Saturday 8 November 2014

DIDK P7


BAB TUJUH




            Fazley, Pegawai Pemasaran Syarikat Bermuda Jaya melangkah pantas ke bilik Pengurus yang dikhabarkan mencarinya.  Sampai di depan pintu segera dia mengetuk pintu bilik.  Setelah mendengar arahan masuk, tak berlengah dia melangkah masuk ke dalam bilik yang jelas terasa kedinginan penyaman udaranya.
           
            "Duduklah Ley" 
Nurezam yang duduk di kerusinya memberi arahan.  Fazley mengisi kerusi yang kosong di depan Nurezam.  Kalau Nurezam sudah menggunakan nama Ley itu maksudnya dia mahu berbual perkara yang berbentuk peribadi.
            "Engkau kenapa Ezam?  Monyok aje aku tengok.  Tak settle lagi ke masalah engkau tu?" 
Fazley yang dahulu merangkap rakan seuniversiti dan kemudian rakan sekerja cuba membuat andaian.  Sebelum ini Nurezam, pengurus yang merangkap anak majikannya itu ada menceritakan yang orang tuanya tak berkenan dengan gadis pilihan hatinya.
            "Bukan takat yang tu saja Ley, kes aku sekarang lagi teruk.  Dahlah diorang tak setuju aku kahwin dengan Mimi, datuk dan datin dah tetapkan calon untuk aku.  No excuse!  Kalau tak Datuk Shukri nak jual sayarikat ni pada orang lain.  Dia tak nak aku warisi syarikat perkapalan ni kau tau!  Nak pecah kepala aku!" 
Nurezam menerangkan kesukarannya.  Kalau sampai perjanjian itupun nak ditandatangani di hadapan peguam mereka, Nurezam tahu yang orang tuanya tak main-main.
            "Anak datuk mana pilihan papa engkau?  Pasti hebat kalau macam tu.  Aku kenal ke?"  Fazley jadi tertarik mendengar cerita Nurezam.  Kalau Datuk Shukri dan Datin Khadijah yang mencari calon, pasti tip-top!
            "Anak datuk engkau kata?  Bukanlah, anak orang biasa saja.  Kalau tak silap dengar, anak pegawai yang dah pencen.  Pegawai kelas berapa pun aku tak tau.  Yang hebat lagi tu, orang kampung kau tau!" 
Jelek betul kedengaran suara Nurezam ketika menerangkan maklumat yang diperolehinya.  Macamlah orang kampung tu teruk sangat di mata dan fikirannya.  Ketawa besar Fazley mematikan niatnya untuk menyambung bicara.
            "Kampung women lah ni!  Apa istimewanya perempuan tu sampai datuk dan datin pilih dia?  Cantik sangat ke budaknya?"  Fazley bertanya sebaik ketawanya reda. 
            "Cantik sangat tu taklah.  Manis, nampak suci gitu ha!  Sejuk mata memandang"  Nurezam menerangkan dalam ketawa kecilnya.  Dalam bengang-bengang pun, boleh pulak dia ketawa.
            "Engkau dah jumpa ke?" 
Muka Nurezam ditenungnya.  Tak suka pun boleh pulak tu dia memuji.  Betul ke tak betul dia ni?  Pelik Fazley dengan perangai Nurezam.
            "Belum lagi.  Aku tengok gambar saja"  Nurezam memberitahu.  Memang dia belum berjumpa dengan perempuan yang dimaksudkan oleh papanya.
            "Orang mana?"
            "Orang Johor tapi bekerja kat Selangor, BBB"
            "Dekat aje.  Mudahlah engkau nak jumpa dia"
            "Tak hingin aku nak jumpa dia.  Dari jumpa dia, baiklah aku pergi jumpa Mimi.  Hilang rindu aku, puas hati lagi" 
Ego betul bunyi jawapan yang keluar dari mulut anak Datuk Shukri.
            "Tapi engkau kena ingat apa syarat datuk?  Kalau engkau melawan cakap Datuk Shukri, syarikat ni akan terlepas ke tangan orang lain.  Masa tu bukan engkau sorang yang susah, aku pun ikut susah sama.  Time tu,  Mimi pun takkan pandang engkau" 
Fazley bertindak mengingatkan Nurezam.  Bukan untuk kebaikan lelaki itu sahaja,  dia sendiri akan menerima manfaat.  Kalau tak kerana menumpang kekayaan teman baiknya itu takkan mudah untuk dia hidup berpoya-poya seperti sekarang.
            "Itulah yang aku bengangkan.  Apa agaknya yang aku perlu buat?" 
Nurezam menongkat dagunya.  Tak sanggup untuk berpisah dengan Mimi yang dicintainya.  Terbayang-bayang wajah Mimi yang manja.  Mengamuk agaknya Mimi bila dia tahu, kekasihnya nak dikahwinkan dengan orang lain.
            "Idea aku senang aje.  Engkau kahwin aje dengan 'kampung women' tu.  Bila datuk dah serahkan syarikat atas nama engkau, engkau lepaskan dia.  Habis cerita"  Mudah saja mulut Fazley melempar idea yang ada di kepalanya saat itu.
            "Hensem muka engkau!  Mimi tu aku nak campak mana?  Tak mengaruk ke dia kalau aku kahwin dengan orang lain?  Bala Fazley!  Bala!"  Merungut betul Nurezam mendengar idea Fazley yang dirasakannya seperti tak munasabah.  Takkan tak ada cara lain!!
            "Engkau terangkanlah elok-elok pada Mimi.  Slow talk.  Engkau kan gentleman.  Lagipun kalau Mimi betul-betul sayangkan engkau tentu dia nak tunggu engkau.  Kalau dia tak sanggup bukan cinta namanya.  Bukan lama sangat pun kan?"
            Nurezam berfikir sekejap mendengar cakap Fazley.  Boleh dipakai jugak idea Fazley ni.
            "Bagus jugak idea engkau ni.  Tapi Datuk Shukri dah tetapkan tempoh.  Dia beri aku masa dua tahun untuk aku tunjukkan yang aku benar-benar terima perempuan tu sebagai isteri aku.  Dia nak aku jadi lebih bertanggungjawab dari segi kerja dan bahagiakan perempuan tu.  Susah aku Fazley.  Dua tahun tu lama.  Aku tak rasa yang aku sanggup duduk dengan 'kampung women' tu selama dua tahun" 
Macam tak sanggup betul Nurezam nak menurut idea yang dikeluarkan teman.  Tak adakah jalan lain yang lebih selesa?
            "Dua tahun bukan lama sangat.  Pejam celik, pejam celik dah sampai masanya.  Engkau berlakon le Zam, pura-pura baik dengan 'kampung women' tu.  Kalau tak pun engkau bincang dengan dia yang engkau akan bagi dia duit kalau dia nak beri kerjasama.  Engkau tak sentuh dia, dapat duit lagi.  Mau punyalah Zam!  Untung beb!  Lagipun 'kampung women'!!!  Ketawa yang keluar dari mulut Fazley bersatu dengan ketawa Nurezam.
            Rendah betul 'kampung women' tu di mata dan fikiran mereka.  Begitulah kepala orang kaya, orang pun nak dibelinya.  Norma-norma kehidupan sebenar mereka dah hampir pupus sebenarnya. Kalau dibiarkan terus pasti norma kehidupan generasi seterusnya boleh diibarat spesis dinosaur yang dah pun pupus sekarang.  Kerana itulah Datuk Shukri dan Datin Khadijah menghantar 'kampung women' sebagai utusan untuk memperbaiki norma hidup mereka.  Amin……!

MAU tak mau, terpaksa Azimah membatalkan janjinya dengan Nurizati untuk mengikuti kursus rock climbing di hujung minggu gara-gara menerima panggilan dari Pak Zainal yang memintanya balik ke Johor secara tiba-tiba.  Kalau ikutkan plan Azimah, sebulan lagi baru dia balik ke kampung.  Bulan hadapan, universiti akan cuti semester pertama selama 2 minggu.  Bila Pak Zainal kata tak boleh ditangguhkan, pasti ada hal penting.  Nasib baik Nurizati tak kisah.  Rasa bersalah pula pada teman itu kerana tak jadi mengikuti kursus gara-gara Azimah.  Memang Azimah dan Nurizati sama-sama meminati aktiviti lasak.  Kalau ada aktiviti memanjat gunung yang secara kebetulan seiring dengan cuti semester universiti pasti dua sahabat tak ketinggalan turut serta.  Atas minat yang sama itulah mereka berdua semakin kamcing.

            Sepanjang perjalanan balik ke Johor, Azimah diganggu perasaan tak selesa.  Macam ada perkara yang tak berapa disenangi Azimah bakal dihadapkan kepadanya di kampung.  Bila mengingatkan ketentuan TUHAN Azimah berserah sahaja, tak baik menyangka yang bukan-bukan.  Sampai juga Proton Wira Aeroback putihnya ke hadapan rumah Pak Zainal dengan selamat.  Semakin menghampiri rumah, semakin berdebar hatinya.  Tak sabar nak tau perkara penting yang dikhabarkan tetapi tak dapat dinyatakan di telefon.  Berganti-ganti tangan Azimah disambar adik-adik yang nak bersalam.  Pelik memandang wajah ayah dan emak yang tak habis-habis melempar senyum.  Azimah tak cuba bertanya hal lain, hanya bertanya khabar mereka.  Biarlah Azimah berehat dulu sebelum dihadapkan apa-apa berita yang penting sangat itu.  Kedua orang tuanya pun tak menyebut apa-apa.  Malam nanti agaknya!


            MALAM itu selepas solat Isyak, adik-adik semuanya terus masuk ke bilik.  Macam dah diberi amaran pulak kelaku mereka.  Sunyi saja rumah mereka.  Tv pun tak tertayang seperti biasa.  Debaran di hati Azimah semakin menggila.  Biasanya, malam minggulah adik-adik berebut-rebut menghadap tv.  Sebentar tadi, Azimah masuk ke dapur nak membancuh air pun dilarang Mak Sakinah.  Sudahnya Azimah menyertai Pak Zainal yang duduk santai di ruang depan.  Selesa betul tatkala angin malam yang berhembus perlahan menyerbu masuk melalui tingkap-tingkap  yang sengaja dibiarkan terbuka.

            Azimah dan Pak Zainal berbual kosong sementara menantikan Mak Sakinah menyertai mereka.  Lima minit juga baru Mak Sakinah muncul dengan membawa sedulang minuman.  Azimah mengagihkan cawan yang sudah dituang air kopi.

            "Awak dah beritahu Ajim ke?"
            "Belum lagi"  Pendek saja jawapan dari Pak Zainal.
            Azimah mendengarkan saja perbualan emak dan ayahnya.  Hatinya tak ada mood nak mengandaikan apa-apa.  Tunggu sajalah apa berita itu.  Pak Zainal dilihatnya menghirup kopi panas di cawan sebelum memperkemaskan duduknya, bersedia untuk memulakan bicara.
            "Begini Ajim.  Ayah dengan mak ni nak menyampaikan hajat orang.  Kami tak memaksa, tapi Ajim fikirlah sendiri samada nak menolak atau mempertimbangkannya"  Lembut sahaja bahasa yang digunakan Pak Zainal.
            Siapa pulak yang berkenan dengan aku kali ini?  Berdebar-debar dada Azimah menantikan penjelasan seterusnya dari Pak Zainal.
            "Minggu lepas, Datuk Shukri dan Datin Khadijah datang mengemukakan hajat nak menyatukan kamu dengan anak lelaki mereka.  Sekarang ni mereka tengah menunggu jawapan kamu, Ajim.  Dah 3 kali datuk telefon ayah kamu, sebab tu ayah kamu panggil kamu balik segera."
Mak Sakinah menyambung cerita.  Wajah Azimah ditenungnya, cuba untuk melihat reaksi awal si anak.  Tetapi tak membantu langsung, Azimah langsung tiada bereaksi.  Kenapa anak daranya yang seorang ini seperti tidak berperasaan pulak?  Pelik Mak Sakinah.

            Dari tadi Azimah hanya berdiam diri sambil telinganya teliti mendengar setiap bicara yang keluar dari mulut kedua orang tuanya.  Wajah datuk dan datin yang mudah mesra ketika datang melawat keluarga Pak Zainal 3 bulan lalu bermain di matanya.  Semudah itukah mereka menilai aku dan sehingga terus boleh dicalonkan sebagai menantu?  Saat itu, TUHAN saja yang tahu gelojak hati seorang Azimah.

            "Sekurang-kurangnya beri saya masa ayah.  Paling tidak pun Ajim perlukan seminggu untuk memberikan jawapan"
            Lama dia membiarkan suasana senyap.  Setelah berfikir panjang barulah dia mengeluarkan jawapan itu.  Azimah tahu betul yang jawapannya itu bakal menerima tentangan hebat dari Mak Sakinah.
            "Apa yang kamu nak tunggu lagi Ajim?  Athirah pun dah ada anak satu.  Dah datang jodoh yang elok ni, kamu terima ajelah" 
            "Ajim tau mak.  Tapi ini kebahagiaan hidup Ajim.  Tak boleh tergesa-gesa.  Mak bersabarlah, nanti Ajim minta petunjuk dari ALLAH" 
Azimah memberi janji kepada Mak Sakinah.  Dia faham dengan kerisauan ibu tua itu bila anak sulungnya memilih untuk terus hidup bersendirian.
            "Mak bukan nak paksa kamu Ajim, mak cuma nak tengok kamu bersuami, ada anak, bahagia macam orang lain"
            "Mak!  Mak tak rasa ke yang kita ni tak setaraf dengan mereka.  Ajim tak nak orang tuduh Ajim setuju kerana nakkan harta mereka.  Ajim tak kenal mereka, macam-macam orang boleh tuduh kita"  Kebimbangan di hati dikeluarkannya.
            "Itu alasan kamu untuk menolak saja Ajim!  Datuk dengan datin tu bukan orang macam tu.  Mereka bersungguh nak bermenantukan kamu.  Mak harap kamu boleh bersetuju.  Lainlah kalau kamu ada calon lain.  Suruhlah dia jumpa kami dalam tempoh 2 minggu ni.  Kalau serasi dan sesuai dengan kamu, kami tak akan ragu-ragu untuk menolak pinangan datuk dan datin tu"  Serius Mak Sakinah bersuara.
            Terdiam Azimah mendengar bicara Mak Sakinah.  Sudah lima tahun Steven menghilang tanpa berita.  Dia tiada sesiapa lagi selepas pemergian lelaki itu dari hidupnya.  Dengan kata lain, hatinya tak pernah membenarkan orang lain mengambil tempat Steven.  Bukan masih mengharap, tapi belum ada lelaki lain yang mampu mencairkan hati perempuan Azimah.  Siapa pulak yang hendak dicalonkannya?  Ikmal yang kelihatan menaruh hati kepadanyakah atau Bahamin yang bersikap terus-terang meluah perasaannya?
Ikmal yang sudah dua tiga kali keluar makan bersama seperti menyukainya.  Tapi sepanjang tiga tahun berkawan, sekalipun lelaki itu tak pernah meluah perasaan.  Dulu Ikmal seniornya, sekarang rakan sejawatannya.  Takkan Azimah perlu bertanya kepada Ikmal  samada dia sukakan Azimah atau tidak.  Kalaupun lelaki itu benar-benar menyukainya seperti mana usikan Nurizati, tak sanggup pula mempergunakan lelaki itu untuk menyelesaikan masalahnya.  Tak adil untuk lelaki sebaik Dr. Ikmal diperlakukan begitu.  Kalau bukan Ikmal, siapa pulak?  Bahamin?  Dia tak tertarik langsung pada Bahamin yang dilabelkan sebagai lelaki gelojoh.  Azimah sukakan lelaki yang sederhana.   Sudahlah Azimah, solat istikharah sahaja dan lihatlah petunjuk yang ALLAH berikan, habis cerita.  Begitu saja dia memutuskan.
"Ha…  nah!  Ni gambar anak lelaki mereka.  Ezam nama dia"
Mak Sakinah mengunjukkan satu sampul surat kepada Azimah.  Lambat baru Azimah menyambut.  Di kala itu Azimah sedar keadaan yang sedang dilaluinya.  Walaupun dia diberi peluang untuk membuat keputusan, namun keputusan sebenarnya sudah ada di hati Mak Sakinah.  Ibaratnya Azimah sudah dijatuhi hukuman sebelum dia sempat diadili.  Itu emaknya, ayah bagaimana pulak?  Sama saja agaknya.
"Apapun, ayah tunggu jawapan kamu sebelum beritahu mereka keputusan Ajim"  Pak Zainal bersuara sebelum Azimah berlalu ke biliknya.
"Terima kasih ayah" 
Azimah boleh tersenyum senang memandang wajah Pak Zainal yang dirasakannya lebih rasional berbanding emaknya.  Nasib baik ayah masih memihaknya, lega Azimah.
"Selamat malam ayah, mak.  Assalamualaikum!"
"Waalaikumussalam!" 
Serentak salamnya disahut Mak Sakinah dan Pak Zainal.


            AZIMAH melemparkan badannya ke katil.  Nafasnya ditarik panjang.  Walaupun Steven tak memenuhi janji, Azimah seperti masih mengharapkan keajaiban berlaku.  Cincin pemberian Steven di jari manis kirinya dipusing-pusing.  Pemberian di malam terakhir mereka bertemu itu amat disayanginya.  Beg hitam yang terletak di penjuru katil dicapainya.  Azimah mengeluarkan sesuatu dari tepi beg.  Handphone milik Steven yang masih disimpannya direnung sayu.  Sejak lima tahun lepas Azimah sudah tidak berharap lagi.  Tapi cinta Steven tetap enggan pergi dari hidupnya.  Dia seperti terus dibayangi cinta Steven dan tidak terlintas untuk jatuh cinta lagi.  Bagi Azimah, banyak perkara yang boleh dibuatnya selain cinta.  Hatinya seperti sudah beku, kaku.  Apakah dia sebenarnya takut kecewa sekali lagi?  Entahlah, Azimah tak tau dan dia tak mau ambil tau.

            Menggenggam telefon itu, hatinya terhiris.  Steven pergi ke Melbourne dan membawa pergi janjinya bersama.  Sehingga tarikh keramat itu tiba Steven terus menyepikan diri.  Janjinya cuma tinggal janji.  Azimah yang menunggu kecewa sendiri.  Walaupun begitu rasa marahnya pada lelaki itu tak wujud.  Mereka saling tak berhutang lagi selepas tarikh yang dijanjikan itu tiba.  Mereka bebas untuk berbuat apa saja.  Azimah sendiri yang mengeluarkan bicara itu.  Kerana janjinya jugalah, telefon itu tak pernah dihidupkan lagi sejak 5 tahun lepas.  Tapi sehingga hari ini, nombor telefon ini masih wujud.  Itu tanda yang Steven masih mengingati Azimah.  Kalau tidak untuk apa lagi Steven menjelaskan bilnya setiap bulan.  Hanya Azimah yang tak pernah memiliki keberanian untuk mengaktifkan kembali telefon itu.  Azimah tak tahu tindakannya betul atau salah, dia tak mahu memikir terlalu banyak.

            Azimah tahu apa kesannya kalau dia menolak.  Walau bagaimanapun dia tak boleh menerima jodoh itu membuta tuli.  Jalan yang dia ada hanyalah meminta bantuan dari TUHAN yang Esa.  Biarlah penciptaNya itu saja yang memberikan keputusan.  Takkan Mak Sakinah menolak takdir dari TUHAN.  Azimah sendiri tak akan menolak jika TUHAN mentakdirkan dia bertemu jodoh dengan lelaki yang masih belum dikenalinya langsung itu.

            Sedaya upaya Azimah cuba menenangkan hatinya sendiri.  Dia sudah cukup dewasa menghadapi masalah ini.  Cermin soleknya dihampiri.  Mukanya masih belum berkedut, masih sama seperti wajahnya ketika dia menuntut dulu.  Kenapa aku boleh suka Steven dulu?  Wajahnya yang kacakkah?  Memang Steven yang memiliki wajah bujur dan mewarisi muka datuknya yang berasal dari Scotland itu kacak.  Salwa, Nana, Afifah, Mona dan ramai lagi rakan-rakan sekursusnya sering memuji kekacakan teman lelaki Azimah.  Tak kurang juga teman yang rasa cemburu dengan Azimah kerana berjaya memikat hati Steven yang diam-diam diidamkan ramai pelajar perempuan.  Bukan setakat pelajar sebangsanya, tak kurang juga pelajar Melayu yang menyukai Steven yang berdarah kacukan Scotland-Cina itu.

            Azimah juga tak pernah menafikan yang Steven kacak, tapi dia bukan menyukai, menyayangi dan mencintai Steven kerana kekacakannya.  Dia tertarik dengan Steven kerana kebaikannya, keikhlasan dan kesungguhannya mahu berkawan dengan Azimah.  Steven tak seperti pelajar Cina lain yang pernah menjadi sahabatnya.  Steven terlalu sabar dan bersopan.  Sentiasa menjaga percakapan dan yang paling penting dia tak mengamalkan cara hidup sosial seperti teman-teman sebangsanya.

            Sampul surat yang berisi gambar 'anak datuk' yang diserahkan Mak Sakinah dicapainya.  Menggeletar tangan Azimah tatkala sampul itu dibukanya.  Alhamdulillah, selesa mata memandang.  Disimpannya kembali gambar itu.  Tak perlu untuk dia memandang lama, cukuplah sekadar sekali lalu sahaja.  Dia tak pernah menilai orang melalui wajahnya selama ini, perilakunyalah yang paling penting.  Tapi Azimah tak berpeluang untuk menilai semua itu, dia hanya mampu menyerahkan segalanya kepada ALLAH.  Semoga ALLAH membantunya.  Merestui segala tindakannya.



No comments:

Post a Comment