandang wajah isterinya.
            "Ialah!  Nak ke Azimah tu?"  Mak Sakinah memasamkan muka memandang wajah suaminya.  Buat tak faham pulak dia.
            "Nantilah saya telefon Ajim, suruh dia balik.  Kita dengar sendiri penjelasan dia"  Pak Zainal lebih senang berkeputusan begitu.
            "Rugi kalau Ajim menolak bang!" 
Kalau boleh Mak Sakinah tak mau mendengar jawapan selain dari setuju dari mulut anak sulungnya itu.  Athirah, adiknya pun dah ada anak satu.  Dia pun belajar tinggi macam Azimah, tapi habis belajar terus minta menikah dengan kawan masa belajarnya.  Tak menyempat-nyempat!  Diri sendiri pun tak terurus, apalagi nak menghulur bantuan kepada keluarga di kampung.  Mendidih juga darah Mak Sakinah dengan keputusan Athirah.  Nasib baik ada Azimah menenangkan, memujuk hati tuanya yang terluka dengan perlakuan si anak.

            Itu Athirah.  Azimah lain pulak halnya.  Langsung tak terdengar dari mulut anak sulungnya itu pasal nak berumahtangga.  Cuma Mak Sakinah saja yang selalu rajin nak bertanya.  Umur 28 tahun tu kalau kat kampung dah menghampiri takat bahaya.  Tapi Azimah tetap buat tak tau.  Habis ambil ijazah, dia bekerja.  Bekerja pun sambil belajar.  Mak Sakinah tak berapa faham, yang dia tahu, lepas habis belajar, Azimah jadi pensyarah.  Gaji pun bertambah.  Itulah yang diberitahu Azimah.  Kalau ditanya pasal kahwin, tak ada calonlah, nak sokong adik-adik belajar dululah.  Bukan tak ada orang yang berkenan dengan anak sulungnya itu.  Sudah dua kali juga pinangan orang yang ditolak mentah-mentah oleh dia dan suaminya.  Kali ketiga ni, Mak Sakinah pasti nak berusaha supaya jadi.  Dapat calon suami orang senang, tentu Azimah dah tak boleh beralasan lagi.

            Selama ni, belanja rumah, belanja sekolah adik-adik semua dia yang tanggung.  Duit pencen suaminya disuruh simpan di Tabung Haji.  Duit untuk mereka naik haji pun dah cukup.  Anak yang bersekolah pun cuma tinggal Amizah dan Aisyah.  Kalau Amirah yang sedang menunggu keputusan STPM dapat menyambung pelajaran ke mana-mana tentu Amar yang dah setahun bekerja sebagai jurutera di KL boleh membantu.  Anak lelakinya itu pun nampaknya menurut jejak langkah Azimah.  Mengambil berat hal keluarga dan tak lokek mengeluarkan belanja.  Nasib baik Azimah yang rapat dengannya dijadikan contoh, kalau Athirah, panas jugak hati Mak Sakinah dan Pak Zainal.  Nampaknya dah sampai masa untuk Azimah memikirkan masa depan sendiri pulak.  Itulah penilaian Sakinah.  Dia tersenyum sendiri, menganyam impian untuk anaknya.


            DATUK Shukri teliti memandu kereta.  Sejak dari dulu dia nak bertanya satu soalan kepada isteri yang tak putus senyum yang sedang duduk di sebelahnya.  Sejak menerima jawapan yang boleh dikatakan positif dari keluarga yang mereka kunjungi sebentar tadi begitulah keadaannya.

            "Macamana awak boleh terfikirkan budak tu Jah?"
            "Entahlah bang.  Tiba-tiba saja saya teringatkan budak Azimah tu.  Sebenarnya masa mula-mula jumpa tu saya dah perasankan betapa istimewanya anak dara Sakinah dan Zainal tu.  Bayangkan saja bang,  dah jadi pensyarah pun penampilannya biasa saja.  Low profile, tak suka menunjuk-nunjuk.  Sampaikan saya pun tak boleh bezakan dia dengan adik- beradiknya yang lain"  Datin Khadijah memberitahu penilaian awal yang dibuatnya ketika dia mengikut suami melawat sahabat yang telah lama tidak ditemui di Johor tiga bulan lalu.
Terangguk-angguk kepala Datuk Shukri menerima penerangan isterinya.  Seperti isterinya dia juga kagum bila melihat anak kampung yang telah lama menetap di kota itu masih sudi bergelumang dengan rumput lalang, masuk ke kebun mencari sayur pucuk paku dan ulam-ulaman.  Tak kekok langsung bergurau mesra dengan adik-adik.  Riang-ria dia mengepalai adik-adik memasak di dapur.  Hormatkan orang tua pulak tu.  Kalau tak ia-ia sukar nak mencari orang 'kota' yang masih tebal dengan pegangan kampungnya.  Angin ganas kota ternyata tak berjaya menenggelamkan kelembutan dan keperibadian mulia anak dara En Zainal dan Pn Sakinah.  Pasti gadis begitu sesuai jika digandingkan dengan anak bujang mereka yang keras.  Tinggi menggunung benar harapan mereka suami isteri.  Tak ada sesiapa yang lebih layak menjadi menantu mereka selain Azimah.
"Jah tak kisah ke dia bukan dari golongan keluarga Datuk atau Tan Sri?"  Sengaja Datuk Shukri mengusik Datin Khadijah.  Dia sendiri pun setuju bebenar dengan calon yang dikemukakan Datin Khadijah.
"Taklah bang.  Walaupun orang lain sibuk nak menjaga title, saya tak macam tu.  Saya lagi bangga kalau dapat bermenantukan Azimah tu.  Kat bandar dia boleh bawak diri, kat kampung pun masih selesa seperti orang kampung yang lain.  Yang paling saya berkenan budak tu berbudi-bahasa betul bang.  Susah nak jumpa orang macam dia di zaman serba canggih ni"  Pujian melambung saja yang dikeluarkan untuk calon menantu pilihan hatinya itu.
"Awak saja yang beria-ia.  Azimah tu entah-entah dah ada calon sendiri"
"Eh!  Janganlah cakap macam tu.  Doa tu, kita yang putih mata nanti!  Bukan saya seorang, awak pun terkena tempiasnya tau.  Awak tak berahi ke nak dapat menantu macam tu?"  Muka Datuk Shukri yang tersenyum sambil memandu itu dijelingnya.  Geram dia dengan tindak balas lelaki itu.
"Tentulah saya suka, tapi awak janganlah berharap sangat.  Kalau tak jadi nanti, saya juga yang susah nak memujuk awak.  Awak kena ingat, kita merancang TUHAN yang menentukan.  Jangan lupa tu!"  Datuk Shukri mengingatkan isterinya yang kelihatan terlalu excited.  Dia tak mau Datin Khadijah terluka seandainya Azimah menolak.
"Itu saya maklum bang.  Tapi naluri keibuan saya ni penuh yakin yang Azimah tak akan menghampakan pinangan kita!"  Datin Khadijah tersenyum lebar memberitahu jangkaannya.
"Yalah!  Anak bujang awak tu macamana pulak?  Nampak macam berat saja!" 
Datuk Shukri jadi teringat tentang reaksi Nurezam dua hari lepas.  Mula-mula memang anak bujangnya itu membantah tapi setelah mendengar amaran dari mereka suami isteri barulah mulutnya boleh diam.  Dari air muka anak lelaki mereka itu nampak betul yang dia tak berpuas-hati langsung.
"Mau tak mau dia kena terima jugak.  Saya akan pastikan dia harus terima jodoh yang kita tentukan.  Ingat syarat yang kita telah failkan di pejabat peguam tu.  Dia pasti akur dengan cakap kita.  Mula-mula terpaksalah.  Dua tiga bulan lepas tu, bila dia dah nampak kelebihan Azimah, eloklah dia" 

Senang saja orang tua itu membuat keputusan dan kesimpulan.  Datuk Shukri pun tak membantah langsung.  Tak sedikit pun mereka nak memikirkan kesan dari perbuatan mereka itu akan menzalimi bakal menantu mereka yang tidak tahu menahu tentang konspirasi tersebut….

No comments:

Post a Comment