Saturday 8 November 2014

DIDK P11

BAB SEBELAS



            Tok!  Tok!  Tok!  Kedengaran ketukan di pintu biliknya.  Azimah yang sedang tekun menaip di komputer melihat jam di tangan.  "Baru pukul 12.15.  Awal pulak budak ni datang jumpa aku.  Baguslah, menepati janji, susah nak jumpa anak Melayu yang begitu"  Azimah bicara sendiri.
            "Masuk!"  Azimah memberi arahan.  Kedengaran di telinganya pintu bilik ditolak. 
            "Duduklah dulu.  Saya habiskan kerja dulu, sikit lagi." 
Azimah meminta laluan dari tetamu yang disangka studentnya tanpa melihat terlebih dahulu siapa sebenarnya yang menjadi tamunya.  Rasa hairan juga bila Farihin tak menjawap apa-apa.  Tanpa menyimpan apa-apa syak, Azimah terus menghabiskan kerjanya, menaip perenggan yang terakhir.
Okey, selesai.  Tak perlu nak buat dua tiga kali.  Lepas ni semak semula dan dah boleh dicetak kalau tak ada sebarang masalah.  Azimah tersenyum sendiri bila kertas ujian untuk semester kedua sudah disiapkannya.  Dia tak suka melakukan kerja di saat akhir. 
"Ezam!  Sorrylah, saya ingat student saya tadi"
Terkejut betul Azimah ketika dihadapkan dengan muka lelaki itu saat dia berpaling menghadap mejanya yang dipenuhi dengan pelbagai buku.  Timbul pelbagai tanda tanya pula bila lelaki itu tiba-tiba terpacul di tempat Azimah bertugas.  Sudah setahun mereka menjadi suami isteri.  Inilah kali pertama lelaki itu mengunjunginya di situ.  Sebelum ini, bertanya tentang apa pekerjaannya pun tak pernah, apalagi sampai nak mencarinya, usah diharap!
"You tengah tunggu somebody ke?"  Nurezam mengeluarkan pertanyaan dan amat berharap yang andaiannya tak tepat.
"Yes.  Ada student yang nak jumpa I.  Kenapa Ezam cari Ajim sampai ke sini?  Ada hal apa?"  Azimah tak mahu menyimpan persoalan yang berlegar di kepala.
Debaran di dada usah dicakapkan.  Pasti ada sesuatu yang amat penting kalau Nurezam sampai sudi mencemar kakinya mencari Azimah di universiti.  "Apakah dia nak minta aku pujuk keluarganya terima buah hatinya tu?  Takkan nak membincangkan hal perceraian, kan belum cukup dua tahun"  Bermacam sangkaan buruk timbul di kepalanya.
"Ai!  Takkan nak jumpa isteri sendiri pun tak boleh.  Nak kena buat appointment juga ke?"  Nurezam ketawa, walaupun semuanya kedengaran sumbang.
Memang tak hairan kalau Azimah tertanya-tanya motif kedatangannya.  Memang dia tak pernah nak ambil tahu kehidupan perempuan yang akhir-akhir ini sering mengganggu tidurnya itu.  Nama saja perempuan itu isterinya, dia sendiri tak pernah melayan Azimah sebagai isteri.  Belum pernah juga dia menjalankan tanggungjawabnya sebagai suami.
"I tak kata macam tu.  Tapi mesti ada yang you nak kalau tiba-tiba aje you cari I"  Azimah serkap jarang.
Walaupun rasa terperanjatnya masih bersisa, dia gembira bila dapat menatap senyum lelaki yang sentiasa mempamer wajah serius setiap kali mereka bertemu sebelumnya.  Tapi, ikhlaskah senyuman lelaki itu?  Bicaranya pun tak seperti selalu, kedengaran mesra.  Peliknya!!  Pedulilah!  Dengar saja apa yang dia nak.  Azimah lebih senang memutuskan begitu.
"I nak keluar lunch dengan you, boleh?" 
Mata Nurezam dihadapkan ke muka Azimah.  Jelas dia dapat mengesan riak terperanjat bila permintaan itu keluar dari mulut Nurezam. 
            Azimah tak terus menjawab.  Hatinya semakin menyimpan prasangka.  Kenapa Nurezam berubah betul hari ni?  Walaupun senyum lelaki yang sedang berada di hadapannya itu kelihatan agak ikhlas, tak mudah untuk Azimah percaya begitu sahaja.
            "Ezam ada kerja kat Bangi ke?"  Azimah tak menjawab pertanyaan Nurezam sebaliknya melencongkan pertanyaannya.
Nurezam menggeleng kepala saja menjawab pertanyaan Azimah.  Memang dia sengaja datang dari KL ke Bangi semata-mata untuk makan tengahari bersama perempuan itu.  Banyak pulak tanya!  Nak pergi ke tak nak ni?  Ego lelakinya sudah mula nak memainkan peranan.
"Kalau sekarang, memang Ajim tak boleh.  Ezam boleh tunggu ke?  Tak mungkinlah!" 
Azimah sendiri menjawab pertanyaan yang diajukannya.  Tak payah mendengar jawapan lelaki itu pun dia dah tau.  Takkanlah lelaki itu sanggup nak menunggu dia semata-mata untuk makan bersama.  Orang sibuk takkan ada masa nak berbuat begitu.  Lagipun, siapalah Azimah di mata lelaki itu. 
"Cancell ajelah appointment you dengan student tu.  Kali ni aje, untuk I"  Nurezam membuat permintaan.
Azimah merenung muka Nurezam.  Pelik betul kelaku lelaki itu hari ni.  Kena sampuk hantu apa agaknya sampai lelaki itu boleh elok betul moodnya?  Entah apa-apa entah!   Minta aku cancellkan appoinment pulak.  Dia ingat appoinment aku macam appoinment kat syarikat dia agaknya.  Kalau nak cancell telefon aje.  Tergambar pulak muka Farihin, pelajar tahun tiga yang membuat latihan industri di bawah penyeliaan Azimah yang beria-ia nak bertemu.
"Temujanji dengan pelajar bukan macam temujanji syarikat.  Kalau tak jadi, telefon aje, cancellkan.  Sekejap lagi budak tu datang, takkan nak tinggalkan dia macam tu aje sedangkan I yang beritahu dia sekarang I free"  Lembut Azimah memberi penerangan.  Moga-moga lelaki itu boleh menerima alasannya.
"Tak sudi, tak apalah!"
Seperti nak mengamuk pun ada Nurezam bila menerima jawapan Azimah yang memang tak menyebelahi permintaannya.  Bersusah-payah dia mengatur masa turun ke Bangi dari KL untuk lunch bersama isteri yang cuba untuk dihampiri dan difahami.  Sudahnya dia dapat jawapan yang sebegitu.  Hampa betul dia bila perempuan itu bertindak melebihkan pelajarnya berbanding dia 'suami'nya.  Dia terus bangun dari kerusi.  Kalau tak kerana perempuan itu berdiri di pintu, tentu dia dah menerobos keluar dari bilik beraircond yang semakin terasa bahang panasnya.
"Sorry okay.  Bukan Ajim tak sudi.  Ezam datang tak kena masanya.  Telefonlah dulu, lain kali."  Rasa bersalah pula Azimah kerana menaikkan kemarahan di hati lelaki yang memang diketahuinya mudah naik angin itu.
"Ezam tunggu Ajim kat carpark satu jam.  Kalau Ajim tak turun, Ezam balik" 
Boleh pulak Nurezam berlembut mendengar pujukan perempuan di hadapannya itu.
"Okey!" 
Azimah cepat bersetuju dan beralih dari pintu untuk memberi laluan kepada Nurezam.  Nasib baik moodnya okey.  Azimah menarik nafas, kelegaan.
Tok!  Tok! Tok!
Tak sempat Nurezam keluar, sekali lagi ketukan bergema di pintu.  Azimah bertindak pantas membukakan pintu untuk Nurezam.  Dia dapat melihat dengan jelas mata Nurezam memandang Farihin yang berada di hadapan pintu biliknya.  Bukan main diteleknya muka pelajar lelaki yang sedang menunggu arahan masuk dari pensyarahnya itu.  Sempat juga Azimah dijeling lelaki itu.
Takkanlah dengan student akupun nak jelous!  Hati Azimah boleh terfikir perkara itu.  Lagipun diakan cuma isteri lelaki itu pada nama saja.  Perasaan engkau aje Azimah….  Tak mungkin Nurezam akan berperasaan begitu pada engkau.  Jangan kau mimpi!  Azimah memotivasikan diri sendiri.
Mengingatkan 'suaminya' itu sedang menunggu di tempat letak kereta, cepat Azimah memulakan perbincangan dengan Farihin.  Dia tak mahu menjadi punca kepada kemarahan lelaki itu kalau terlambat nanti.


            MENYESAL pulak Nurezam bila mulutnya senang-senang berjanji menunggu Azimah sejam di tempat letak kereta.  Lama tu….!  Boringnya.  Apa aku nak buat ni?  Dengar radio?  Geram pulak mengingat isteri yang enggan membatalkan temujanji dengan pelajarnya.  Aku datang dari KL semata-mata nak jumpa dia, dia buat tak layan aje.  Aku pun satu.  Kenapalah aku tak telefon dulu?  Kemudahan ada tak nak digunakan.  Padan muka aku!  Tapi, akukan suami dia?  Dia kenalah dengar cakap aku.  Lagipun aku dah semak jadual mengajar dia, memang dia free masa tadi.  Tapi, jangan lupa, engkau pun tak pernah layan dia sebagai isteri, bukan salah dia bila dia buat macam tu!!!!
           
            Dendangan muzik dari handphone mematikan suara hatinya.  Nurezam memandang nama di skrin.  Dia tak ada mood nak bercakap dengan si pemanggil.  Sebaik deringan mati, cepat telefon dicapainya.  Diaktifkan gegaran sahaja.  Dia tak mau makan tengaharinya buat pertama kali berdua dengan Azimah diganggu orang lain.  Jam kereta dikerlingnya, baru pukul 1.00.  Ada setengah jam lagi?  Kalau Azimah tak turun macamana?  Macamana apa?  Baliklah!  Itupun bengap sangat.  Sendiri yang mengemukakan soalan, sendiri jugalah yang menjawab.

            Tok!  Tok!  Cermin kenderaannya diketuk orang.  Cepat Nurezam membuka mata, mengangkat muka.  Panjang pun umurnya.  Ada senyum di wajahnya ketika memandang Azimah di luar kenderaan.  Cepat dia membuka pintu untuk Azimah.  Azimah baru nak masuk bila nama perempuan itu dipanggil seseorang.  Pintu yang terbuka memberi ruang telinganya mendengar perbualan Azimah dan rakannya.
            "Nak pergi lunch ke?"
            "Ya"
            "Dengan siapa?"
            "Kawan.  Faridah, I tak boleh lama, kalau you nak apa-apa balik makan nanti kita bincang"  Azimah memberitahu.
            "Okay, have a nice lunch.  Bye"
            Perempuan yang seorang lagi berlalu dan Azimah masuk ke KIA Sportage Nurezam.

            "You takut ke nak kenalkan I sebagai husband you?" 
Sambil teliti memulakan pemanduan, Azimah dihadapkannya persoalan itu.  Jengkel pulak hatinya bila mendengar Azimah menyebut 'kawan'.
"Taklah.  I cuma tak nak you rasa tak selesa kalau I kenalkan you sebagai husband.  Jatuhlah status dan saham En. Nurezam kalau orang lain tahu orang kampung ni yang jadi isteri you"
Tak terniat langsung dia nak menyakitkan hati lelaki itu.  Jawapan yang diberi itu pun bukan berniat memulangkan paku buah keras.  Setakat mengulang semula amaran lelaki itu di awal perkahwinan mereka dulu.
"Rasanya you yang tak nak terikat dengan title isteri tu kan?  Lagipun you boleh bebas ke sana ke mari kalau nak buat apa saja.  Entah-entah you yang takut saham you jatuh!"  Nurezam tak mahu mengalah.  Panas hatinya mendengar jawapan bersahaja dari Azimah yang memang terus kena di batang hidungnya.
"Encik Nurezam, kalau setakat nak bergaduh, baik jangan ajak I pergi makan.  Hantar I baliklah!" 
Menyirap jugak darah Azimah.  Malas betul dia nak melayan perangai gila-gila Nurezam.  Sekejap elok, sekejap hangin satu badan.  Tak kuasa dia!  Mood Azimah pun jadi kelam kabut penangan dari lelaki itu.
"Sorry!"  Pertama kali Nurezam mengucap kata maaf kepada orang lain.  Ada senyum di hujung bicaranya mengingatkan rajuk Azimah.
"You nak makan kat mana?"  Azimah dijelingnya sekilas.
"Mana-manalah, Ajim tak kisah"
Azimah tersenyum menjawab pertanyaan Nurezam.  Nurezam pun tersenyum juga kerana rajuk Azimah tak berpanjangan bila perempuan itu boleh menjawab pertanyaannya dengan senang hati.
"Kalau ikutkan, Ezam nak bawak Ajim makan kat hotel"  Nurezam mengeluarkan cadangannya walaupun dia dah tahu yang Azimah akan membantah.
"Tapi, Ajim tak ada banyak masa" 
Serba salah pulak nak memberi penerangan kepada Nurezam yang dia ada kelas tutorial petang itu.  Tak sampai hati pulak nak mengeruhkan keharmonian yang baru nak tercipta antara mereka.
"Ezam tau.  Pukul 3.00 Ajim ada kelas tutorialkan?  Ajim tak kisah ke kalau Ezam bawak Ajim makan kat kedai makan biasa saja?"  Nurezam nak tahu juga kemahuan perempuan itu.
"Tak ada masalah langsung" 
Azimah senang hati memberikan jawapan walaupun hatinya tertanya-tanya bagaimana Nurezam boleh tahu dia ada kelas tutorial petang itu.  Bila pulak lelaki egoistik itu mencuri lihat jadual mengajarnya?  Lantaklah dia!  Yang penting tak menyusahkan aku, tak menyakitkan hati aku.


            AZIMAH menanti sehingga kenderaan Nurezam hilang dari pandangan matanya sebelum masuk ke bangunan FPP.  Azimah tak tahu apa muslihat Nurezam kali ini.  Layanan yang diterima dari lelaki itu dirasakannya terlalu lembut dan menyenangkan walaupun barannya masih ada.  Hati perempuannya dipukul rasa gembira.  Buat julung kalinya sejak mereka disatukan dia dilayan sebegitu baik oleh Nurezam.  Biasanya kalau terpaksa bersama Azimah, lelaki itu tak habis-habis dengan bercakap di telefon bimbitnya.  Kali ini bila telefonnya bergegar dia hanya melihat skrin telefon dan membiarkan sahaja panggilan itu tanpa menjawabnya.
            Azimah tersenyum sendiri mengingat tindakan Nurezam yang menukar makanan yang diambil Azimah dengan makanannya.  Bila Azimah bertanya kenapa dia berbuat demikian, cepat saja dia memberitahu.  Dia nak mereka bertukar selera.  Azimah pun tak banyak tanya lagi, diturutkan saja.  Sukar betul dia nak menghabiskan air carrot susu yang kononnya air kegemaran lelaki itu.  Nak menjaga hati punya pasal, dipaksa tekaknya untuk menelan.  Agaknya aku ni memang ditakdirkan untuk membahagiakan orang lain.  Azimah boleh terfikir sampai ke situ pulak!
            "Oii!  Apa senyum sorang-sorang ni?"
            Suara Faridah, pensyarah di jabatan akaun memeranjatkan Azimah.  Terhenti langkahan kakinya.
            "Faridah!  Terkejut I.  Apa hal yang you cari I tadi?"  Kalau boleh dia tak mau Faridah bertanya hal lain.
            "Lelaki tadi tu husband you ke?"  Faridah mengeluarkan soalan bonus itu walaupun Azimah dilihatnya cuba mengelak.  Tak puas hati bila tadinya Azimah cuma menjawab 'kawan'.
            "Yes!"  Takkan Azimah nak menafikan, lagi-lagi selepas sindiran Nurezam tadi.
            "Pelik I tengok you ni tau.  Ada orang tu nak menunjuk-nunjuk suami dia hebat.  Tak hebat pun buat-buatlah hebat.  You pulak, ada suami hebat, tak nak orang lain tau.  Why?
Faridah melempar senyum.  Azimah memang jarang mahu membicarakan hal peribadinya.  Dia memang selalu mengelak bila sesiapa saja mengajaknya berbual tentang kisah rumahtangganya.  Hampir semua pensyarah di FPP tahu hal itu.
            "Biarlah diorang Farid.  Ajim tak macam tu.  Pukul 3.00 I ada tutorial.  Kalau tak ada apa-apa I nak masuk, solat dulu"  Azimah meminta kelonggaran dari Faridah.
            "Sebenarnya I nak minta you tolong ajar anak I main tenis petang Sabtu ni.  Kalau tak pun pagi Ahad."
            "Hujung minggu ni?"  Azimah memandang muka Faridah yang sudah beranak tiga.
            "Ialah"
            Azimah terdiam sekejap.

            "Ajim!  Balik rumah ya hujung minggu ni?"
            Niat Azimah untuk membuka pintu dibatalkan.  Wajah Nurezam dipandangnya tajam.
            "Sri Petaling?" 
Azimah bertanya.  Mata Nurezam pun turut ditujukan padanya.  Ada harapan di wajah lelaki itu.  Harapan yang berbentuk macamana Azimah tak dapat menilai.
            "Yalah!  Mana ada rumah lain.  Takkan Ezam nak Ajim balik ke rumah papa pulak"  Nurezam cuba berlawak.
            "Apa halnya ni?  Datin nak datang rumah you ke?" 
Dengan senyuman Azimah serkap jarang.  Kalau tak ada apa-apa tak pernah lelaki itu memintanya menyibuk di rumah yang dijadikan pentas lakonan mereka berdua di hadapan papa dan mama Nurezam.
            "Taklah.  Kalau mama tak datang you tak nak balik ke?"  Geram suara lelaki itu mendengar bicara Azimah.  Dia ikhlas mengajak, diteka yang bukan-bukan pulak.
"Okey!  Okey!  I cuba untuk balik hari Sabtu ni" 
Azimah mengalah saja tanpa mempedulikan apa sebenarnya mahu Nurezam.  Yang penting, dia tak mahu menghapuskan keharmonian yang mula terbina antara mereka berdua.  Dalam hati Azimah terdetik juga mahu bertanya ke mana perginya buah hati pengarang jantung lelaki itu sehingga Azimah pula yang terpaksa menemani masa sepinya.

"Ajim!  You boleh tak?  Apa yang you fikirkan ni?" 
"Sorrylah Faridah.  This week tak boleh, dah ada janji.  Next timelah"  Azimah tersenyum malu memberikan jawapan.  Sempat lagi dia melamun ketika nak menjawab persoalan Faridah.  Malunya dia!
"Tak apalah kalau macam tu"
"Ialah Farid, I pun dah lambat ni"
Terkocoh-kocoh langkah Azimah ketika melihat jam sudah 2.45 petang.  Gara-gara Nurezam dia terlewat kali ini.  Walau apapun dia seronok keluar dengan lelaki itu hari ini.  Dia terlalu banyak berubah hari ni.  Banyak bertolak ansur berbanding selalu.  Kalau tidak asyik nak menang saja, dia saja yang betul.  Perangainya memang macam diktator.


            FAZLEY terus duduk di hadapan Nurezam.  Akhir-akhir ini Nurezam nampak berlainan.  Dia suka termenung sendiri.  Apa puncanya pun Fazley tak pernah diberitahu.  Selalu, kalau bermasalah, pasti Nurezam tak lokek berkongsi cerita dan meminta ideanya untuk membantu menyelesaikan masalah.  Tiba-tiba kedengaran bunyi dari handphone Nurezam.  Ada sms masuk.  Sedang sibuk menyemak laporan penting itupun Nurezam boleh berhenti.  Tak lama selepas itu dia melihat Nurezam membalas sms itu.  Senyuman tak lepas dari wajahnya.  Dari Mimikah?  Jarang Mimi nak menghantar mesej.  Tak sabar Fazley menanti Nurezam menyiapkan tugasnya menyemak laporan yang tinggal sedikit.  Banyak soalan yang nak diajukannya.  Dah kerap sangat dia melihat Nurezam begitu.  Bunyi sms itu pun bukan bunyi yang biasa digunakannya.  Macam istimewa gitu!  Siapa agaknya??

            "Encik Ezam, siapa yang hantar mesej tadi?"  Fazley bertanya secara formal.
            "Isteri akulah!"  Nurezam santai menjawab.
            "Jadi, dialah yang sms setiap kali bunyi tu masuk.  Lain macam aje aku tengok engkau ni?  Kata tak suka, bukan main beria engkau jawab mesej dia.  Tak bertangguh langsung.  Engkau dah bertukar fikiran ke?"  Fazley cuba nak menduga Nurezam.
            "Hei!  Ini Nurezamlah.  Perempuan ni aset aku kau tau!  Dia amat berguna pada aku.  Lagipun bukan susah sangat nak menjawab mesej dia.  Taip ok atau not aje" 
Nurezam cuba menafikan tindak balas sebenarnya.  Walaupun dalam sedar tak sedar diapun mengambil berat tentang keadaan perempuan yang sering dibahasakan sebagai 'kampung women'.  Kalau mendengar bunyi sms itu masuk dia sebenarnya boleh tidak mempedulikan atau memperlengahkan untuk membalas.  Tapi dia sendiri yang tak mahu melakukan begitu.  Dia sering rasa terpanggil nak tahu apa yang dimahukan Azimah.
            "Ezam, esok Sabtu, tak kerja.  Malam ni turun club nak?  Kalau tak pun esok."  Fazley mempelawa sebelum meninggalkan Nurezam dengan laporan pemasaran yang telah diluluskan Nurezam.
            "Sorrylah Ley.  Isteri aku balik rumah esok.  Dia tak suka kalau aku buat perangai macam-macam.  Rumah pun aku tak kemas lagi.  Aku nak duduk rumah aje" 
            Jawapan Nurezam memeranjatkan Fazley.  Langkah kakinya terus dibawa keluar dari bilik tuan pengurus yang meneruskan kerjanya dengan tekun.  Fazley duduk sebentar di biliknya memikirkan bicara Nurezam.  Sejak bila pulak lelaki itu mengikut garis panduan yang ditentukan orang lain.  Tak pernah Nurezam berperangai begitu.  Hebat benarkah perempuan yang dibahasakan sebagai 'kampung women' itu sehingga mampu mengubah Nurezam sehingga jadi begini?  Soalan itu tak mampu dijawabnya sendiri.
            Mungkinkah Nurezam sudah tertewas dengan bicaranya sendiri.  Sudah termakan sumpah sendirikah?  Kenapa akhir-akhir ini tak pernah lagi Nurezam membahasakan isterinya itu sebagai 'kampung women'?  Fazley benar-benar diterpa rasa nak tau.  Siapa agaknya yang boleh membantu??? 

No comments:

Post a Comment